Premier League 2022/23: Liverpool 1-1 Crystal Palace

Pasukan bakal juara semua piala musim ini, Liverpool telah memulakan kempen Premier League mereka musim 2022/23 dengan langkah sumbang apabila sekadar seri pada perlawanan pertama menentang Fulham.

Crystal Palace menanti Liverpool yang dicanang hebat dan tidak terkalahkan walaupun sekadar menamatkan Premier League musim lalu ditempat kedua mereka mendabik dada seolah-olah merekalah juara.

Kemenangan yang dicari namun seri jua ditemui Liverpool dalam perlawanan kedua menentang Crystal Palace ditambah buruk dengan layangan kad merah kepada Darwin Nunez.

Pemain penyerang tinggi lampai dengan nilai harga amat tinggi juga dicanang sebagai penyerang terhebat di alam semesta itu koyak teruk dan telah menanduk pemain lawan.

Garang Liverpool menekan sejak wisel dimulakan dan hampir mendahului sejurus selepas bermula namun rembatan dari kaki lemah milik James Milner melangit tinggi ke gawang terbuka.

Liverpool terus mencuba dan mencuba untuk mencari gol pendahuluan namun tidak kunjung tiba malahan dihukum dengan jaringan pembukaan Wilfred Zaha pada minit ke-32.

Darwin Nunez yang mempamerkan aksi yang boleh diharapkan ketika seri menentang Fulham bermula dari kesebelasan utama dan telah mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan dipenghujung babak pertama.

Pada awalnya Nunez bermain agak baik sebelum menjadi semakin merudum berkadaran dengan masa permainan.

Peluang Darwin Nunez hadir melalui satu voli yang sangat meliar perginya di mana bola jauh melewati palang dan peluang kedua juga turut dibazirkan.

Cubaan Darwin Nunez untuk melakukan percubaan tersasar atau miscue dan telah disebut-sebut sebagai satu percubaan yang pelik dari pemain bernilai tinggi seperti itu.

Kemuncak kepada aksi buruk Nunez pada minit ke-57 apabila Darwin Nunez berjaya mengutip kad merah pertamanya bersama Liverpool.

Gol yang diharap dari Nunez, tapi kad merah pula yang datang.

Kerana koyak teruk dan gagal mengawal emosi, Nunez telah menanduk muka kacak Joachim Andersen dan tiada pilihan lain buat pengadil perlawanan, Paul Tierney melainkan melayangkan kad merah.

Ini bermakna penggantungan tiga perlawanan menanti Darwin Nunez. Jarang-jarang pemain Jurgen Klopp mendapat kad merah.

Selepas empat minit bermain 10 pemain, Liverpool berjaya menyamakan kedudukan melalui Luis Diaz dengan satu larian yang disusuli dengan rembatan dari jarak 20 ela.

Cantik, indah dan padu percubaan Diaz itu dan tidak ada seorang pun penjaga gol dalam dunia ini mampu menyelamatkan percubaan itu.

Ketiadaan Nunez langsung seperti tidak memberi impak kepada Liverpool dan bermain lebih baik tanpa pemain penyerang itu dengan serangan menggila.

Luis Diaz teramat padu dalam perlawanan ini samada bersama bola atau tanpa bola, di mana-mana saja Diaz berada. Diaz = 2-3 orang pemain.

Wilfred Zaha hampir menghukum Liverpool dengan gol kedua melalui hantaran silang Cheick Oumar Docoure tetapi percubaan Zaha tersasar.

Liverpool terus menekan Crystal Palace sehingga ke detik terakhir lima minit masa kecederaan bagi mencari gol kemenangan yang tidak kunjung tiba.

Skuad Jurgen Klopp menguasai perlawanan dengan melakukan 24 percubaan berbanding Palace hanya 7 percubaan sahaja tapi cukup untuk berkongsi mata.

Setakat ini Liverpool masih lagi mencari rentak mereka dengan kehadiran pemain baru dan juga himpunan pemain yang cedera memberi kesukaran untuk mengubah corak permainan dengan drastik.

Kesebelasan Utama Liverpool (4-3-3) : Alisson; Alexander-Arnold, Phillips, van Dijk, Robertson; Elliott, Fabinho, Milner; Salah, Nunez, Diaz.
Pemain Simpanan : Adrian, Gomez, Tsimikas, Bajcetic, van den Berg, Keita, Henderson, Carvalho, Clark.

Kesebelasan Utama Crystal Palace (5-4-1) : Guaita; Clyne, Ward, Andersen, Guehi, Mitchell; Ayew, Doucoure, Schlupp, Eze; Zaha.
Pemain Simpanan : Johnstone, Richards, Milivojevic, Olise, Hughes, Ebiowei, Plange, Mateta, Edouard.

Pengadil perlawanan : Paul Tierney.

BACA:Β  Premier League 2019/20: Crystal Palace 0-2 Manchester United