Premier League 2021/22: Everton 1-4 Liverpool

Bulan disember akan dapat disaksikan kepadatan jadual Premier League yang tiada tanding tara dengan dua perlawanan akan dimainkan hampir setiap hari sehinggalah januari menjelma.

Merseyside derby yang menemukan dua jiran setempat Liverpool dan Everton menjadi pembuka selera bagi bulan yang penuh padat selepas dua perlawanan berlangsung sehari lebih awal.

Kesengitan yang biasanya disajikan dalam Merseyside derby seperti tidak ada apabila Liverpool mendominasi permainan usai perlawanan bermula dan ada ketikanya Everton nampak mengancam.

Ketua pasukan Liverpool yang memimpin dengan teladan, Jordan Henderson membuka tirai jaringan pada minit ke-9 perlawanan dengan satu bola lencong yang tersangat padu.

Ketenangan, teknik dan ketepatan, serba cukup gol dari Henderson yang sangat indah dengan bola berputar menerjah jaring menewaskan penjaga gol Everton, Jordan Pickford.

Sepuluh minit kemudian, pemain sensasi yang tidak menang Ballon d’Or, Mohamed Salah meneruskan aksi cemerlangnya dengan meledak gol kedua untuk Liverpool dalam perlawanan ini.

Everton jelas tidak mendapat rentak dengan mempamerkan aksi permainan yang huru-hara ketika menyerap serangan dan permainan pantas yang menekan dari Liverpool.

Pada minti ke-38 Demarai Gray memecahkan kebuntuan selepas menyempurnakan hantaran lolos yang sangat manis dari Richarlison seterusnya memberi sedikit ketenangan kepada Everton.

Demarai Gray telah memilih celah kangkang Allison Becker untuk menjaringkan gol.

Everton kelihatan sedikit baik selepas mendapat satu gol dan berjaya mengekalkan kedudukan 2-1 sehingga Mohamed Salah menjaringkan gol ketiga pada minit ke-64.

Mohamed Salah berjaya lolos untuk melakukan larian solo dan menunjukkan satu sentuhan penyudah yang meleleh selepas melakukan gerakan solo.

Gol ini berjaya dihasilkan selepas Mo Salah memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh Seamus Coleman.

Mohamed Salah terus mempamerkan aksi yang mengagumkan dengan beliau kini sudah terlibat dalam gol atau assist untuk Liverpool dari 7 perlawanan berturut-turut di tempat lawan.

Diogo Jota terus membunuh perlawanan dengan gol keempat ketika perlawanan masih berbaki 11 minit dengan satu rembatan padu di sudut yang sempit.

Pemain Portugal itu meraikan gol dengan tarian baby shark ke tu?

Penyokong Liverpool yang hadir di Goodison Park selepas perlawanan tamat menyanyikan lagu untuk Rafael Benitez yang pernah menjadi pengurus Liverpool.

Rafael Benitez mengakui kesilapan demi kesilapan dari anak-anak buahnya menjadi penyebab mengapa mereka terhukum dengan jaringan Liverpool dan membuatkan pemainnya tertekan.

Liverpool mencipta sejarah mereka yang tersendiri apabila menjaringkan dua gol atau lebih dalam 18 perlawanan berturut-turut di Premier League.

Jentera serangan Liverpool jelas berada di tahap yang berbeza pada musim ini, dengan mereka terus menerus kenduri gol sejak beberapa perlawanan terakhir.

Menang dengan kelebihan empat gol dan lima gol seolah-olah sudah sebati dengan Liverpool sepanjang musim ini dan kerana itulah mereka dianggap pasukan yang paling digeruni pada ketika ini.

Walau bagaimanapun, dek kerana Chelsea dan Manchester City turut mencatatkan kemenangan, maka tiada perubahan untuk kedudukan tiga teratas dalam saingan Premier League pada ketika ini.

Liverpool kekal berada di kedudukan ketiga, satu mata dibelakang Manchester City dan dua mata dibelakang pendahulu saingan Premier League, Chelsea.

Kesebelasan Utama Everton : Jordan Pickford, Seamus Coleman, Ben Godfrey, Michael Keane, Lucas Digne, Andros Townsend, Abdoulaye Doucoure, Allan, Demarai Gray, Richarlison, Rondon Jose Salomon .

Pemain Simpanan : Jonjoe Kenny, Fabian Delph, Asmir Begovic, Alex Iwobi, Cenk Tosun, Anthony Gordon, Jean-Philippe Gbamin, Jarrad Branthwaite, Lewis Dobbin.

Kesebelasan Utama Liverpool : Alisson Becker , Alexander-Arnold, Joel Matip, Virgin van Dijk, Anrew Robertson, Jordan Henderson, Fabinho, Thiago Alcantara, Mohamed Salah, Diogo Jota, Sadio Mane.

Pemain Simpanan : Ibrahima Konate, James Milner, Alex Oxlade-Chamberlain, Takimi Minamino, Konstantinos Tsimikas, Divock Origi, Caoimhin Kelleher, Neco Williams, Tyler Morton.

Pengadil Perlawanan : Paul Tierney (Lancashire).

Baca Juga

Baca Juga