Previu MSL #18 : ‘The Bos Gaurus’ Berkunjung Ke Kandang ‘The Southern Tigers’

Liga Super Malaysia sudah masuk pusingan ke-18 dengan menyaksikan salah satu ‘inter-regional derbies’ yang penulis gelarkan ‘Firms Battle’ bakal berlangsung. Pasukan Perak bakal bertemu Johor DT di stadium keramat mereka, Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.

Atas kertas, Johor DT merupakan pilihan untuk memenangi perlawanan tumpuan tersebut memandangkan mereka sedang menduduki takhta liga dengan 42 mata, jauh meninggalkan Perak di tempat ke-4 dengan 28 mata. Namun, segala-galanya belum berakhir selagi wisel penamat tidak ditiupkan.

Ulisses Morais v Mehmet Durakovic – Siapa Lebih Bagus?

Ulisses Morais | Gambar : FourthOfficial

Pengendali Johor DT, Ulisses Morais merupakan ‘orang baru’ dalam kancah bola sepak Malaysia manakala pengendali Perak iaitu Mehmet Durakovic merupakan bekas pengendali Selangor (2013-2015) yang berjaya menjuarai Piala Malaysia.

Atas faktor pengalaman di Malaysia, Mehmet boleh dijadikan pilihan untuk mencuri 3 mata di Larkin tetapi dengan pengalaman mengendali beberapa pasukan terbaik di Portugal, Morais dilihat mampu untuk mengekalkan rekod bersih Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.

Menurut rekod yang kami miliki, Ulisses Morais yang menyertai Johor DT pada 19 Jun 2017 telah berjaya mencatatkan rekod 6 kemenangan, 1 kekalahan dan 1 seri. Mehmet Durakovic pula mencatatkan 6 kemenangan, 4 kekalahan dan 4 seri sepanjang beliau menyertai Perak, menggantikan mendiang Karl-Heinz Weigang.

Atas kertas pula, skuad Ulisses Morais lebih berkelebihan dengan jumlah pemain berkualiti yang mereka ada namun status terkini menunjukkan bahawa skuad Mehmet Durakovic pada prestasi yang terbaik untuk menumpaskan Johor DT. Adakah percaturan mereka akan menjadi penentu kepada arah tuju perlawanan ini? Sama-sama kita nantikan!

Pemain Tumpuan : Ghaddar v Gilmar, Thiago v Marcos, Izham Tarmizi v Hafizul Hakim

Selain daripada jurulatih, menarik juga untuk kita lihat bagaimana pemain mereka bakal menghadapi perlawanan mereka, hari ini. Pemain tumpuan bagi perlawanan ini ialah Ghaddar, Gilmar, Marcos Antonio, Thiago Aquino, Izham Tarmizi dan Hafizul Hakim.

Bahagian Serangan :

Mohammad Ghaddar | Gambar : ESPNFC

Mohammad Ghaddar (Lubnan) bukanlah pemain tumpuan semasa awal ketibaannya di Malaysia pada awal musim ini. Namun, Ghaddar berjaya menutup mulut pengkritik dan media apabila berjaya menjaringkan 18 gol daripada 11 perlawanan (nisbahnya ialah 1.63 gol : 1 perlawanan) untuk Kelantan. Kini, beliau telah menjaringkan 4 gol daripada 4 perlawanan untuk Johor DT.

Gilmar pula adalah pemain terbaru Perak yang bermain di Serie B (Brazil) untuk pasukan Caxias Do Sul. Dengan rekod 11 gol daripada 19 perlawanan, dia juga bukanlah pemain tumpuan memandangkan 2 musimnya di Malaysia sebelum ini agak hambar. Namun, dia berjaya membuktikan kepada peminat Perak tentang ketajamannya apabila dia telah menjaringkan sejumlah 4 gol daripada 7 perlawanan (nisbahnya 0.52 gol : 1 perlawanan).

Bahagian Pertahanan :

Marcos Antonio | Gambar : The Star

Marcos Antonio dan Thiago Aquino terkenal sebagai pertahanan ‘botak’ dari Brazil yang menunjukkan aksi cemerlang baik ketika bertahan atau menyerang. Untuk rekod dalam liga, barisan pertahanan yang diketuai Marcos hanya berjaya dibolosi sebanyak 13 kali manakala Thiago dan rakan pertahanannya telah dibolosi 25 kali.

Hafizul Hakim | Gambar : FourFourTwo

Penjaga gol juga perlu diberikan perhatian memandangkan benteng terakhir mereka merupakan pemain kebangsaan ketika ini. Izham Tarmizi berjaya mencatatkan 5 ‘clean sheets’ daripada 9 perlawanan liganya setelah banyak menghabiskan masa sebagai pengganti Farizal Marlias. Hafizul Hakim pula hanya berjaya mencatatkan 5 ‘clean sheets’ daripada 17 perlawanannya.

Analisis Taktikal : 4-3-3 Morais Menentang 4-4-1-1 Mehmet

Ruang Yang Diberikan Pahang (v Johor DT) | Gambar : Semuanya BOLA

Boleh dikatakan bahawa zon 14 boleh jadi penentu kepada keputusan akhir perlawanan ini. Kenapa? Dengan kekuatan ‘attacking 5’ Johor DT, Perak boleh dihukum sekelip mata jika terlalu membuka ruang di zon 14 mereka sepertimana Pahang pada perlawanan Pahang v Johor DT, 12 Julai lalu. Namun, Perak juga ada rahsia mereka untuk mengeksploitasi zon 14 Johor DT; Yashir Pinto yang bermain sebagai ‘trequartista’ yang sememangnya ditugaskan di situ.

Amirulhadi dan Leandro akan menjadi tumpuan sepanjang transisi menyerang kepada bertahan berlaku. Kenapa? Hal ini demikian kerana mereka sememangnya orang yang akan menjadi titik utama untuk menghentikan serangan lawan di ‘middle third’. Secara kasarnya, Johor DT sudah cukup stabil dengan kekuatan tambahan mereka; Natxo Insa yang boleh bermain sebagai ‘box-to-box midfielder’.

Perak pula masih mempunyai masalah dengan bahagian pertahanan mereka. Masalah ini berlaku sejak awal musim yang disebabkan oleh kelemahan barisan pertahanan dari segi ‘marking’, kecederungan mereka untuk membuka ruang sangat besar di belakang mereka (‘zon 14’) dan ‘shape’ mereka yang mudah pecah apabila sedang bertahan. Dapatkah Perak bertahan untuk mencuri mata di Larkin?

Rekod & Statistik : Segalanya Memihak Kepada Johor DT

Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos merupakan stadium keramat Johor DT. Sehingga ke hari ini, tiada pasukan yang mampu menewaskan mereka di sana sejak 2015, termasuklah Perak. Menurut rekod kami, Perak dan Johor DT telah bertemu selama 14 kali dengan 9 daripadanya berpihak kepada Johor DT, 1 seri untuk kedua-dua pasukan dan sejumlah 33 gol baik jaringan mahupun bolos telah dicatatkan.

Prestasi semasa juga diambil kira dalam perlawanan tumpuan seperti ini. Perak dan Johor DT berjaya mencatatkan 3 kemenangan, 1 seri dan 1 kekalahan dalam 5 perlawanan terakhir mereka. Untuk statistik lanjut, anda boleh rujuk menerusi rajah yang telah disediakan di bawah :

Jumlah Gol & Peratus Kecenderungan (Domestik) :

Jumlah Bolos & Peratus Kecenderungan (Domestik) :

Ramalan Penulis Bola Sepak Bebas (Johor DT v Perak)

Berbeza daripada previu-previu laman web lain, penulis telah sediakan satu kolum untuk ramalan daripada penulis-penulis bola sepak atas talian. Anda boleh kecam mereka dengan menekan nama mereka tetapi jangan cakap penulis ajarkan. Berikut adalah ramalan-ramalan mereka :

1. Ahmad Muzammil (Ketua Editor Semuanya BOLA) – Seri (1-1)

2. Bukhari Othman (Pemilik The Sukan) – Johor DT Menang (2-1)

3. Hairi Mohd (Penulis Bebas) – Johor DT Menang (2-0)

4. Sharell Eizwan (Penulis di Sukan.my) – Johor DT Menang (3-1)

5. Meor Abdullah Syamim (Ketua Editor di Arena Seladang) – Seri (1-1)

Baca Juga

Baca Juga