Premier League 2020-21: Liverpool 2-0 Crystal Palace

Liverpool meneruskan kecemerlangan akhir musim mereka dengan menewaskan Crystal Palace dua gol tanpa balas di Anfield, meletakkan pasukan bekas juara ini di tangga ketiga liga, sekaligus melayakkan pasukan bakal juara 2021-22 ini beraksi di Liga Juara-Juara UEFA musim depan.

Perlawanan ini juga merupakan perlawanan terakhir bintang mereka, Gini Wijnaldum, yang tidak akan menyambung kontrak baru pada musim hadapan.

Wijnaldum diraikan dengan diberikan sambutan Guard of Honour ketika berjalan keluar dari terowong sebelum perlawanan bermula, dan diberikan frame gambar yang menceritakan jumlah piala yang dimenangi Liverpool.

Akan tetapi kemenangan ini tidak dicapai dengan mudah.

Pemain bek kanan yang berharap untuk dipanggil negaranya ke Euro 2020, Trent Alexander Arnold sekali lagi membuktikan bahawa jurulatih England membuat keputusan yang tepat.

Hantaran merapunya pada minit ke 13 telah mengelirukan kawan sendiri, Nathaniel Phillips, lantas disambar oleh Andros Townsend yang kemudiannya meluru ke pintu gol. Namun tendangannya gagal menjengah pintu gol Liverpool.

Menyedari mereka tidak boleh tewas perlawanan ini, Liverpool menggandakan asakan berkali-kali ganda, sehinggalah pada minit ke-36 apabila pemain yang sendu sepanjang musim, Sadio Mane, akhirnya berjaya mencetak nama sebagai penjaring.

Bola tendangan sudut yang diambil Robertson hinggap di kaki Firmino, lantas ditolak kepada Mane, lalu dijolok mudah ke gawang Palace untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Tidak terhenti setakat itu, Liverpool masih mengekalkan permainan menyerang dan hasilnya pada minit ke 76, Mane sekali lagi menggegarkan gol Palace.

Gol terhasil selepas Raja Mesir, Mohamed Salah, menggelecek beberapa orang pemain Palace sebelum menghantar bola kepada Mane, yang kemudiannya tenang merembat ke tepi gol melepasi jangkauan penjaga gol Palace.

Jaringan tersebut mengesahkan status Liverpool sebagai pasukan elit Eropah dan bakal bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA pada musim hadapan.

Baca Juga

Baca Juga