Premier League 2021/22: Liverpool 3-0 Crystal Palace

Liverpool melayan kunjungan Crystal Palace ke bumi Anfield untuk aksi perlawanan kelima saingan Premier League musim 2021/22.

Skuad kendalian Jurgen Klopp sedang berada dalam rentak persembahan terbaik mereka selepas mencatatkan rekod bersih tanpa kalah sepanjang musim ini.

Dari empat perlawanan sebelum ini, Liverpool berjaya mencatatkan tiga kemenangan dan turut mencatat satu keputusan seri ketika bertemu Chelsea.

The Reds berada di kedudukan tiga teratas dalam carta liga, dengan mereka berkongsi kutipan mata serta jumlah gol yang sama dengan Chelsea dan Manchester United.

Sementara Crystal Palace pula dari empat perlawanan awal, mereka hanya mampu mengumpul lima mata sahaja, dengan mencatatkan satu kemenangan dan dua seri.

Palace masih tercari-cari rentak persembahan terbaik mereka di bawah kendalian pengurus baharu, Patrick Vieira.

Dari lima pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Liverpool berjaya memenangi kesemua perlawanan, dengan mereka menjaringkan 19 gol, termasuk ketika membelasah Palace 7-0 pada Disember tahun lalu.

Dari lima kemenangan itu juga, tiga darinya merupakan kemenangan secara clean sheet dengan Palace hanya mampu empat kali sahaja membolosi gawang gol Liverpool.

Kedua-dua pasukan dalam misi untuk menang, dengan Liverpool mahu mengukuhkan kedudukan di puncak saingan Liga, sementara Palace mahu mengelak untuk berada di zon penyingkiran.

Bermain di Anfield tentunya memberi kelebihan pada Liverpool memandangkan aura di halaman mereka senantiasa beri impak pada pasukan pelawat.

Perlawanan di mulakan dengan Palace melancarkan serangan ke arah gawang gol Liverpool, dan hampir saja memperoleh gol pendahuluan seawal minit pertama permainan.

Hasil dari kesilapan Diogo Jota yang menunggu bola melantun sebelum mengeluarkan dari kawasan bahaya, telah berlaku keadaan huru hara di hadapan gawang gol Liverpool.

Zaha hampir sahaja mencatatkan nama sebagai penjaring gol, namun percubaan beliau berjaya dinafikan oleh penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.

Lima minit pertama permainan, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun Crystal Palace dilihat lebih dominan.

10 minit pertama pula, kedua-dua pasukan masih mempamerkan aksi serang menyerang namun kali ini, Liverpool dilihat sedikit dominan.

Sehingga minit ke-20 permainan, Alisson Becker dilihat sedikit santai kerana gawang Liverpool langsung tidak diuji, dengan skuad The Reds kerap melancarkan serangan merbahaya.

Walau bagaimanapun, pada minit ke-20 hingga ke-25, Palace dilihat berjaya mendapatkan rentak permainan terbaik mereka, dengan mereka lebih menguasai permainan.

Liverpool buntu tidak mampu melancarkan serangan dengan kesemua gerakan mereka mati sebelum masuk ke final third.

Minit ke-30, Liverpool sudah mula mendapat rentak mereka semula dan kembali melancarkan serangan demi serangan ke kubu Palace.

Pada minit ke-37 permainan, Jota terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol, walau beliau sudah dihidangkan dengan gawang gol yang terbuka.

Bermula dengan tandukan dari Thiago Alcantara yang diselamatkan oleh Vincente Guaita, bola muntah tepat ke kaki Jota, namun bintang Portugal itu gagal untuk menyumbat bola ke dalam gawang gol, sebaliknya bola rembatan beliau tersasar jauh.

Pada minit ke-42 permainan, hasil dari sudut sepakan penjuru, Liverpool akhirnya berjaya membuka tirai jaringan mereka menerusi Sadio Mane.

Salah berjaya menanduk bola sepakan penjuru yang diambil oleh Tsimikas, namun bola tandukan beliau diselamatkan oleh Guaita.

Walau bagaimanapun, bola yang ditepis oleh Guaita sampai ke kaki Mane yang kemudiannya mudah menolak masuk untuk gol pertama Liverpool.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan 1-0 dengan kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat bagus.

Babak kedua bermula dengan agak perlahan dan kedua-dua pasukan masih saling mempamerkan aksi serang menyerang.

Sama seperti apa yang berlaku pada aksi babak pertama, kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar penguasaan bola namun Liverpool jelas lebih dominan.

Pada minit ke-78, Mo Salah berjaya menggandakan kedudukan dengan beliau meledak gol kedua Liverpool hasil dari sudut sepakan penjuru.

Situasi yang hampir sama seperti gol pertama, Van Dijk menanduk bola dari sepakan penjuru, dan disambung oleh Salah yang merembat kencang menerjah jaring gawang gol Guaita.

Minit ke-89 permainan, Liverpool berjaya memperoleh gol ketiga mereka, hasil jaringan dari Naby Keita dengan gol ketiga juga datang dari sudut sepakan penjuru.

Salah menanduk bola, namun ditepis oleh penjaga gol, dengan bola sampai tepat ke arah Keita yang kemudiannya melepaskan rembatan padu menerjah jaring gawang gol Palace.

Keita meraikan gol jaringannya dengan gaya yang cukup ikonik dan gol jaringan beliau sudah cukup untuk membantu Liverpool mencatatkan kemenangan 3-0.

Kemenangan 3-0 ini membawa Liverpool terus ke puncak saingan liga dengan mengumpul 13 mata dari lima perlawanan awal liga.

Skuad kendalian Jurgen Klopp masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan sedang berada di landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan liga.

Liverpool: Alisson; Milner, Konate, Van Dijk, Tsimikas; Fabinho, Henderson, Thiago; Salah, Mane, Jota

Simpanan: Kelleher, Gomez, Phillips, Robertson, Jones, Keita, Oxlade-Chamberlain, Minamino, Origi

Crystal Palace: Guaita; Ward, Guehi, Andersen, Mitchell; Kouyate, McArthur, Gallagher; Ayew, Benteke, Zaha

Simpanan: Butland, Tomkins, Kelly, Clyne, Riedewald, Hughes, Milivojevic, Olise, Edouard

BACA:  Old Trafford Tak Sesuai, Legenda Anfield Gesa Liverpool Segera Pikat Southgate