Premier League 2022/23: Manchester United 2-0 Tottenham Hotspur

Perlawanan Manchester United menentang Tottenham Hotspurs merupakan pertemuan keempat membabitkan pasukan dari kalangan enam teratas yang juga dipanggil Big 6.

Setakat ini Manchester United telah bertemu dengan Liverpool, Arsenal dan juga jiran setempat mereka, Manchester City.

Dalam tiga perlawanan awal menentang pasukan Big 6, Setan Merah hanya tewas sekali iaitu kepada Manchester City di mana Arsenal dan Liverpool hanya menjadi lauk.

Keputusan yang agak mendukacitakan buat anak buah Erik Ten Hag apabila sekadar seri menentang Newcastle United yang sepatutnya boleh menjadi santapan.

Semuanya gara-gara kerana ketumpulan sentuhan penyudah.

Cristiano Ronaldo yang membuat perangai lagi ketika dikeluarkan dalam perlawanan menentang Newcastle United tiada dalam kesebelasan utama dan hanya di bangku simpanan.

Dengan prestasi semasa yang konsisten dipamekan Spurs yang dibimbing Antonio Conte sudah pasti perlawanan ini akan menjadi sukar buat Manchester United.

Namun sebaliknya terjadi apabila Spurs gagal memberikan yang terbaik dan menyaksikan Manchester United terlalu dominan lagi kacak bergaya.

Manchester United menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 dalam Liga Perdana di Old Trafford hasil jaringan Fred dan Bruno Fernandes. Kemenangan itu meletakkan United hanya satu mata di belakang Chelsea untuk tempat keempat dalam jadual.

Setan Merah mendominasi permainan separuh masa pertama dengan penuh bergaya lagi yakin tetapi kecewa kerana kedudukan masih lagi terikat tanpa jaringan pada waktu rehat.

Dengan permainan penuh meyakinkan anak buah Erik ten Hag melakukan 19 percubaan dalam 45 minit pembukaan sahaja, paling banyak yang pernah dicatatkan oleh sebuah kelab di separuh masa pertama perlawanan Liga Perdana tanpa menjaringkan gol.

Sebanyak 14 daripada 19 percubaan itu datang dan hadir dari luar kotak iaitu percubaan jarak jauh yang mungkin dapat menjelaskan kegagalan Manchester United menjaringkan gol.

Hampir sejurus selepas separuh masa, Manchester United mendapat hasil yang dicari-cari apabila Fred menjaringkan gol melalui satu percubaan yang telah terbias kaki pemain Spurs pada minit ke-47.

Bruno Fernandes menggandakan pendahuluan tuan rumah pada minit ke-69, mengutip bola dalam kotak Tottenham Hotspur dan melepaskan rembatan cantik melepasi Lloris ke sudut jauh.

Hugo Lloris adalah satu-satunya pemain diprestasi terbaik untuk pasukan Antonio Conte apabila dia melakukan lapan penyelamatan, beberapa daripadanya sangat cemerlang.

Ketika permainan berbaki kurang 10 minit, Bruno Fernandes menjaringkan gol ketiga yang mampu membunuh terus perlawanan namun kantoi berada dalam situasi offside.

Bruno Fernandes yang sendu dalam beberapa perlawanan kebelangan ini mempamerkan aksi masterclass dengan 9 peluang gol telah dicipta.

Cristiano Ronaldo, yang tidak diturunkan dan naya memanaskan bangku simpanan untuk perlawanan ini telah membuat perangai lagi.

Pemain kebangsaan Potugal dilihat berjalan menyusuri terowong sebelum sepenuh masa dan ini merupakan satu sikap negatif dalam pasukan.

Erik Ten Hag memuji persembahan anak buahnya yang dianggap sebagai permainan berpasukan seperti mana falsafah dibawanya tanpa perlu bergantung kepada persembahan individu.

Ditanya mengenai perangai Ronaldo. Erik Ten Hag tidak berminat untuk komen dan mahu merai serta menikmati kemenangan ini.

Kesebelasan Utama Manchester United : David De Gea, Dalot, Raphael Varane, Lisandro Martinez, Luke Shaw, Casemiro, Fred, Antony, Bruno Fernandes, Sancho, Rashford.

Pemain simpanan : Heaton, Lindelof, Ronaldo, Malacia, Eriksen, Pellistri, Elanga, McTominay, Garnacho.

Kesebelasan Utama Tottenham Hotspur : Lloris, Romero, Dier, Davies, Doherty, Hojbjerg, Bentancur, Bissouma, Perisic, Son, Kane.

Pemain simpanan : Forster, Skipp, Sanchez, Gil, Sessegnon, Spence, Tanganga, Moura, Lenglet.

Baca Juga

Baca Juga