Premier League 2020/21: Manchester United 1-3 Crystal Palace

Pasukan bola sepak paling agung dalam sejarah peradaban bola sepak dunia, Manchester United akhirnya turun untuk perlawanan pertama , perlawanan pembukaan musim 2020/21 untuk mencari gelaran juara.

Manchester United memulakan saingan liga musim baharu lebih lewat kerana diberikan cuti yang lebih panjang selepas menamatkan kempen Eropah musim lalu sedikit lewat.

Crystal Palace bimbingan Roy Hodgson selalunya tidak menjadi lawan mudah buat Setan Merah dan itulah yang terjadi dalam perlawanan ini.

Manchester United bukanlah satu pasukan bola sepak semata-mata malah merupakan pasukan penghibur yang memberi hiburan kepada peminat bola sepak tanpa jemu.

Itulah yang disajikan oleh Setan Merah dalam perlawanan ini yang menghiburkan semua kecuali penyokong mereka sendiri.

Bunga-bunga kekalahan Setan Merah mula nampak diawal permainan lagi dengan banyak bermain dengan hantaran kebelakang menyebabkan David De Gea kelam kabut.

Tidak perlu menunggu lama, Andros Townsend meletakkan Crystal Palace di hadapan selepas tujuh minit sepak mula melalui satu rembatan mencari sudut gawang jauh yang terbuka.

Crystal Palace bermain secara bertahan dan padat menutupi segala ruang dan jalan untuk para pemain Setan Merah melakukan hantaran.

Tanpa hantaran demi hantaran maka secara automatik Setan Merah mati kutu dan kedudukan 1-0 berpihak kepada Crystal Palace ini kekal hingga minit ke-72.

Video Assistant Referee(VAR) nyata tidak berpihak kepada Setan Merah apabila pemeriksaan VAR menjumpai bola terkena tangan Victor Lindelof dan sepakan penalti diberikan.

Jordan Ayew gagal menyempurnakan penalti apabila membuat satu sepakan yang lemah dan leret mudah ditepis dan kemudiannya dirigat kemas oleh David De Gea.

Sekali lagi Video Assistant Referee(VAR) nyata tidak berpihak kepada Setan Merah, melalui pemeriksaan VAR, De Gea telah keluar dari garisan gol sebelum sepakan dibuat.

Hasilnya lumayan sekali, Crystal Palace diberi sepakan sekali lagi atau retake dan kali ini Wilfred Zaha mengambil tanggungjawab membuat sepakan.

Bola ditendang Zaha ke arah sama seperti sepakan Jordan Ayew namun ditambah dengan kuasa ledakan yang kuat dan ke arah atas.

Pada minit ke-67, Ole Gunnar Solskjaer memasukan pemain baru dibeli, Donny Van De Beek menggantikan Paul Pogba dan Van De Beek kurang menerima bola dari rakan.

Tujuh minit dipadang, Van De Beek menjaringkan gol pertamanya bersama Setan Merah dalam debut di Premier League.

Selepas menjaringkan gol barulah Van De Beek mula mendapat bola dan mengubah sedikit permainan Setan Merah dengan permainan satu sentuhan dan pantas.

Bekas pemain Setan Merah, Wilfred Zaha mematikan sisa perjuangan Manchester United dengan gol ketiga melalui satu rembatan leret.

Mudah untuk Zaha menjaringkan gol walaupun cuba dilayan Lindelof dan Harry Maguire.

Pembukaan musim yang buruk dari Setan Merah dan bergaya buat Crystal Palace serta menceriakan seluruh umat bola sepak kecuali penyokong Manchester United.

Manchester United starting XI: De Gea, Fosu-Mensah, Lindelof, Maguire, Shaw, McTominay, Pogba, James, Fernandes, Rashford, Martial

Crystal Palace starting XI: Guaita, Ward, Kouyate, Sakho, Mitchell, Townsend, McCarthur, McCarthy, Schlupp, Zaha, Ayew

BACA:  Dua Aksi Dungu De Gea Hadiahkan Chelsea Gol Gratis