Presiden Napoli Umum Tidak Akan Lagi Beli Pemain Afrika

Presiden kelab bola sepak Napoli, Aurelio De Laurentiis telah membuat pengumuman mengejut apabila menyatakan kelab Serie A itu tidak akan membeli atau menandatangan pemain dari Afrika.

Pengumuman ini langsung tiada kaitan dengan agenda perkauman tetapi keputusan ini dibuat kerana disebabkan oleh kejohanan Piala Negara Afrika.

Aurelio De Laurentiis berkata Napoli akan mendapatkan pemain dari Afrika jika ada pemain yang sanggup membuat perjanjian bahawa mereka tidak akan beraksi di kejohanan itu.

Piala Negara Afrika atau Africa Cup of Nations dan nama manjanya AFCON adalah kejohanan dwi tahunan yang dianjurkan oleh Confederation of African Football (CAF).

Piala ini setara tarafnya dengan kejohanan EURO bagi Eropah, Piala Asia, Copa dan lain-lain lantaran itulah pemain dari Afrika tidak mahu terlepas dari kejohanan ini.

Awal tahun ini pemain pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly yang telah bersama Chelsea membuat penampilan di AFCON bersama pemain tengah Cameroon, Andre Zomba Anguissa.

Situasi ini menyaksikan Napoli telah kehilangan khidmat Kalidou Koulibalu dan Andre Zomba Anguissa untuk tugasan antarbangsa hampir sebulan (Januari dan Februari) dan terlepas beberapa perlawanan penting bersama Napoli.

Bulan Januari dan Februari merupakan fasa penting dan kemuncak di liga utama Eropah di mana dapat ditentukan samada mereka akan terus dapat bersaing merebut kejuaraan atau tidak dengan musim yang berbaki.

Kehilangan pemain tonggak untuk tempoh agak panjang bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh kelab.

Presiden kelab bola sepak Napoli, Aurelio De Laurentiis telah muncul dalam satu live stream bersama Wall Street Italia dan melontarkan pandangannya tentang pemain Afrika yang beraksi di kejohanan dwitahunan itu.

“Saya memberitahu mereka, jangan bercakap dengan saya tentang pemainm Afrika lagi!” kata De Laurentiis semasa live itu menerusi Football Italia.

“Saya sayang mereka, tetapi sama ada mereka menandatangani sesuatu yang mengesahkan mereka akan berundur daripada bermain Piala Negara-Negara Afrika, atau sebaliknya antara kejohanan itu, kelayakan Piala Dunia di Amerika Selatan, pemain-pemain ini tidak pernah ada!”

“Kami adalah orang bodoh yang membayar gaji hanya untuk menghantar mereka ke seluruh dunia bermain untuk orang lain.”

ESPN memetik dari Presiden Napoli berusia 73 tahun itu sebagai berkata:

“Atau mereka menandatangani penepian melepaskan hak mereka untuk menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Afrika atau antara AFCON dan kejuaraan di Amerika Selatan.”

“Saya tidak pernah mempunyai mereka [pemain Napoli] bila nak guna.”

Dalam live stream bersama Wall Street Italia itu juga, Aurelio De Laurentiis juga mendakwa telah menolak tawaran yang bernilai $900 juta daripada pelabur Amerika Syarikat untuk membeli Napoli yang beraksi di Serie A itu.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dana pelaburan ini menjadi gaya perniagaan, mereka perlu menjamin pendapatan tertentu pelabur mereka dalam tempoh lima tahun.” katanya.

“Mereka melihat bola sepak adalah satu peluang yang baik dan mereka boleh menggandakan pelaburan mereka dengan menjual kelab kepada dana pelaburan pada masa hadapan. Itulah yang telah dilakukan oleh Milan dan Inter, bukan?”

“Saya menjadi sasaran oleh pelabur dana, saya tidak tahan lagi. Pada 2017-18, sebuah dana Amerika Syarikat menawarkan saya $900 juta untuk menjual Napoli.”

“Tetapi mereka tidak sedar saya adalah usahawan tulen yang gemar bermain permainan ini, jadi biarkan saya terus bermain.”

Aurelio De Laurentiis bukanlah anti dengan pemain dari Afrika namun untuk kelangsungan kelab adalah tidak praktikal jika kehilangan pemain dari Afrika setiap dua tahun di bulan Januari dan Februari.

BACA:  Klopp: Tumpas Di Tangan Napoli Persediaan Terbaik Hadapi Manchester City