Premier League Minta Bukti Chelsea Bukan Dimiliki Arab Saudi

Premier League dilaporkan telah meminta Chelsea untuk mengemukakan bukti kelab London itu sebenarnya bukan dimiliki oleh konsortium Arab Saudi, Public Investment Fund (PIF).

Sejak Cristiano Ronaldo menyertai Al Nassr pada Januari lalu, Arab Saudi telah melabur banyak untuk memperkasakan liga bola sepak mereka dalam usaha untuk menarik nama-nama besar di dalam bola dunia sepak.

Karim Benzema disahkan menyertai Al Ittihad dengan beberapa nama besar lain dijangka akan turut mengikut jejak langkah bekas pemain Real Madrid itu.

Pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante turut telah mencapai persetujuan untuk meninggalkan Stamford Bridge untuk menyertai Al Ittihad dan beberapa pemain Chelsea lain turut dikatakan akan berbuat demikian.

Menurut beberapa laporan, Hakim Ziyech, Kalidou Koulibaly dan Edouard Mendy turut dikatakan akan meninggalkan Stamford Bridge untuk beraksi di Saudi Pro League.

Jumlah pemain Chelsea yang berhijrah ke Arab Saudi secara tiba-tiba yang turut bermakna kelab London itu akan meraih dana besar hasil penjualan pemain menimbulkan banyak keraguan dan kerisauan.

Laporan oleh The Telegraph baru-baru ini mendedahkan pemilik-pemilik kelab Premier League mendesak Chelsea membuktikan mereka sebenarnya tidak dimiliki oleh PIF.

Kerisauan itu berasaskan terdapat kemungkinan PIF membantu Todd Boehly daripada segi dana untuk membeli kelab itu dengan nilai £4.2 billion pada tahun lalu.

Perkara itu mendorong Premier League campur tangan dan Chelsea dipercayai telah mengemukakan bukti yang dipinta.

PIF milik Arab Saudi sebelum ini melengkapkan pengambilalihan Newcastle United pada 2021 dengan dana £300 juta. Sejak daripada itu PIF telah melabur banyak untuk Newcastle.

Selepas menandatangani pemain seperti Kieran Tripper, Bruno Guimaraes dan Alexander Isak, skuad kendalian Eddie Howe berjaya mara ke pertandingan Champions League pada musim hadapan.

Chelsea juga berbelanja besar selepas Boehly melengkapkan pengambilalihan apabila menggunakan dana lebih daripada £600 juta sejak dua jendela perpindahan lalu.

Antara pemain baharu yang direkrut The Blues adalah seperti Marc Cucurella, Raheem Sterling, Enzo Fernandez dan Wesley Fofana.

Boehly sebelum ini telah memberi amaran Newcastle akan mempunyai kemampuan untuk memberikan cabaran di Premier League.

“Kumpulan ‘Big Six’ akan menjadi tujuh pasukan selepas Arab Saudi mengambilalih Newcastle. Ini akan memberikan peluang untuk pasukan lain untuk muncul juara,” ujarnya.

Kenyataan mungkin bersifat umum pada ketika itu, namun kini ia dianggap sentimen Boehly mempunyai sepakatan dengan PIF.

BACA:  FA Mengenakan Pertuduhan Kepada Chelsea Dan Leicester City Kerana Bergocoh