Premier League 2022/23: Brighton 3-0 Liverpool

Liverpool terus longlai, lemah dan lembik apabila mempamerkan aksi penuh memalukan lagi mengaibkan apabila tunduk 3-0 kepada Brighton untuk menjadikan situasi semasa mereka dari teruk kepada malapetaka.

Liverpool turun untuk perlawanan kedua Premier League dan ketiga bagi bagi tahun 2023 selepas dua perlawanan Liverpool masih lagi belum menang dengan keputusan seri dan kalah.

Brighton yang juga merupakan jenama lampu merupakan lawan Liverpool yang dalam usaha mencipta titik perubahan bagi menterbalikkan nasib buruk mereka ketika ini.

Pada perlawanan pertama musim ini menentang Brighton seri 3-3 di mana Leandro Trossard telah menjaringkan hatrik bagi menafikan tiga mata Liverpool ketika itu.

Dalam perlawanan ini Leandro Trossard tiada dalam pasukan atas alasan peribadi dan mahu berpindah selepas bergaduh dengan pengurus pasukan, Roberto De Zerbi.

Liverpool terus diselebungi masalah kecederaan pemain utama, terkini menjelang perlawanan menentang Brighton, Darwin Nunez pula dilaporkan mengalami kecederaan dan tidak dapat diturunkan malah tiada dalam senarai.

Darwin Nunez kini termasuk dalam senarai kecederaan panjang yang sudah dihuni pemain tonggak seperti Luis Diaz, Diogo Jota dan Virgil Van Dijk. Sesuatu yang memeningkan kepada Jurgen Klopp.

Brighton merupakan pasukan yang sangat mengagumkan walaupun selepas Graham Potter pergi untuk bersama Chelsea di mana Roberto De Zerbi menggalas tanggungjawab dengan jayanya.

Liverpool mempamerkan aksi longlai dan serba tidak menjadi menyaksikan Brighton berleluasa menguasai permainan.

Solly March telah berjaya mendapatkan sepakan penalti apabila menjatuhkan diri selepas terdapat sentuhan yang sangat minima dan lembut dari Alisson Becker.

Walaupun minima sudah cukup syarat sah penalti dan campur tangan Video Assistant Referee (VAR) sekali lagi menyelamatkan Liverpool apabila Solly March terlebih dahulu offsaid.

Kaoru Mitoma bermaharajalela dengan gelecekan demi gelecekan di separuh masa pertama, bahagian pertahanan Liverpool di ayam-ayamkan begitu sahaja.

Mujurlah sentuhan penyudah tiada di kaki Kaoru Mitoma dalam perlawanan ini dan 45 minit pertama berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Bersambung perlawanan hanya dua minit sahaja diperlukan Solly March meletakkan Brighton Hove and Albion dihadapan.

Kesilapan Joel Matip membuat hantaran kepada Jordan Henderson dipotong oleh pemenang Piala Dunia, Alexis MacAllister lalu ditolak kepada Kaoru Mitoma.

Kaoru Mitoma entah cuba membuat percubaan atau hantaran di mana Alisson Becker gagal untuk menyentuh bola bergolek lalu Solly March datang menyambar untuk gol pembukaan.

Enam minit kemudian gol kedua hadir juga melalui Solly March yang mempamerkan kualiti penyudah untuk umpanan padu sesedap rasa dari Evan Ferguson.

Selepas ketinggalan dua gol Liverpool dilihat baru pandai bermain bola dan seperti mahu memberi cabaran namun gagal menghadirkan ancaman.

Kemasukkan bekas pemain Manchester United, Danny Welbeck terus menghuru-harakan pertahanan Liverpool yang longlai dan lemah.

Hantaran melalui tandukan jahat Solly March berjaya menemui Danny Welbeck yang membuat satu kawalan kemas tidak seperti Lukaku lalu merembat dari jarak dekat menewaskan Alisson Becker buat kali ketiga.

Sepakan penjuru pertama Liverpool hadir pada minit ke-90 yang membuktikan betapa hinanya Liverpool dalam perlawanan ini dan hanya melakukan 1 percubaan tepat.

Brighton menguasai 61 peratus penguasaan bola yang biasanya menjadi milik Liverpool dan telah melakukan 8 percubaan tepat.

Hilai tawa mengiringi kekalahan Liverpool di kedai mamak ketika penyokong mereka sudah mendap berasimilasi dengan lebihan makan di atas meja.

Liverpool akan turun menentang Wolves dalam perlawanan ulangan Piala FA pada pertengahan minggu ini. Adakah Klopp mampu mengubah nasib Liverpool?

Brighton: Sanchez, Gross, Dunk, Colwill, Estupinan, Caicedo, Mac Allister, March, Lallana, Mitoma, Ferguson

Pemain Simpanan : Lamptey, Webster, Welbeck, Sarmiento, Undav, Steele, Gilmour, van Hecke, Veltman

Kesebelasan Utama : Liverpool: Alisson, Alexander-Arnold, Matip, Konate, Robertson, Fabinho, Thiago, Henderson, Oxlade-Chamberlain, Salah, Gakpo.

Pemain Simpanan : Kelleher, Gomez, Milner, Keita, Jones, Elliott, Tsimikas, Carvalho, Doak.

BACA:Β  Rumah Fabinho Dirompak Pada Hari Beliau Menjulang Trofi