Premier League 2020/21: Manchester United 2-1 Brighton & Hove Albion

Leicester City telah tewas dikaki Manchester City dan perlawanan menentang Brighton & Hove Albion menjadi peluang terbaik untuk Manchester United mengukuhkan cengkaman di tangga kedua.

Ole Gunnar Solskjaer telah menurunkan barisan terkuat dan tidak merehatkan mana-mana pemain penting seperti yang dilakukan ketika menentang Leicester City di separuh akhir FA Cup.

Edison Cavani turun dalam kesebelasan utama menggantikan pemain harapan Manchester United, Anthony Martial yang mengalami kecederaan lutut dan sudah menamatkan musim lebih awal.

Percubaan Mason Greenwood dengan satu teknik sepakan yang menawan pada minit kelapan hampir saja meletakkan Manchester United dihadapan namun telah menghentam tiang gol.

Pada minit ke-18 Brighton & Hove Albion sekali lagi datang menyundul mujur tandukan sedikit tinggi dan melewati palang gol.

Bekas pemain Manchester United, Danny Welbeck menanduk tajam hantaran Neal Maupay namun berjaya dihadang Dean Henderson dengan kaki.

Musim ini menyaksikan dua bekas pemain Manchester United, Danny Welbeck dan Wilfred Zaha dengan berani menjaringkan gol ketika menentang Setan Merah.

Malangnya bola lantunan datang kembali tepat ke kepala Danny Welbeck yang terus menjaringkan gol pertama perlawanan dan Dean Henderson hanya mampu melihat kali ini.

Manchester United terus ditekan Brighton & Hove Albion dan Dean Henderson melakukan kesilapan ketika cuba menangkap bola tanpa dicabar mana-mana pemain.

Mujur kesilapan itu tidak dihukum dengan sebarang jaringan.

Selepas jaringan Danny Welbeck itu permainan Manchester United serba tidak menjadi terutamnya ketika mahu melakukan serangan. Kena badi Welbeck?

Danny Welbeck menjadi pemain pertama menjaringkan tiga gol menentang Manchester United di Premier League selepas pergi meninggalkan kelab. Gedebe.

Separuh masa kedua menyaksikan Manchester United memperkemaskan permainan untuk mencari gol penyamaan selepas menerima kata-kata semangat dari Ole.

Walaupun permainan tak sekemas mana namun lebih baik berbanding 45 minit pertama dan Marcus Rashford akhirnya menjaringkan gol penyamaan dengan penyudah yang tenang.

Gol kebangkitan dari Rahsford hadir selepas Bruno Fernandes berjaya memecah belahkan pertahanan Brighton & Hove Albion dengan satu hantaran lolos.

Danny Welbeck terus menjadi duri dalam daging dan hampir saja meletakkan Brighton & Hove Albion kembali dihadapan tetapi bola meleleh keluar sedikit saja dari garisan gol.

Harry Maguire sempat menghimpit Welbeck dan menyukarkan penyudah dilakukan dan ekoran himpitan peti sejuk itu pengadil merujuk kepada VAR.

VAR memperincikan cabaran Maguire kepada Welbeck dan tiada sepakan penalti kerana tiada kekasaran daripada Harry Maguire.

Berpunca daripada voli Paul Pogba yang tidak menjadi menyaksikan bola tersasar namun Mason Greenwood melihat itu sebagai peluang dan menanduk masuk dengan sesedap rasa.

Satu lagi kebangkitan sensasi daripada Manchester United namun Brighton & Hove Albion tidak mahu mengaku kalah dan mahu mencari gol penyamaan.

Namun gol didambakan Brighton & Hove Albion tidak kunjung tiba sehingga tamat perlawanan.

Ini merupakan perlawanan ke-96 Manchester United menyajikan aksi kebangkitan dan menang selepas ketinggalan satu gol. Tujuh perlawanan lebih berbanding mana-mana pasukan di Premier League.

Kemenangan ini membolehkan Manchester United menjarakkan diri kepada Leicester City dengan 4 mata dan 14 mata dibelakang Manchester City yang lebih satu perlawanan.

Lima kemenangan daripada baki lapan perlawanan tersisa akan mengesahkan slot Champions League Manchester United musim hadapan.

Manchester United: Dean Henderson, Aaron Wan-Bissaka, Victor Nilsson Lindeloef, Harry Maguire, Luke Shaw, Fred, Paul Pogba, Mason Greenwood, Bruno Fernandes, Marcus Rashford, Edinson Cavani.

Subs: David De Gea, Brandon Williams, Axel Tuanzebe, Daniel James, Nemanja Matic, Donny van de Beek, Scott McTominay, Amad Diallo, Lee Grant.

Brighton & Hove Albion: Robert Sanchez, Joel Veltman, Lewis Dunk, Ben White, Jakub Moder, Yves Bissouma, Adam Lallana, Pascal Gross, Leandro Trossard, Danny Welbeck, Neal Maupay.

Subs: Jason Steele, Michal Karbownik, Alexis Mac Allister, Steven Alzate, Davy Propper, Moises Caicedo, Alireza Jahanbakhsh, Jose Izquierdo, Andi Zeqiri

BACA:  Premier League 2020/21: Tottenham Hotspur 1-3 Manchester United