PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK NEGARA (PPBN) DAN QUEENS PARK RANGERS METERAI JALINAN KERJASAMA

London, 17 September, 2015 –  Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) secara rasminya mengumumkan jalinan kerjasama strategik dengan kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queen Park Rangers (QPR), yang akan menyaksikan QPR menghulurkan bantuan kewangan, teknikal dan lain-lain program pembangunan jangka panjang bersama yang komprehensif dan menyeluruh. Inisiatif ini akan dapat membantu misi PPBN dalam mencapai semua matlamat yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang meliputi beberapa teras strategik pembangunan termasuklah melahirkan pemain berkualiti tinggi di seluruh pelusuk negara.

Pengumuman bersejarah ini dilakukan ketika Program Jelajah United Kingdom di mana Skuad bawah 13 tahun PPBN telah diperkenalkan sebelum sepakmula perlawanan Liga di antara QPR dan Blackburn Rovers di Stadium Loftus Road pada awal pagi ini (waktu Malaysia).

nfdp-malaysia-jalin-kerjasama-bersama-qpr

Turut hadir dalam majlis serba ringkas tapi amat bermakna ini ialah bekas pemain antarabangsa England dan Pengarah Bola Sepak QPR, Les Ferdinand, duta kelab Andy Sinton, wakil-wakil pengurusan QPR, Pengarah Projek PPBN En. Lim Teong Kim, wakil pengurusan dan barisan jurulatih PPBN yang menyertai Program Jelajah UK.

Sementara kebanyakan kelab Liga Perdana Inggeris hanya menghantar jurulatih bagi klinik serta kursus jangka masa pendek, QPR telah melangkah setapak ke hadapan dengan mewujudkan jawatan Pengarah Pembangunan Teknikal, khas di Asia yang kini disandang oleh bekas jurulatih belia Bayern Munich serta bekas pemain kebangsaan, En. Lim Teong Kim. Kerjasama ini telah memperlihatkan En. Lim memainkan peranan sebagai Pengarah Projek PPBN dan juga Pengarah Pembangunan Teknikal di Asia untuk QPR.

Beberapa petanda positif dapat dilihat melalui kerjasama ini termasuklah kejayaan yang telah dicipta oleh skuad bawah 13 PPBN. Skuad ini merupakan pasukan perintis bagi PPBN. Pada tahun lepas, dengan bantuan QPR, mereka telah menjelajah ke United Kingdom dan menewaskan pasukan-pasukan Liga Inggeris seperti Reading, Ipswich, Tottenham Hotspur dan Chelsea. Pada bulan Mei tahun ini pula, skuad yang sama telah beraksi di Jerman, Austria, Sepanyol dan Portugal. Secara keseluruhan, 21 perlawanan telah  berjaya dimenangi, 2 kali seri dan cuma kalah sekali kepada PSG dari 24 perlawanan yang telah mereka hadapi.

Kemenangan demi kemenangan berjaya diraih ketika menentang beberapa akademi bola sepak ternama seperti Bayern Munich, TSV 1860 Munich, Red Bull Salzburg, Atletico Madrid dan FC Sevilla. Pencapaian yang diraih akhirnya dilengkapkan dengan kejuaraan apabila mereka muncul juara bagi Piala Iber di Costa Del Sol, Sepanyol. Pemain-pemain ini berjaya menewaskan Sporting Lisbon, 2-1 di perlawanan akhir.

Queens Park Rangers merupakan rakan PPBN yang pertama selepas pelancarannya pada tahun 2014 dan telah membantu menubuhkan 80 pusat-pusat latihan di bawah PPBN setakat ini.  Sekurang-kurangnya 15,000 kanak-kanak berumur 7 hingga 17 tahun kini sedang dilatih oleh  700 jurulatih PPBN di pusat-pusat tersebut.

Queen Park Rangers komited dalam menjayakan matlamat jangka masa panjang PPBN dan akan terus memperkasakan program bagi menjadikannya satu realiti.

Pemegang-pemegang taruh utama PPBN iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bolasepak Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terutamanya kepada Pengerusi-pengerusi bersama QPR FC,  Yang Berusaha En. Ruben Emir Gnanalingam dan Yang Berbahagia Tan Sri Tony Fernandes yang telah menjadikan kerjasama ini satu realiti.

Baca : Versi Inggeris

Baca Juga

Baca Juga