Premier League 2021/22: Manchester United 0-1 Wolves

Keputusan seri antara Liverpool dan Chelsea ditambah pula dengan kekalahan Arsenal kepada Manchester City membuka kepada Manchester United mengejar kedudukan keempat dan mengurangkan jarak mata dengan pasukan atasan.

Dengan kelebihan satu perlawanan, tiga mata perlu dicari Setan Merah bagi meletakkan diri dikedudukan aksi Eropah dan turun menentang Wolverhampton Wanderers sepatutnya tiada masalah.

Pemain pertahanan termahal dunia, Harry Maguire tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan, Raphael Varane dijangkan bergandingan dengan Eric Bailly atau Victor Lindelof.

Namun Ralf Rangnick membuat kejutan apabila menurunkan Phil Jones yang sudah lama diperam di kesebelasan utama.

Ini merupakan kali pertama Phil Jones bermula dari kesebelasan utama dalam tempoh 707 hari. Kali terakhir Jones melakukannya pada Januari 2020.

Bruno Fernandes dan pemain tonggak serta kesayangan peminat Manchester United masih lagi tidak diturunkan. Cristiano Ronaldo telah diberikan lilitan lengan sebagai ketua pasukan.

Old Trafford yang menjadi gelanggang keramat setan merah tidak lagi menggentarkan jiwa lawan, Wolverhampton Wanderers tenang menguasai perlawanan menentang taktikal genius Ralf Rangnick.

Tiada apa yang berubah dengan permainan Setan Merah yang nampak tidak jelas apa yang mahu dilakukan dengan hantaran berterabur dan setiap unit tidak bersambung seperti sel otak.

Selepas 20 minit tiada apa yang istimewa dari Manchester United yang hanya melakukan dua percubaan sahaja tanpa percubaan tepat berbanding Wolves dengan 8 percubaan dan tiga percubaan tepat.

Percubaan dilakukan kedua-dua pasukan sangatlah tidak berbahaya untuk membeliakkan biji mata.

Seperti perlawanan lepas bahagian tengah Manchester United terus hilang dan tidak menjadi titik penyambung permainan ditambah pula dengan aksi hantaran kebelakang.

Sesungguhnya perlawanan separuh masa pertama bapak bosan dan mujurlah perlawanan pukul 1.30 pagi bukan 4 pagi.

Setan Merah bernasib baik walaupun beraksi buruk kerana penyudah tumpul Wolves. Phil Jones jelas nampak berkarat namun mampu menyerap asakan.

Wolves telah melakukan 15 percubaan pada separuh masa pertama, rekod terbanyak percubaan di separuh masa pertama sejak musim 2003/04 yang berjaya dicipta pasukan pelawat

Lima minit pertama babak kedua menyaksikan Manchester United menguasai perlawanan namun hanya satu pecubaan sahaja berjaya dilakukan berbanding Wolves tiga percubaan.

Setan Merah masih lagi tiada kreativiti dan keserasian serta tidak bermain sebagai satu pasukan dan Wolves terus mencari sentuhan penyudah.

Mason Greenwood yang gagal berfungsi telah dikeluarkan dan Bruno Fernandes telah dimasukkan untuk menambah seri.

Pada minit ke-65, Bruno Fernandes mendapat peluang terbaik dari hantaran Nemanja Matic tetapi telah di nafikan palang.

Cristiano Ronaldo memecahkan kebuntuan dengan satu sudulan tajam menerjah gawang tetapi dibatalkan kerana offside.

Kemudian Ronaldo berjaya lepasi perangkap offside, percubaan dari sudut sempit tersasar.

Bruno Lage telah memasukkan Adama Traore yang menjadi titik penting serangan balas pantas. Rasford dimasukkan menggantikan Sancho.

Hasil serangan balas Adama Traore, Wolves berjaya mendapatkan sepakan percuma di luar kotak.

Sepakan percuma dari Romain Saiss semuanya tampak sempurna tetapi palang yang menjadi penghalang.

Pada minit ke-82 ketika pengulas menyebut Fergie Time, Joao Moutinho akhirnya memecahkan kebuntuan dengan satu rembatan kaki kiri yang sangat manis mencari penjuru.

David De Gea tertewas jua akhirnya, Joao Moutinho telah mengajar rakan senegaranya, Ronaldo dan Fernandes bagaimana menjaringkan gol.

Marcus Rashford masuk tidak memberi impak dan masih lagi mengarut seperti perlawanan sebelum ini.

Selepas jaringan Joao Moutinho itu, Wolves terus bersemangat dan tidak lagi bertahan dan melancarkan serangan bertali arus untuk membunuh perlawanan.

Pengorbanan Jones diminit akhir perlawanan untuk mendapatkan sepakan percuma dengan menghulurkan kepala ke kaki lawan hampir membuahkan hasil.

Sepakan percuma Bruno Fernandes tidak mampu menewaskan penjaga gol Wolves, Jose Sa dan Ralf Rangnick merasai kekalahan pertamanya.

Tahun 2022 dimulakan Setan Merah dengan kekalahan. Ini merupakan kekalahan ke-6 setan merah di Premier League musim ini.

Buat pertama kalinya dalam sejarah kewujudan Wolves menang di Old Trafford dalam perlawanan Premier League. Kali pertama Wolves menang di Old Trafford 42 tahun yang lalu.

Man Utd: Dde Gea, Wan-Bissaka, Varane, Jones, Shaw, McTominay, Matic, Greenwood, Sancho, Cavani, Ronaldo.

Subs: Rashford, Lingard, Fred, Bruno Fernandes, Dalot, Henderson, Alex Telles, Van de Beek, Elanga.

Wolves: Jose Sa, Kilman, Coady, Saiss, Nelson Semedo, Trincao, Neves, Joao Moutinho, Marcal, Jimenez, Daniel Podence.

Subs: Hoever, Ait Nouri, Bruno Jordao, Silva, Ruddy, Dendoncker, Traore, Cundle, Bueno.

Referee: Mike Dean (Wirral)

BACA:Β  Solskjaer Anggap Gol Kemenangan Aston Villa Tak Sepatutnya Dibenarkan