Hajat Pogba Kelantan yang juga dikenali sebagai Limak Jimar untuk menyertai skuad Piala Presiden Kelantan bagi tahun 2018 tidak kesampaian apabila tidak melepasi sesi pemilihan atas faktor usia.
Perkara ini telah dinyatakan oleh Ketua Jurulatih Skuad Piala Presiden Kelantan Zahasmi Ismail dan beliau juga tidak menafikan bakat yang ada pada Pogba Kelantan itu atau nama sebenarnya Muhammad Nasri Mamat.
Limak Jimar dan rakannya, Zaidi Rashid telah mencipta sejarah apabila menjadi pemain dari masyarakat Orang Asli Gua Musang pertama yang diberikan peluang oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menjalani sesi pemilihan.
Kedua-dua pemain ini datang menjalani pemilihan atas jemputan Presiden KAFA, Puan Bibi Ramjani Illias Khan. Sebelum ini Limak Jimar tular di Facebook dan aplikasi Whatsapp kerana kehebatannya menimang bola dan menggelecek.
Dengan tularnya video tersebut, Limak Jimar telah digelar sebagai Pogba Kelantan dan juga Dembele Kelantan. Malah ketika itu ada peminat yang mahu Limak Jimar diberi peluang untuk bermain bersama Kelantan dan KAFA tidak melepaskan peluang untuk menguji pemain tersebut.
Selepas sesi pemilihan dibuat Limak Jimar gagal untuk menjadi pemain skuad Piala Presiden Kelantan atas faktor usia. Menurut Zahasmi seperti yang dipetik dari mStar Online. berkata :
Ketua Jurulatih Skuad Piala Presiden Kelantan Zahasmi Ismail mengakui pemain dari Gua Musang itu sememangnya berbakat tetapi tidak terpilih atas faktor usia.
“Dia ada bakat, hebat dalam mengelecek dan menimbang bola tapi tidak memenuhi syarat untuk bermain dalam skuad Piala Presiden.
“Untuk skuad ini, kita nak yang berusia 21 tahun. Namun dia sudah terlebih umur, tahun depan dia dah 23 tahun. Jadi kita terpaksa gugurkan dia,”
Zahasmi juga berpendapat skill menimang bola dan gelecekan yang terarah kepada pertunjukkan tidak cukup untuk perlawanan sebenar dan mungkin menghadapi kesukaran ketika perlawanan.
“Pada pendapat saya, kebolehan timbang bola dia mungkin lebih baik daripada individu lain tapi tak semestinya dia boleh menyesuaikan diri dengan perlawanan sebenar.
“Pertunjukan (timbang bola) berbeza dengan perlawanan sebenar,” katanya.