Premier League 2021/22: Arsenal 3-1 Manchester United

Manchester United berkunjung ke Emirates Stadium untuk beraksi bertemu Arsenal dalam saingan Premier League.

Pasukan tuan rumah sebelum ini berjaya menewaskan Chelsea dengan keputusan 4-2 dan ia jelas sekali dianggap sebagai pemangkin semangat untuk mereka terus bangkit dari tiga kekalahan berturut-turut sebelum itu.

Manchester United sementara itu baru sahaja dibelasah teruk oleh Liverpool di Anfield kemarin dan jelas sekali mereka masih terkesan dengan kekalahan itu.

Setan merah hari ini turun tanpa ketua pasukan mereka, Harry Maguire yang terpaksa direhatkan selepas beliau teruk dihentam oleh pelbagai pihak sebelum ini.

Kedua-dua Arsenal dan Manchester United terdesak mahu mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini dengan mereka kini sedang bersaing untuk mengakhiri saingan Premier League di kedudukan empat teratas.

Arsenal yang baru sahaja mendapat tonik tambahan selepas membelasah Chelsea di Stamford Bridge cemerlang memulakan permainan dengan aksi menyerang sejak awal permainan.

Hasil dari aksi serangan tanpa henti yang dilancarkan, Arsenal berjaya memperoleh gol awal pada minit ke-3 permainan menerusi Nuno Tavares.

David De Gea berjaya menepis keluar bola percubaan dari Bukayo Saka namun bola tersebut tiba di kaki Nuno Tavares yang kemudiannya melakukan tap in mudah untuk merobek gawang gol United.

Arsenal kemudiannya terus menerus melancarkan beberapa siri serangan namun sayangnya mereka gagal untuk menambah jaringan.

Manchester United jelas sekali didominasi dalam perlawanan ini dengan anak-anak buah Ralf Rangnick itu mati kutu untuk menguji gawang gol Ramsdale.

Pada minit ke-28, Eddie Nketiah berjaya meledak gol kedua untuk Arsenal selepas beliau cemerlang memanfaatkan bola umpanan dari Bukayo Saka.

Pengadil perlawanan walau bagaimanapun telah membatalkan gol tersebut selepas VAR mengesan Nketiah datang dari kedudukan offside.

VAR walau bagaimanapun turut mengesan yang Alex Telles telah mengasari Bukayo Saka di dalam kotak penalti.

Pengadil perlawanan, Craig Pawson kemudiannya menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal dengan Bukayo Saka cemerlang menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Beberapa minit sahaja selepas itu, Manchester United berjaya membuka tirai jaringan mereka dalam perlawanan ini menerusi Cristiano Ronaldo.

Nemanja Matic bijak menghantar bola ke dalam kotak penalti mencari Cristiano Ronaldo yang kemudiannya tenang menyudahkan hantaran tersebut dengan menewaskan Aaron Ramsdale.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan 2-1 dengan Arsenal jelas sekali mendominasi aksi 45 minit pertama dalam perlawanan tersebut.

Masuk aksi babak kedua, Manchester United dilihat cuba melancarkan beberapa siri serangan dalam usaha mereka mahu menyamakan kedudukan.

Arsenal juga tidak kurang hebatnya dengan mereka turut berjaya melancarkan beberapa siri serangan untuk menguji gawang gol United.

Pada minit ke-56 permainan, Manchester United telah dihadiahkan sepakan penalti dengan Bruno Fernandes tampil mahu menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Walau bagaimanapun, bintang Portugal itu gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut dan jelas sekali beliau mensia-siakan peluang untuk United menyamakan kedudukan.

Beberapa minit selepas itu, Cristiano Ronaldo berjaya meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini, namun sayangnya gol itu dibatalkan oleh pengadil perlawanan.

Pada minit ke-70 permainan, Granit Xhaka cemerlang meledak gol ketiga Arsenal selepas rembatan padu beliau dari luar kotak penalti berjaya menewaskan David De Gea.

Manchester United berusaha mencari tambahan gol namun usaha mereka berakhir dengan sia-sia.

Pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat seterusnya mengesahkan kemenangan 3-1 Arsenal menewaskan Manchester United.

Kekalahan ini merupakan kekalahan kedua Man Utd secara berturut-turut dan lebih teruk lagi kedua-duanya dengan keputusan yang besar.

Setiap minggu kena belasah nak jadi apa? Minggu lepas salah Maguire, minggu ni salah siapa?

Kemenangan ini membawa Arsenal naik ke kedudukan keempat dalam carta saingan liga dengan mereka kini sedang bersaing rapat dengan Tottenham Hotspur untuk merebut kedudukan empat teratas dalam saingan liga.

Manchester United sementara itu berada di kedudukan keenam dan sepertinya agak sukar untuk mereka mencabar kedudukan empat teratas.

West Ham sementara itu menunggu peluang sahaja untuk memintas Man Utd dan skuad kendalian Ralf Rangnick itu turut berpotensi untuk terlepas slot ke saingan Europa League musim hadapan.

Arsenal (4-2-3-1): Ramsdale 7; Soares 5 (Tomiyasu 90+1), White 6, Gabriel 6, Tavares 6; Elneny 6, Xhaka 7; Saka 8 (Holding 74), Odegaard (c) 7, Smith Rowe 5 (Martinelli 64); Nketiah 6

Pemain simpanan: Leno (GK); Lacazette, Pepe, Lokonga, Azeez, Swanson

Pengurus: Mikel Arteta

Penjaring: Tavares 3; Saka pen 32; Xhaka 70

Kad kuning: Xhaka, Tavares, Elneny

Manchester United (4-2-3-1): De Gea 6; Dalot 7, Lindelof 6, Varane 5, Telles 5; McTominay 7, Matic 7 (Rashford 77); Elanga 6 (Lingard 77), Fernandes (c) 5 (Mata 84), Sancho 6; Ronaldo 6

Pemain simpanan: Henderson (GK); Bailly, Jones, Maguire, Wan-Bissaka, Garnacho

Pengurus: Ralf Rangnick

Penjaring: Ronaldo 34

Gagal sempurnakan sepakan penalti: Fernandes 57

Kad kuning: Telles, Fernandes, Lindelof, Ronaldo

Pengadil: Craig Pawson 6

Kehadiran penonton: 60,223

BACA:  Premier League 2023/24: Nottingham Forest Atasi Man United