Proses Perpindahan Pemain dalam Bola Sepak: Bagaimana Ia Berlaku dan Siapa yang Terlibat?
Jendela perpindahan pemain dibuka dua kali setahun iaitu pada Januari dan Jun. Ketika ini, ekosistem perpindahan bola sepak menjadi aktif dengan pelbagai rundingan dan perpindahan pemain. Namun, bagaimana sebenarnya proses perpindahan berlaku dan siapa yang terlibat dalam urusan tersebut?
Menurut Scott Parker, ketua jurulatih Burnley, proses perpindahan pemain kini lebih rumit dengan banyak pihak yang terlibat. Terdapat tujuh pihak utama dalam setiap perpindahan pemain iaitu pemain, pengurus/ketua jurulatih kelab pembeli, jabatan pencarian bakat, ejen pemain, ketua eksekutif kelab, peguam dan pasukan perubatan.
1. Pemain: ‘Perlu Bersikap Terbuka’
Menurut bekas Liga Perdana Inggeris, Ben Watson, perpindahan pemain biasanya bergantung kepada prestasi mereka di atas padang. “Ejen bukan ahli sihir yang boleh mencipta peluang daripada tiada,” katanya.
Watson yang pernah bermain untuk Crystal Palace, Watford dan Wigan Athletic melalui enam perpindahan sepanjang kariernya selama 19 tahun termasuk tiga perpindahan pada bulan Januari.
“Sebagai pemain, anda perlu bersikap terbuka. Anda mungkin bersama satu kelab selama enam bulan, setahun atau 10 tahun tetapi jarang pemain kekal di satu kelab sepanjang karier mereka. Perpindahan pada Januari lebih mencabar kerana ia boleh berlaku dengan pantas—hari ini anda bersama satu kelab, esok anda sudah menandatangani kontrak dengan kelab lain di lokasi yang jauh, sama ada anda mahu atau tidak. Kadang-kadang, keputusan itu bukan di tangan anda,” jelasnya.
Perpindahan pemain boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti perubahan pengurusan, kecederaan, isu kontrak atau minat dari kelab lain. Watson menambah, “Gosip perpindahan boleh mengganggu fikiran pemain. Anda mungkin mendengar khabar angin mengenai kelab tertentu berminat mendapatkan anda tetapi selagi tiada rundingan rasmi, semuanya sekadar cakap-cakap.”
Selain itu, pemain juga perlu merancang masa depan mereka dengan bijak. “Kerjaya bola sepak tidak bertahan lama. Menjelang umur 35 tahun, ia hampir berakhir tetapi anda masih muda. Walaupun bermain kerana minat, anda juga perlu memanfaatkan peluang yang ada,” katanya.
Perpindahan juga memberi kesan kepada keluarga pemain. Marie-Louise Hudson, seorang bekas isteri pemain Liga Perdana Mark Hudson berkongsi pengalaman hidup sebagai pasangan pemain bola sepak penuh dengan pengorbanan. “Ia seperti menaiki rollercoaster—banyak perkara perlu diuruskan seperti mencari rumah baru, sekolah untuk anak-anak dan mengangkut barang,” katanya.
2. Pencari Bakat: ‘Perlu Menggabungkan Pemerhatian dan Data’
Leonardo Gabbanini, bekas ketua pencari bakat di Tottenham Hotspur menjelaskan lima langkah utama dalam sistem pencariannya:
- Liputan pencarian bakat – Menggunakan data untuk perancangan skuad, mengenal pasti keperluan posisi utama dan menyediakan senarai sasaran perpindahan.
- Analisis mendalam – Menilai pemain dengan membandingkan data teknikal dan fizikal serta membandingkannya dengan pemain lain dalam pasukan.
- Penilaian kewangan – Menentukan sama ada perpindahan pemain boleh dilaksanakan dari segi kewangan.
- Komunikasi dan rundingan – Berbincang dengan pengurusan kelab, ejen dan pihak berkaitan untuk mendapatkan kepastian sebelum keputusan dibuat.
- Pemeriksaan perubatan dan psikologi – Memastikan pemain berada dalam keadaan fizikal dan mental yang sesuai sebelum menandatangani kontrak.
Gabbanini menekankan kepentingan gabungan antara data dan pemerhatian secara langsung. “Seorang pencari bakat berpengalaman mungkin sudah melihat ribuan pemain. Kepakaran mereka masih berharga,” katanya.
3. Ketua Jurulatih: ‘Perbualan dengan Pemain Adalah Penting’
Scott Parker berkongsi proses pengambilan pemain kini lebih sistematik. “Jabatan pencarian bakat akan mencadangkan pemain dan saya akan menilai mereka. Perbincangan berterusan antara jurulatih, pengurusan dan pemilik kelab diperlukan bagi memastikan kesepakatan dicapai,” katanya.
Menurut Parker selain data statistik, penilaian peribadi terhadap pemain sangat penting. “Perbualan selama 30 minit boleh memberikan gambaran tentang personaliti pemain. Rujukan daripada individu lain juga membantu dalam membuat keputusan,” jelasnya.
4. Ejen Pemain: ‘Peranan Kami Sebagai Penghubung’
Mark Gottlieb, pengarah pengurusan bakat di General Sports Worldwide menjelaskan bahawa ejen berfungsi sebagai perantara antara pemain dan kelab.
“Kelab akan menghubungi kami jika mereka berminat dengan klien kami. Kami akan menilai sama ada perpindahan itu sesuai untuk pemain dan membantu dalam rundingan,” katanya.
Walaupun sering dikritik, Gottlieb percaya ejen memainkan peranan penting dalam ekosistem bola sepak. “Kami memastikan pemain mendapat tawaran terbaik dan membantu mereka merancang karier mereka dengan lebih baik,” tambahnya.
5. Ketua Eksekutif Kelab: ‘Perlu Fleksibel dan Berdaya Saing’
Christian Nourry, ketua eksekutif Queens Park Rangers menekankan kepentingan kecekapan dalam pengurusan perpindahan. “Perancangan awal dan pemahaman terhadap keadaan pasaran amat penting. Rundingan dengan kelab lain perlu dilakukan dengan cepat dan berkesan,” katanya.
Paul Barber, ketua eksekutif Brighton, menambah bahawa perancangan jangka panjang adalah kunci kejayaan perpindahan. “Kami cuba mendapatkan pemain sebelum kami benar-benar memerlukannya. Ini mengelakkan tekanan harga tinggi selepas menjual pemain utama,” jelasnya.
6. Peguam: ‘Memastikan Kontrak Selamat untuk Pemain’
Daniel Geey, seorang peguam sukan terkemuka menegaskan tugasnya adalah memastikan pemain tidak menandatangani kontrak yang berisiko. “Saya akan menyemak terma dan syarat kontrak bagi memastikan keadilan kepada pemain,” katanya.
Menurut Geey, kontrak Liga Perdana Inggeris mempunyai bahagian yang tidak boleh diubah kecuali jadual pembayaran dan klausa tambahan. “Ia termasuk bonus, klausa pelepasan dan insentif lain,” katanya.
7. Pasukan Perubatan: ‘Pemeriksaan Kesihatan adalah Fasa Kritikal’
Geoff Scott, bekas ketua perubatan Tottenham Hotspur menjelaskan bahawa pemeriksaan kesihatan adalah langkah penting sebelum sesuatu perpindahan dimuktamadkan.
“Pemain akan menjalani ujian darah, pemeriksaan neurologi, imbasan MRI selama tiga jam serta ujian jantung dan kecergasan. Kami juga menilai sejarah perubatan keluarga mereka,” katanya.
Menurut Scott, keputusan akhir bukan sekadar ‘lulus’ atau ‘gagal’, tetapi lebih kepada menilai tahap risiko yang boleh diuruskan oleh kelab.
Kesimpulan
Perpindahan pemain adalah satu proses rumit yang melibatkan banyak pihak dan perbincangan mendalam. Setiap individu yang terlibat memainkan peranan penting dalam memastikan perpindahan berjaya dan menguntungkan semua pihak.