Premier League 2019/20: Chelsea 2-1 Manchester City

Chelsea melayan kunjungan Manchester City ke Stamford Bridge untuk perlawanan ke-31 saingan liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan menang dalam perlawanan terakhir masing-masing pada minggu lalu dan sudah pastinya mereka juga mahu memenangi perlawanan kali ini.

Kedua-dua pasukan turut menurunkan kesebelasan terbaik masing-masing dan apa yang menariknya perlawanan kali ini menjadi tumpuan ramai pihak.

Manchester United pastinya mengharapkan City menewaskan Chelsea supaya mereka lebih berpeluang untuk beraksi di pentas saingan Eropah musim hadapan.

Untuk Liverpool pula, mereka pastinya mahu Chelsea setidak-tidaknya mengikat City untuk memastikan Kejuaraan saingan Liga Perdana musim inj menjadi milik the reds.

Perlawanan bermula dengan Manchester City dilihat lebih dominan dan banyak melancarkan serangan ke arah gawang gol Chelsea.

Kepa Arrizabalaga beberapa kali berjaya untuk menyelamatkan gawang golnya dari dibolosi dan Chelsea juga berjaya melancarkan beberapa siri serangan ke arah gawang gol City.

Pada minit ke-36, kesilapan dari Mendy yang melepaskan bola kepada Pulisic menyebabkan gawang gol mereka dibolosi dan pasukan mereka ketinggalan 1-0 pada babak pertama perlawanan.

Pulisic yang berjaya mencuri bola dari Mendy membawa bola tersebut ke arah gawang City dengan pantas lalu melepaskan rembatan lencong menewaskan Ederson untuk gol pembukaan pasukan Chelsea.

Babak pertama tamat dengan keputusan Chelsea mendahului Manchester City 1-0 dan pastinya peminat pasukan Liverpool sedang bergembira melihat keputusan tersebut.

Masuk babak kedua perlawanan, Manchester City dilihat lebih kemas dalam merencana serangan dan berjaya untuk melancarkan beberapa siri serangan dan menguji Kepa.

Pada minit ke-55 perlawanan, hasil dari satu sepakan percuma, Kevin De Bruyne berjaya melencongkan bola lalu masuk ke sudut atas kiri gawang gol Chelsea untuk jaringan penyamaan City.

Kepa Arrizabalaga hanya mampu melihat bola itu masuk menerjah jaring gawang golnya dan sepakan percuma itu antara yang tercantik pernah dilakukan oleh De Bruyne sendiri.

Selang seminit selepas menjaringkan gol penyamaan, giliran Raheem Sterling pula berjaya untuk menguji gawang gol Chelsea namun bola cubaan beliau sekadar terkena tiang gol sahaja.

Pada minit ke-70 pula, Kyle Walker sekali lagi menunjukkan kehebatan beliau dalam menyelamatkan gawang yang berada dalam keadaan cemas apabila beliau berjaya mengeluarkan bola dari atas garisan gawang golnya.

Hasil percubaan dari Pulisic yang menolak bola ke arah gawang yang telah kosong ditinggalkan oleh Ederson, Kyle Walker muncul lalu mengeluarkan bola tersebut betul-betul diatas garisan gawang mereka.

Penyokong Liverpool mesti pernah tengok Kyle Walker melakukan aksi yang sama ketika pertemuan antara mereka dahulu kan?

Pada minit ke-78, selepas berlaku kekecohan di hadapan gawang gol City, Fernandinho dengan sengaja telah mengeluarkan bola dengan menggunakan tangan beliau.

Selepas meneliti kejadian menggunakan VAR, Chelsea telah dihadiahkan sepakan penalti dan Fernandinho pula telah dilayangkan kad merah.

Willian dengan cemerlang menyempurnakan penalti tersebut lalu menjadikan kedudukan 2-1.

Bermain dengan 10 orang, Manchester City dilihat hilang kawalan namun tetap juga mampu untuk melancarkan beberapa siri serangan ke atas gawang gol Chelsea.

Perlawanan tamat dengan keputusan penuh Chelsea 2 Manchester City 1. Berita ini pastinya bukan sahaja menggembirakan penyokong Chelsea bahkan ianya juga berita yang sangat membahagiakan untuk penyokong Liverpool seluruh dunia.

Dengan kekalahan Manchester City, Liverpool secara rasminya telah ditabalkan sebagai Juara saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Senarai Pemain Chelsea Dan Manchester City:

Pemain utama Chelsea

Kepa Arrizabalaga, Marcos Alonso, Antonio Rudiger, Andreas Christensen, Cesar Azpilicueta, Ross Barkley, N’Golo Kante, Mason Mount, Willian, Oliver Giroud, Christian Pulisic.

Pemain simpanan

Willy Caballero, Reece James, Kurt Zouma, Jorginho, Mateo Kovacic, Ruben Loftus Cheek, Billy Gilour, Pedro, Tammy Abraham.

Pemain utama Manchester City

Ederson, Kyle Walker, Aymeric Laporte, Benjamin Mendy, Fernandinho, Kevin De Bruyne, Rodri, IIkay Gundogan, Riyad Mahrez, Benardo Silva, Raheem Sterling.

Pemain simpanan

Scott Carson, Taylor Harwood Bellis, Oleksandr Zinchenko, Nicolas Otamendi, Cole Palmer, David Silva, Thomas Doyle, Leroy Sane, Gabriel Jesus.

BACA:  Pulisic Selamatkan 3 Mata Chelsea Selepas Penalti Enjut Jojo Enjut Tak Masuk