Pulau Pinang Tak Jadi Ke Liga Super Selepas Dipotong 6 Mata Atas Arahan FIFA

Kemenangan 2-1 Pulau Pinang membolehkan skuad Pulau Mutiara itu mara ke Liga Super 2020 mengikuti jejak Sabah yang mengesahkan tempat lebih awal.

Jika dilihat kepada kedudukan carta liga UiTM, Negeri Sembilan dan PDRM mempunyai peluang yang lebih cerah.

Namun keputusan seri perlawanan antara UiTM dan Negeri Sembilan serta kemenangan ke atas PDRM melayakkan Pulau Pinang mara dengan penuh bergaya.

Pulau Pinang mengejar dari belakang dan memanfaatkan peluang dan ruang yang masih ada untuk ke Liga Super.

Berada di tangga ketujuh dengan harapan yang tipis Penang memotong diselekoh terakhir.

Pulau Pinang mara ke Liga Super 2020 dengan penuh bergaya lagi segak. Satu kisah bola sepak yang epik disajikan Penang.

Namun ku sangka hujan ke petang rupanya hujan sampai ke pagi esok, berita duka buat Pulau Pinang apabila hajat untuk ke Liga Super 2020 hancur lebur.

Belum habis keraian dan kegembiraan pasukan Pulau Pinang dan penyokong, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan satu berita yang buru.

Pulau Pinang dipotong 6 mata mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pemotongan mata ini menyaksikan Pulau Pinang kembali ketangga ke-7, tempat asal mereka sebelum ini.

Hukuman daripada FIFA dikeluarkan selepas Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bagi menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pemain pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo yang beraksi bersama pasukan Pulau Pinang selama tiga musim dari 2015 hingga 2017.

Kronologi Kisah Pemotongan Mata Pulau Pinang

Berikut merupakan kronologi yang membatalkan hasrat Pulau Pinang ke Liga Super 2020 seperti mana yang dijelaskan FAM melalui laman sesawang mereka menerusi Stuart Ramalingam, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

25 Mac 2019

FIFA telah menghantar keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mengarahkan supaya FAP membayar kepada Reinaldo sebanyak USD90,000 bersama faedah sebanyak 5%. FIFA juga telah mengenakan denda tambahan sebanyak USD10,000 kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti yang telah diarahkan oleh NDRC FIFA. Kegagalan FAP membuat pembayaran tersebut dalam masa 30 hari akan menyebabkan pemotongan mata di dalam liga sebanyak 6 mata.

17 April 2019

FAP telah membuat pembayaran berjumlah USD92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Reinaldo. Pembayaran tersebut telah dibuat oleh FAP secara terus kepada Reinaldo tanpa melalui FAM.

29 April 2019

Peguam Reinaldo telah menghantar surat kepada FIFA yang memaklumkan bahawa telah menerima pembayaran daripada FAP dengan bayaran sebanyak USD92,597.72.

Namun, peguam Reinaldo memaklumkan bahawa pembayaran penuh yang sepatutnya adalah sebanyak USD97,041.83 iaitu baki bayaran sebanyak USD4,444.11 lagi yang perlu dibayar oleh FAP.

Salinan surat berkenaan hanya dihantar kepada FAP tanpa ia dihantar kepada FAM, sekali gus FAM tidak menerima sebarang maklumat mengenai hal tunggakan baki bayaran tersebut.

28 Jun 2019

FIFA menghantar surat kepada FAM yang memaklumkan bahawa FAP telah gagal membuat pembayaran dalam tempoh yang telah diberikan. Untuk itu, FIFA menuntut bukti pemotongan 6 mata liga dihantar kepada mereka selewat-lewatnya pada 3 Julai 2019.

Di sini FAM telah pun membuat rayuan pertama dengan fakta tambahan untuk FIFA pertimbangkan iaitu mengenai berlakunya kekeliruan dalam kadar pertukaran wang asing yang mana FAP merujuk kepada kadar yang termaktub di dalam kontrak pemain manakala FIFA merujuk kepada kadar semasa.

1 Julai 2019

FAP telah membuat baki bayaran kepada Reinaldo, namun wang tersebut mengambil masa untuk pemprosesan penghantaran ke akaun bank beliau di Brazil.

Peguam Reinaldo telah memaklumkan kepada FIFA bahawa mereka akan memaklumkan baki bayaran tersebut sudah diterima sepenuhnya hanya apabila penghantaran wang tersebut diproses sepenuhnya ke akaun bank Reinaldo dan pada masa yang sama memaklumkan tidak mempunyai halangan sekiranya hukuman FIFA itu ditangguhkan terlebih dahulu.

2 Julai 2019

Sebagai tindakan susulan, FAM telah menghantar surat rasmi kepada FIFA untuk meminta pandangan mereka serta status permohonan daripada Reinaldo sama ada hukuman tersebut boleh ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian penerimaan baki pembayaran itu.

3 Julai 2019

Tarikh sepatutnya hukuman potongan mata itu dibuat, peguam Reinaldo memaklumkan bahawa baki bayaran tersebut masih dalam proses perpindahan di dalam akaun pengadu dan tidak mempunyai halangan supaya hukuman tersebut ditangguhkan terlebih dahulu.

4 Julai 2019

FAM sekali lagi telah menghantar surat rayuan kedua kepada FIFA supaya meneliti semula hukuman yang diberikan disebabkan pembayaran tersebut telah dibuat sepenuhnya dan dengan mengambil kira langkah-langkah proaktif yang telah diberikan oleh FAP dalam menyelesaikan baki tunggakan tersebut.

10 Julai 2019

peguam Reinaldo juga telah memberi pengesahan bahawa bayaran tersebut tersebut sudah pun diselesaikan sepenuhnya dan memohon supaya kes ini ditutup dan tindakan tatatertib terhadap FAP dibatalkan.

17 Julai 2019

FAM telah menerima surat daripada FIFA yang memaklumkan bahawa hukuman pemotongan enam mata terhadap FAP itu perlu dibuat selewat-lewatnya sebelum 22 Julai 2019 kerana walaupun pembayaran telah diselesaikan sepenuhnya akan tetapi FAP telah melanggar perintah FIFA yang mengarahkan pembayaran penuh perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan asal.

18 Julai 2019

FAM sekali lagi telah pun membuat rayuan ketiga kepada FIFA.

Tetapi hari ini, hari terakhir untuk membuat potongan mata seperti diarah oleh FIFA dan dengan rayuannya didapati masih tidak diterima FIFA, FAM pada hari ini terpaksa juga memajukan surat arahan daripada FIFA tersebut kepada Malaysian Football League (MFL) untuk badan pengendali Liga Malaysia itu mengeluarkan surat rasmi pemotongan enam mata kepada pasukan Pulau Pinang dalam saingan Liga Premier 2019.

Meskipun FAM telah mengemukakan tiga rayuan kepada FIFA, FAM sedikit kesal kerana FIFA tetap bertegas mahu hukuman pemotongan mata itu dilakukan sedangkan FAP sudah menyelesaikan bayarannya yang mana disebabkan prosedur kadar tukaran mata wang asing dan proses pemindahan wang ke akaun luar negara menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.

Dalam hal ini, FAM amat bersimpati dengan FAP dan pada masa sama tetap menghargai usaha yang dilakukan oleh pengurusan baharu FAP untuk cuba menyelesaikan juga kes lama ini dengan berjaya membayar sebanyak USD97,085.05 yang membabitkan tunggakan gaji akibat kecuaian pengurusan lama mengurus kes bekas pemain importnya itu.

Namun hanya akibat sedikit kesilapan dalam menyemak kadar tukaran mata wang asing mengikut kadar semasa dan kelewatan proses menyelesaikan baki tuntutan sebanyak USD4,444.11, mereka telah menerima hukuman daripada FIFA ini.

Dengan apa yang berlaku ini, sama juga seperti apa yang dialami Kelantan apabila dipotong tiga mata pada 11 April 2019, FAM sekali lagi ingin menasihat dan memberi peringatan kepada ahli-ahli gabungan yang lain supaya jangan sesekali mengambil mudah arahan berkaitan hukuman yang telah dijatuhkan oleh FIFA atau AFC.

Ini kerana, kesan dan akibatnya nanti terpaksa ditanggung oleh pasukan masing-masing apabila pemotongan mata terpaksa dilakukan, sekali gus menjejaskan kedudukan pasukan dalam saingan liga.

Baca Juga

Baca Juga