Premier League 2021/22: Manchester United 1-0 West Ham

Manchester United melayan kunjungan West Ham ke bumi Old Trafford untuk aksi dalam saingan Premier League.

Kedua-dua pasukan sangat terdesak mahu mengutip tiga mata penuh dari perlawanan ini, dalam usaha mereka untuk mencabar kedudukan empat teratas.

West Ham ketika ini berada di kedudukan keempat dengan mereka dua mata mengatasi Man Utd yang berada di kedudukan ketujuh.

Pemenang dalam perlawanan ini bakal berada di kedudukan keempat dan sudah tentu pasukan tuan rumah tidak akan mensia-siakan kesempatan untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini.

Manchester United menurunkan kesebelasan terbaik mereka dalam perlawanan ini dengan Harry Maguire kembali diturunkan dalam kesebelasan utama.

West Ham United juga sepertinya telah menurunkan kesebelasan terbaik mereka dalam perlawanan ini, dan sudah tentu matlamat utama mereka ke Old Trafford adalah untuk mengutip tiga mata penuh.

Lima minit pertama perlawanan berlangsung dengan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan ke kubu masing-masing.

Tiada pasukan yang terlalu dominan dengan kedua-dua pasukan nampak lebih berhati-hati dan pada masa sama terlalu kerap hilang bola.

20 minit perlawanan berlangsung, masih tiada percubaan merbahaya yang berjaya dihasilkan, dengan kedua-dua pasukan masih lagi saling berbalas serangan.

Minit ke-30 kedua-dua pasukan sepertinya masih belum selesa dengan mereka kerap hilang bola dan percubaan yang berjaya dilakukan juga kerap tersasar.

Tamat 45 minit pertama dalam perlawanan ini, kedudukan masih lagi terikat tanpa jaringan, dengan kedua-dua pasukan tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka.

Aksi babak kedua bermula dengan lebih menarik dengan kedua-dua pasukan semakin kerap melancarkan serangan yang lebih teratur.

60 minit pertama West Ham nampak lebih merbahaya dan mereka beberapa kali berpeluang untuk menghasilkan gol namun ia gagal disempurnakan.

Man Utd mula mendapat rentak dan tidak henti-henti melancarkan serangan namun usaha mereka juga berakhir dengan kegagalan.

Masuk minit ke-80, masih tiada jaringan yang berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan, dengan mereka lebih kerap melancarkan serangan yang sia-sia sahaja ke kubu lawan masing-masing.

90 minit masa sebenar permainan berakhir dengan perlawanan masih dalam kedudukan seri tanpa jaringan, dengan Man Utd dilihat giat melancarkan serangan.

Beberapa detik sebelum wisel penamat dibunyikan, hasil kesilapan dari jentera serangan West Ham yang membenarkan United melancarkan serangan balas, pasukan tuan rumah berjaya memperoleh gol kemenangan.

Setan merah melancarkan serangan pantas dengan Martial bijak melorongkan bola kepada Edinson Cavani dari dalam kotak, dengan bintang Uruguay itu kemudiannya cemerlang menghantar bola ke tengah dan disudahi dengan jaringan oleh Marcus Rashford.

Ia merupakan gol yang cukup cantik dengan para peminat bersorak riang meraikan gol kemenangan mereka diminit-minit akhir permainan itu.

Ia jelas sekali gol semangat yang memang dicari oleh Rashford dengan beliau tenang menyempurnakan hantaran cantik dari Edinson Cavani.

Para pemain West Ham meminta pengadil menyemak VAR kerana mereka mendakwa Cavani berada dalam kedudukan offside sebelum menghantar bola kepada Rashford.

Selesai merujuk VAR, pengadil mengesahkan gol tersebut, dan sebaik West Ham memulakan sepak mula bola tengah, pengadil perlawanan segera membunyikan wisel panjang.

Perlawanan tamat dengan Manchester United berjaya menewaskan West Ham United 1-0, seterusnya membantu mereka untuk menduduki kedudukan keempat dalam carta saingan liga.

Ia merupakan pertama kali Man Utd berada di kelompok empat teratas, sejak dari awal Ralf Rangnick dilantik sebagai pengurus interim kelab.

West Ham pula terpaksa akur turun ke kedudukan kelima dalam carta saingan liga, dengan mereka turut perlu bersedia untuk kebarangkalian dipotong oleh Spurs dan Arsenal selepas ini.

Man Utd (4-2-3-1): De Gea 6: Dalot 6, Varane 7, Maguire 6.5, Telles 6; Fred 7 (Cavani 82) , McTominay 6; Greenwood 6 (Martial 82), Fernandes 7, Elanga 6 (Rashford 62 7); Ronaldo 6.5

Pemain simpanan: Henderson (Gk), Jones, Matic, van de Beek, Mata, Martial, Rashford, Lingard, Cavani

Penjaring: Rashford 90

Kad Kuning: Maguire

West Ham (4-4-1-1): Areola 6: Coufal 7 (Fredericks 70 6), Dawson 6, Zouma 6, Cresswell 6.5; Bowen 7, Rice 7.5, Soucek 6.5, Lanzini 6; Fornals 6, Antonio 6

Pemain simpanan: Randolph (Gk), Fredericks, Johnson, Masuaku, Diop, Noble, Vlasic, Yarmolenko, Kral

Kad Kuning: Rice

Pengadil: Jonathan Moss 6

BACA:  Pogba Bengang Dengan Solskjaer Dan Mungkin Akan Tolak Tawaran Baru