Pihak penganjur Liga Perdana Inggeris kini dikatakan bakal mengemukakan garis panduan baru untuk temuramah sebelum dan selepas perlawanan untuk disiarkan di televisyen, bersama pemain dan juga pengurus.
Tindakan ini terpaksa diambil selepas keriuhan dan kemeriahan dari tepi padang pada hujung minggu yang lalu dan menyebabkan penyiar seperti Sky, BT Sport dan beberapa penyiar lain mengeluh kerana sukar untuk menjalankan temuramah.
Selain itu, terdapat juga beberapa penyokong yang membuat bantahan selepas perlawanan antara Manchester United dan Leeds United di Old Trafford kerana mereka tidak dapat mendengar apa yang diujar pemain dan pengurus, dek suasana bingit di dalam stadium meskipun perlawanan sudah tamat.
EXCLUSIVE: Premier League introduces new Purple Zone after opening weekend post-match chaos
✍|@johncrossmirror https://t.co/F54jPba6Id pic.twitter.com/cea7QzGZu6
— Mirror Football (@MirrorFootball) August 17, 2021
Bukan setakat penonton di rumah sahaja yang tidak dapat medengar apa yang disebut di dalam temuramah, malah pemain juga turut terkesan.
Penjaring gol dalam perlawanan tersebut, Mason Greenwood, kelihatan agak teragak-agak untuk menjawab soalan daripada jurnalis selain tidak berapa dengar ketika soalan diajukan.
Selain itu, kelab juga risau akan sesetengah penyokong yang kekal di stadiu, dan mengerumuni pemain dan pengurus selepas perlawanan, selain menjadi sasaran sebelum perlawanan bermula.
Keadaan boleh menjadi lebih parah sekiranya terdapat protes daripada kalangan penyokong yang inginkan seseorang pengurus untuk dipecat. Maka disebabkan kemungkinan ini, kesemua pihak yang terlibat dengan perlawanan secara langsung agak risau dengan apa yang boleh terjadi.
Oleh kerana mereka adalah penganjur yang bertimbangrasa, maka pihak Liga Perdana Inggeris telah bercadang untuk mewujudkan satu zon baru di dalam terowong dan kebenaran untuk menggunakan bilik media buat pihak penyiar dan membolehkan mereka mengendalikan temuramah di dalam bilik, jauh dari padang.
Sebelum ini, pihak Liga Perdana Inggeris sudahpun menetapkan zon merah adalah untuk pemain, pegawai dan staf kejurulatihan untuk mengelakkan daripada percampuran daripada pihak lain bagi mengurangkan risiko jangkitan virus corona yang masih belum terhapus dari muka bumi ini.
Mereka juga sebelum ini telah memperkenalkan zon perang (bukan perang yang tembak-tembak tu tau, ni perang warna), tetapi pengenalan zon ungu ini adalah mewakili perubahan ke arah normaliti dan peraturan baharu ini akan mula digunapakai bermula bulan Oktober.
Bila baca tajuk, mesti korang fikir zon ungu tu mewakili sesuatu kan?
Dalam minggu pembukaan Liga Perdana Inggeris yang lalu, beberapa keputusan perlawanan yang mencipta kejutan telah menarik perhatian para penyokong.
Paling terkejut adalah pasukan yang baru naik ke Liga Perdana Inggeris buat kali pertama, Brentford, telah menewaskan pasukan yang tak pernah turun daripada Liga Perdana Inggeris – Arsenal.
Pasukan yang dulunya digelar pasukan gergasi, Manchester United, turut mencipta kejutan apabila membelasah lawan, Leeds United, dengan pemain tengah Bruno Fernandes mencatatkan hatrik.
Pasukan yang mempunyai penyokong yang paling confident setiap musim pula, Liverpool, tenang menewaskan pasukan yang baru naik kembali ke Liga Perdana Inggeris, Norwich di tempat lawan.
Juara Eropah, Chelsea, juga tidak menghadapi masalah apabila mereka dengan begitu mudah menewaskan Crystal Palace di laman sendiri.
Walaubagaimanapun, juara bertahan, Manchester City membuka kempen liga pada musim ini dengan langkah kiri apabila tewas tipis kepada pasukan yang terumbang-ambing, Tottenham Hostpur di tempat lawan.
Kehadiran pemain baru yang bernilai GBP100 juta, Jack Grealish, gagal membantu memecah kebuntuan buat City, sebaliknya Tottenham yang kini dikemudi Nuno Espirito Santo, bermain dengan begitu berdisiplin dan menutup segala ruang serangan daripada digunakan sepenuhnya oleh City.
Perlawanan minggu kedua nanti bakal menyaksikan Liverpool bakal melayan kunjungan Burnley, Manchester City pula bakal menerima kehadiran Norwich City, sementara pasukan jiran mereka, United, bakal berkunjung ke Southampton.
Tottenham pula bakal bertemu pasukan lama pengurus mereka, Wolverhampton Wanderes, manakala Arsenal dijangka akan merekodkan kekalahan kedua mereka di mana mereka bakal melayan kunjungan anak buah Tomas Tuchel.
Sumber berita : Mirror