Previu Liga Super Malaysia Minggu Ke-14 : Skuad The Bos Gaurus Bertandang Ke ‘Sarang’ Helang Merah!

Musim bola sepak Malaysia sudah kembali bersambung setelah sebulan ‘berehat’ bagi menghormati bulan Ramadhan. Setelah tirai perpindahan pemain ditutup 11 Jun lalu yang menyaksikan beberapa perpindahan menarik seperti Mohammad Ghaddar ke Johor DT dan Marko Simic ke Melaka United, adakah saingan Liga Super selepas ini akan menjanjikan sesuatu yang lebih gempak dan rancak? Menarik untuk kita sama-sama saksikan!

Perlawanan yang menjadi tumpuan penulis kali ini ialah perlawanan derbi utara, Kedah menentang Perak di Stadium Darulaman, Sabtu ini. Dua pasukan lagenda yang sangat memerlukan 3 mata; Kedah memerlukan 3 mata untuk mengejar Pahang di posisi ke-2 manakala Perak pula memerlukan 3 mata untuk menjarakkan diri daripada pasukan lain (Kelantan – 17 mata, Selangor – 17 mata, Felda United – 16 mata).

Apakah yang akan diperagakan kedua-dua pasukan dalam perlawanan kali ini? Bagaimanakah perlawanan ini akan berakhir? Jangan risau! Penulis telah sediakan satu laporan komprehensif merangkumi berita pasukan, laporan taktikal, isu penggantungan dan kecederaan serta banyak lagi dalam artikel kali ini. Jadi, teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang perlawanan ini.

Berita Pasukan – Perak ‘Bersamba’, Kedah Ambil Pendekatan Baharu Hadapi Perak

Tirai perpindahan kedua telah ditutup pada 11 Jun lalu yang melibatkan beberapa perpindahan berskala besar namun terdapat pasukan seperti Kedah yang mengambil inisiatif untuk tidak melakukan sebarang perubahan besar terhadap pasukan (mungkin sebab Kedah sudah 500 langkah ke hadapan, menyedari kepentingan keluasan skuad (‘squad depth’)).

Perak telah melakukan beberapa perubahan besar seperti menamatkan kontrak dua pemain asing mereka, Vladislav Mirchev dan Faton Toski serta menggantikan mereka dengan pemain asing yang mempunyai pengalaman bermain di Liga Super, Leandro Dos Santos dan Gilmar Filho. Selain itu, 3 pemain tempatan berpindah ke pasukan baharu secara pinjaman (Raffi Nagoorgani & Hafiz Ramdan ke PKNP, Ridzuan Azly ke UiTM FC) manakala Nor Hakim Isa berpindah ke Melaka United secara tetap.

Gambar Ihsan Perak TBG

Kedah yang tidak melakukan sebarang perubahan ketara, pula dikatakan sedang mengambil suatu pendekatan berbeza dan baharu dari segi taktikal ke dalam pasukan Kedah ketika ini. Menurut rakan penulis yang berada di Kedah ketika ini, Nidzam Adha akan menerapkan falsafahnya yang tersendiri ke dalam DNA pasukan Kedah. Apakah pendekatan tersebut? Sama-sama kita nantikan!

Laporan Taktikal – Bola Sepak Klasik Diperagakan Kedua-dua Pasukan ?

Sepanjang sebulan musim bola sepak Malaysia ‘berehat’, kebanyakkan pasukan telah mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan termasuklah Kedah dan Perak. Perlawanan persahabatan diadakan atas beberapa asbab; meningkatkan kecergasan pemain, menguji keharmonian pemain dan menguji keberkesanan perubahan taktikal yang diterapkan.

Perak dan Kedah ada persamaan yang ketara dalam asbab mereka mengadakan perlawanan persahabatan; menguji keberkesanan perubahan taktikal yang diterapkan. Kedua-dua pasukan nampaknya telah mengubah DNA pasukan masing-masing menjadi sesuatu yang kita biasa lihat; 4-4-2 klasik dengan corak hantaran bersifat ‘direct football’. Terkejut, bukan?

Perak nampaknya bakal menggunakan 2 penyerang yang berbeza peranannya; ‘poacher’ (Yashir Pinto/Abdul Hadi) dan ‘target man’ bercirikan sokongan (Gilmar Filho/Nizad Ayub). Leandro dan Hafiz Kamal akan membentuk gandingan di tengah. Apa yang mengejutkan penulis ialah Nasir Basharuddin berkemungkinan akan bermain sebagai pemain sayap kanan! Menarik, bukan?

Kedah pula nampaknya bakal melupakan sistem ‘free-flowing football’ dan formasi 4-2-3-1 dalam DNA pasukan mereka setelah Nidzam Adha bertindak untuk meletakkan Sandro dan Ken Ilso bersama-sama sebagai tonggak serangan. Nidzam Adha juga lebih banyak menerapkan corak menyerang secara ‘direct football’ dalam beberapa siri perlawanan persahabatan.

Isu Penggantungan & Kecederaan – Bebas Penggantungan, Kecederaan?

Gambar Ihsan mStar

Berita baik buat penyokong kedua-dua pasukan! Hasil penyelidikan mendalam pangkalan data pihak NO STAR NO HAL, pemain kedua-dua pasukan ini bebas daripada sebarang isu penggantungan. Namun, isu kecederaan pula membelenggu mereka. Berikut ialah senarai pemain yang terlibat dengan isu kecederaan :

Perak : Ahmad Khairil Anuar (Baru Pulih)

Kedah : Halim Shaari (ACL), Arif Farhan (Baru Pulih), Ken Ilso (Cedera Bahu), Zac Anderson (Cedera Pinggul), Rizal Ghazali (Cedera)

Pemain Tumpuan :

Gambar Ihsan Goal.com

Perak : Yashir Pinto, Gilmar Filho & Leandro

Kedah : Ken Ilso, Liridon Krisniqi & Baddrol Bakhtiar

Artikel Ini Disiapkan Dengan Bantuan Afiq Mamoru dan No Star No Hal

Baca Juga

Baca Juga