Prestasi Cemerlang Delap Tarik Perhatian Kelab Besar

Selagi Liam Delap terus menjaringkan gol, Ipswich Town masih ada harapan untuk kekal dalam Liga Perdana. Pada perlawanan menentang Aston Villa, Delap menjaringkan gol ke-10 liga musim ini, membantu pasukannya meraih 1 mata pertama sejak awal Januari. Keputusan itu memastikan Ipswich, yang berada di tangga ke-18 kekal dalam jarak yang rapat dengan Wolves di kedudukan ke-17.

Penyerang berusia 22 tahun itu semakin menyerlah sebagai salah satu bakat muda terbaik Liga Perdana. Ketika dia berjalan di hadapan penyokong Ipswich di Villa Park ketika dimasukkan pada minit ke-80, dia disambut dengan sorakan gemuruh. Suasana sama berlaku selepas wisel penamat, kali ini bersama pengurus Kieran McKenna dan seluruh pasukan yang berdiri bersama-sama penyokong yang optimis dengan peluang mereka kekal di Liga Perdana musim depan.

Penyerang Klasik Dengan Sentuhan Moden

Delap mengingatkan semua kepada penyerang klasik; tinggi (186cm), kuat, direct dan mampu mengatasi pertahanan lawan secara fizikal. Axel Disasi yang membuat penampilan sulung bersama Villa selepas dipinjam dari Chelsea, pasti merasai tekanan hebat daripada Delap sepanjang separuh masa pertama.

Walaupun Ipswich kehilangan Axel Tuanzebe yang dibuang padang sebelum separuh masa pertama tamat, McKenna tetap percaya pasukannya berpeluang untuk menang. Di bilik persalinan, dia menegaskan bahawa pasukannya hanya memerlukan “satu atau dua detik penting” dan berharap salah satu peluang itu datang dari Delap.

Itulah yang berlaku. Omari Hutchinson melepasi kawalan Ian Maatsen sebelum menghantar bola ke dalam kotak penalti. Walaupun dikelilingi oleh 4 pemain Villa, Delap bijak memintas pertahanan lawan dan menewaskan Emiliano Martinez dengan satu penyudah kemas.

“Gol yang sangat baik,” kata McKenna selepas perlawanan.

“Pergerakan yang bijak daripada Delap dan ini satu jenis gol yang berbeza untuknya. Dia berjaya menewaskan pertahanan lawan dengan cukup baik.”

Prestasi Konsisten, Mencuri Perhatian Kelab Besar

Sumbangan Delap bukan hanya dari segi jaringan tetapi juga usaha bertahannya. Dalam perlawanan ini, dia melakukan lebih banyak aksi bertahan (6) berbanding penyertaan dalam serangan (5). Setakat ini, hanya Marcus Stewart yang menjaringkan lebih banyak gol untuk Ipswich dalam satu musim Liga Perdana (19 gol pada 2000-01), membuktikan betapa besarnya impak Delap sejak perpindahannya dari Manchester City dengan harga £20 juta musim panas lalu.

Prestasinya turut mendapat pujian pengurus Villa, Unai Emery yang menyifatkan Delap sebagai “penyerang yang cukup kompetitif” dan “melakukan kerja yang luar biasa”.

Persembahan cemerlang Delap turut menarik minat kelab-kelab besar Liga Perdana. Manchester United dilaporkan sedang memantau perkembangannya, sementara Chelsea juga menunjukkan minat. Manchester City pula meletakkan klausa beli semula bernilai £40 juta dalam perjanjiannya bersama Ipswich. Ia dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya Delap terus berkembang menjadi bintang besar.

Malah Thomas Tuchel, ketua jurulatih baharu England pasti menyedari kemunculan Delap. Dengan pemilihan skuad untuk kelayakan Piala Dunia pada bulan depan, Delap mungkin menjadi salah satu pilihan Tuchel terutama dengan rekod jaringannya yang mengagumkan.

Antara Penyerang Terbaik England Musim Ini

Setakat ini, dalam kalangan penyerang tengah England hanya Ollie Watkins (11 gol) yang menjaringkan lebih banyak gol liga berbanding Delap. Cole Palmer dari Chelsea mendahului senarai dengan 14 gol tetapi dia bukan seorang penyerang tulen.

Apa yang menjadikan Delap istimewa ialah kepelbagaian permainannya. Dia boleh menjaringkan gol dari jarak jauh, dalam kotak penalti, dengan kedua-dua kaki dan juga menerusi tandukan. Dengan ketepatan percubaan lebih 51%, dia berada dalam kelompok 10 terbaik bagi penyerang yang bermain lebih 900 minit musim ini. Dia lebih baik daripada Alexander Isak (Newcastle), Watkins (Villa), Jean-Philippe Mateta (Crystal Palace) dan Dominic Solanke (Tottenham).

Kadar penyudahnya juga tinggi, melebihi 23%, menjadikannya pemain ke-6 terbaik dalam kategori itu mengatasi bintang seperti Erling Haaland (Manchester City) dan Cody Gakpo (Liverpool).

Masa Depan Cerah Untuk Delap

McKenna percaya bahawa Delap adalah penyerang yang seimbang dan sukar dicari dalam bola sepak moden.

“Untuk bermain sebagai penyerang utama dalam musim pertama kami kembali ke Liga Perdana selepas 22 tahun, anda perlu berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya.

“Ada perlawanan di mana kami lebih dominan dan banyak melakukan hantaran lintang. Ada juga perlawanan di mana kami perlu bermain secara serangan balas. Dan ada yang menentang pasukan yang bermain garisan tinggi dan memberi ruang di belakang. Seorang penyerang perlu mengadaptasi semua situasi ini dan Delap memilikinya.”

Dengan potensi besar dan prestasi konsisten, masa depan Delap kelihatan sangat cerah. Sama ada dia akan terus menyinar di Ipswich, kembali ke Manchester City atau berhijrah ke kelab besar lain, satu perkara pasti, dia kini menjadi salah satu penyerang muda yang paling menarik perhatian di Liga Perdana.

BACA:  Bagaimana Arsenal Berjaya Mendapatkan Pertahanan Masa Depan England Ini Dengan Harga £50 juta?