Premier League 2020/21: Aston Villa 0 – 3 Leeds United

Aksi menakjubkan Aston Villa sejak musim 2020/21 Premier League bermula dengan merekodkan 100 peratus kemenangan dalam 4 perlawanan awal akhirnya tamat pada perlawanan ke-5 di kaki Leeds United.

Patrick Bamford mencatatkan hat-trick bagi memusnahkan rekod tanpa kalah Aston Villa dalam perlawanan saingan liga awal pagi tadi.

Pemain berusia 27 tahun itu cemerlang menjaringkan tiga gol dalam tempoh 20 minit untuk memastikan kemenangan bergaya Leeds United mengatasi kelab yang berjaya membelasah Liverpool 7-2 tempoh hari.

Ketiga-tiga gol tersebut berjaya dijaringkan pada babak kedua permainan dan Bamford merupakan penjaring tunggal dalam perlawanan ini.

Menariknya, Bamford merupakan pemain Leeds pertama yang berjaya mencatatkan hat-trick dalam saingan premier league sejak kali terakhir berjaya dilakukan oleh Mark Viduka pada tahun 2003.

45 minit pertama permainan berakhir dengan keputusan terikat tanpa jaringan dan Bamford berjaya membuka tirai jaringan untuk Leeds pada minit ke-55.

Patrick Bamford berjaya menjaringkan gol selepas menerima bola muntah hasil cubaan dari Rodrigo yang gagal ditangkap kemas oleh Emiliano Martinez.

Pada minit ke-67, Bamford sekali lagi berjaya merobek gawang gol Villa dengan jaringan yang cukup cantik dan padu.

Beliau menerima bola umpanan dari Mateusz Klich yang cemerlang memulakan gerakan dari tengah padang sebelum melepaskan rembatan kencang ke sudut atas sebelah kiri gawang gol Martinez.

Bamford melengkapkan hat-tricknya pada minit ke-74 permainan dengan gol yang sungguh cantik dan mengagumkan.

Bamford menerima bola lorongan dari Helder Costa di dalam kotak penalti Villa dan ketika itu beliau dikawal oleh empat pemain pertahanan.

Walau dikawal oleh empat pemain pertahanan Villa, Bamford berjaya mencuri ruang untuk melepaskan rembatan ke sudut sebelah kanan gawang lalu melengkapkan hat-tricknya dalam perlawanan ini.

Hat-trick tersebut meletakkan Bamford berada dalam kedudukan ketiga dalam senarai penjaring terbanyak saingan liga musim ini dengan menjaringkan enam gol dari enam perlawanan untuk Leeds.

Bamford juga merupakan pemain pertama dalam saingan liga yang berjaya menewaskan Martinez dari luar kotak penalti.

Bamford hanya mencatatkan empat percubaan tepat dalam perlawanan ini dan tiga darinya menghasilkan jaringan.

Bamford pada musim ini telah berjaya menjaringkan gol ketika bertemu Liverpool, Fulham dan Sheffield United sebelum mencatatkan hat-trick dalam perlawanan bertemu Villa ini.

Ramai yang beranggapan bahawa beliau hanya bernasib baik kerana berjaya menjaringkan tiga gol dari perlawanan sebelum ini dan tidak menganggap bahawa beliau seorang penyerang yang hebat.

Dalam perlawanan bertemu Villa ini, Bamford telah membuktikan bahawa beliau merupakan salah seorang penyerang berbisa dalam saingan liga musim ini dan harus diberi perhatian oleh pertahanan lawan.

Leeds United kini berada dikedudukan ketiga dalam saingan liga dengan mengumpul 10 mata dari enam perlawanan di belakang Villa dan Everton.

Aston Villa: Martinez, Cash, Konsa, Mings, Targett, Douglas Luiz, McGinn, Trezeguet, Barkley, Grealish, Watkins.

Subs: Steer, Hourihane, Traore, Nakamba, Engels, Elmohamady, Davis.

Leeds United: Meslier, Dallas, Ayling, Koch, Alioski, Struijk, Helder Costa, Klich, Rodrigo, Harrison, Bamford.

Subs: Poveda, Roberts, Casilla, Raphinha, Hernandez, Davis, Shackleton.

BACA:  Premier League 2021/22: Manchester United 1-0 West Ham