Premier League 2022/23:利物浦 7 曼联 0

Liverpool berentap dengan Manchester United dalam aksi digelar Northwest Derby, aksi terbesar dalam kalendar bola sepak Inggeris.

Berikut kesebelasan utama kedua dua pasukan:

Penyokong Liverpool sudah bersemangat menyambut kedatangan pasukan mereka. Mengharapkan pasukan mereka tidak kelakar lagi dalam perlawanan ini.

Liverpool berusaha mengejar slot 4 teratas. Manakala Man United pula meneruskan cabaran mereka untuk menjadi pasukan ketiga yang mencabar kejuaraan serta impian quadruple musim ini.

Dengan Arsenal dan Man City masing masing mencipta kemenangan ke atas lawan mereka, tiada alasan untuk United tidak menewaskan pasukan yang bergelut di pertengahan carta liga, Liverpool.

Liverpool memulakan perlawanan dengan baik. Dan Manchester United selesa untuk memerhatikan rentak lawan mereka itu sesekali cuba melakukan serangan pantas daripada serangan balas.

Antony melakukan rembatan lencong bahaya yang ditepis rakan senegaranya iaitu Alisson di gawang Liverpool.

Minit ke-15, Harvey Elliot mempersia siakan peluang keemasan yang dimilikinya dengan percubaan liar melambung tinggi.

Tidak lama kemudian, Liverpool melakukan ancaman lagi, tetapi percubaan Nunez juga tidak tepat, dengan penjaga garisan sebenarnya sudah mengesan ofsaid.

Nunez datang lagi dengan ancaman bahayanya, cuba menyambut hantaran Robertson, tetapi Lisandro Martinez berjaya menghadang bola, jika tidak ianya benar benar berpotensi masuk.

Liveprool memiliki lebih banyak percubaan pada 25 minit pertama dengan 7 percubaan berbanding 1 sahaja daripada Man United.

Namun pada minit ke-26, Manchester United memiliki peluang keemasan mereka. Apabila Diogo Dalot melambungkan hantaran lintang yang ditanduk terbang Bruno Fernandes. Alisson sudah mati langkah. Sayangnya bola sedikit tersasar.

Seminit kemudian, Marcus Rashford menerima hantaran sangat baik di belakang Van Dijk. Tetapi gagal menampan kemas dan diselamatkan Alisson.

Pada minit ke-33, Diogo Dalot mendapat peluang untuk menjaringkan gol ketika menyambut sepakan percuma Luke Shaw. Namun tandukan lemah itu tepat kepada Alisson Becker.

Klopp kemudian menggesa anak anak buahnya agar tidak membenarkan Man United bermain lebih banyak di kawasan mereka. Ini selepas skuad Erik Ten Hag semakin mendapat rentak dalam perlawanan ini.

Pada minit ke-34, United memiliki 4 percubaan dengan 3 on target. Berbanding Liverpool 7 shot tapi 0 on target.

Minit ke-39, Man United datang lagi dengan ancaman, kali ini hantaran Casemiro membelah pertahanan Liverpool yang kalut cuba mematikan ancaman tersebut. Antony mengawal bola namun tidak dapat menyudahkannya. Ulang tayang menunjukkan bahawa Antony dalam kedudukan ofsaid jika dia menjaringkan gol.

Pada minit ke-42, Casemiro menanduk masuk bola hasil hantaran sepakan percuma Luke Shaw. Namun dia terlebih dahulu sudah pun ofsaid.

Kira kira seminit selepas peristiwa itu, pertahanan Man United dihukum. Kali ini Cody Gakpo menerima hantaran cantik di belakang pertahanan dalam keadaan tidak ofsaid. Dan dia melencongkan bola rendah dan masuk.

Itulah on target pertama Liverpool dalam perlawanan ini.

Liverpool masuk ke bilik persalinan dengan pendahuluan 1-0 sahaja.

Pada separuh masa kedua, Manchester United tampil lebih agresif dan menyerang dari awal.

Namun Nunez yang selalu diejek penyokong Man United berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-47. Selepas Shaw dan Casemiro kucar kacir dan kehilangan bola dengan muda. Ianya membolehkan Elliot melakukan hantaran cantik dan disudahkan oleh Nunez.

Kini peminat Man United benar benar berharap roh Real Madrid masuk ke dalam pasukan mereka. Ketinggalan 2 gol dan bangkit 5 gol.

Itu tak berlaku.

3 minit kemudian, Cody Gakpo – pemain sasaran Ten Hag yang disailang Liverpool – menambah 1 lagi gol. Berpunca daripada serangan balas, Mo Salah mengacah Lisandro Martinez dan menghantar bola ke dalam yang disudahkan Gakpo.

Pada minit ke-66, penjaring terbanyak Liverpool musim ini, Mo Salah menjaringkan gol keempat dengan rembatan kaki kanan derasnya untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Pesta gol Liverpool diteruskan lagi ibarat konsert Blackpink.

Darwin Nunez yang seringkali menjadi watak video kompilasi kelakar dibuat penyokong United, menjaringkan gol kelima pada minit ke-75.

Rasa tak larat dah nak cerita ni. Menitis air mata menaipnya.

Mohamed Salah mencetak gol kedua peribadinya pada minit ke-83, untuk menjadikan kedudukan 6-0.

Pemain yang disahkan akan meninggalkan kelab akhir musim ini, Firmino yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol ketujuh Liverpool.

Gol yang mungkin akan menjadi perisai digunakan peminat Liverpool setiap kali peminat Man United menyebut kekalahan 7-2 Liverpool di tangan Villa selepas ini. Rasanya ler.

Tamat perlawanan, Liverpool 7, Manchester United 0

BACA:  Van Dijk: Tiada Sebab Untuk Liverpool Berasa Panik