Premier League 2020/21: Burnley 0-3 Liverpool

Liverpool turun berdepan Burnley yang merupakan sebuah pasukan yang agak liat untuk ditundukkan, tembahan pula bermain di Turf Moor dengan kehadiran penyokong yang sudah lama merindui aksi di stadium.

Perlawanan ini pasti tidak mudah buat Liverpool namun apa lagi pilihan yang Liverpool ada selain mencatatkan kemenangan dan memotong Leicester City dengan kelebihan perbezaan gol.

Kini tiada apa yang dapat mengubah nasib Liverpool kecuali Liverpool sendiri bagi melayakkan diri ke kejohanan paling agung di Eropah, Champions League musim hadapan.

Burnley merupakan pasukan yang menamatkan rekod tanpa kalah 68 perlawanan Liverpool di Anfield sekaligus meranapkan Anfield sebagai kubu kebal dan keramat Liverpool.

Burnley bermain agak kemas dan pertahanan menunjukkan aksi disiplin yang tinggi apabila cepat menutup ruang dan turun ketika Liverpool menyerang.

Liverpool pula bermain dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan kesilapan yang boleh menghukum diri sendiri.

Pada minit ke-26, Matthew Lowton telah melakukan satu lambungan bola panjang merentasi padang dan bola itu seolah-olah mempunyai GPS dan jatuh tepat kepada Chris Wood.

Ketika hanya berhadapan dengan Alisson Becker sahaja perluang terhidang luas buat Chris Wood namun percubaannya tersasar ke jaring tepi.

Liverpool terus membalas percubaan itu dengan satu permainan hantaran pendek, Thiago Alcantara berjaya lolos tapi percubaannya juga tersasar.

Liverpool datang lagi kali ini melalui satu hantaran lambung Andrew Robertson yang tepat kepada Mohamed Salah yang melakukan satu larian solo dari tengah padang.

Entah apa yang merasuk Salah apabila rembatannya melambung ke bulan. Entah jatuh ke tidak lagi ke bumi.

Permainan yang hambar dan membosankan dari awal tiba-tiba bertukar menjadi rancak dengan gerakan yang mengancam tetapi tidak berbahaya dengan penyudah ke laut.

Burnley terus mengasak Liverpool dengan menghantar bola tinggi, lambungan demi lambungan namun tiada sentuhan penyudah dan Alisson Becker menjadi penghalang.

Akhirnya, Roberto Firmino membuka tirai jaringan pada penghujung babak pertama selepas tenang merembat leret hantaran Andrew Robertson.

Bersambung babak kedua, Burnley yang bermain dihadapan penyokong mereka terus mengasak namun tidak berkesudahan.

Liverpool tidak berdiam diri dan membalas apa yang diberi, percubaan Mohamed Salah sekali lagi tersasar dan menerjah sisi jaring.

Minit ke-52, Nathaniel Phillips menggandakan kedudukan selepas menanduk tajam lambungan Sadio Mane yang dibenci peminat Liverpool ketika ini.

Ini merupakan gol pertama Nathaniel Phillips untuk Liverpool. Gol yang sangat penting menjadi gol pertama Nathaniel Phillips.

Nathaniel Phillips terus menjadi penyelamat Liverpool apabila telah menafikan percubaan Burnley dengan mengeluarkan bola di atas garisan gol.

Satu penafian gol yang penting yang mungkin akan menjadi detik kebangkitan Burnley yang semakin garang menyerang.

Berbaki 15 minit permainan, Burnley terus menekan untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol supaya penyokong yang hadir buat pertama kali selepas berbulan-bulan tiada dapat meraikan sesuatu.

Dengan kelebihan dua gol di kaki, Liverpool tenang bertahan dengan menyerap segala asakan yang datang dan menunggu ruang dan peluang melakukan serangan balas.

Akhirnya pada minit ke-88, Alex Oxlade Chamberlain yang masuk menggantikan Roberto Firmino pada minit ke-81 membunuh perlawanan dengan gol ketiga dengan rembatan padu. Gol pertama musim ini di Premier League.

Selepas tiga minit masa kecederaan, pengadil meniup wisel penamat dan buat pertama kali sejak Februari, Liverpool kembali ke kedudukan empat teratas.

Burnley: Norris, Lowton, Tarkowski, Mee, Taylor, Brownhill, Westwood, Cork, McNeil, Gudmundsson, Wood.

Subs: Barnes, Peacock-Farrell, Rodriguez, Pieters, Vydra, Nartey, Dunne, Richardson, Driscoll-Glennon.

Liverpool: Alisson, Alexander-Arnold, Phillips, Rhys Williams, Robertson, Thiago, Fabinho, Wijnaldum, Salah, Firmino, Mane.

Subs: Milner, Adrian, Oxlade-Chamberlain, Jones, Tsimikas, Shaqiri, Origi, Neco Williams, Koumetio.

Referee: Chris Kavanagh (Lancashire)

BACA:  Premier League 2020/21: Liverpool 0-0 Manchester United