“Prestasi Buruk Skuad Bawah 23 Tahun di Sukan Sea Memeranjatkan dan Memalukan” Presiden FAM

SKUAD bola sepak negara kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkemungkinan dirombak selepas post morterm yang akan diadakan berikutan persembahan suram di Sukan Sea Singapura, menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda tidak menolak kemungkinan itu kerana menyifatkan prestasi buruk pasukan bola sepak bawah 23 negara pada temasya itu memeranjatkan dan memalukan. Malaysia tersingkir awal selepas menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste pada 30 Mei, diaibkan 1-5 oleh Vietnam pada 2 Jun, kalah 0-1 kepada Thailand dan menang 2-0 ke atas Brunei pada 8 Jun.

“Kekalahan ini tidak boleh diterima dan kami akan minta jawatankuasa teknikal untuk mengkaji apakah punca kekalahan ini,” titah baginda kepada pemberita selepas melawat Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas) di sini hari ini.

Tengku Abdullah juga tidak menolak kemungkinan faktor kombinasi jurulatih, yang kedudukannya juga akan ditentukan oleh jawatankuasa teknikal FAM, dan pemain menjadi punca kepada prestasi buruk pasukan bola sepak itu.
“Saya rasa hampa dengan jurulatih kerana kita sudah beri banyak tumpuan kepada beliau dan kumpulan…bagaimanapun saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Kita tunggu selepas kaji selidik,” titah baginda.
BACA:  6 Sebab Kenapa Malaysia Mesti Menewaskan Timor Leste Dan Palestin Dalam Kelayakan Piala Dunia