Pundit Terkenal Indonesia Anggap Skuad Garuda Catat Kemenangan Yang Sangat Teruk

Justinus Lhaksana yang lebih mesra dengan gelaran Coach Justin menganggap kemenangan Indonesia menewaskan Singapura sebenarnya kemenangan yang teruk.

Coach Justin merupakan bekas jurulatih futsal Indonesia dan kini beliau merupakan pundit atau lebih tepat lagi pengkritik bola sepak.

Bukan hanya bola sepak Indonesia, beliau juga sebelum ini sering mengulas tentang bola sepak antarabangsa terutama Liga Perdana Inggeris.

Sepanjang kejohanan AFF Suzuki Cup tahun ini, Coach Justin kerap memberikan kritikan kepada skuad kebangsaan Indonesia seandainya beliau merasakan ada yang boleh dikritik.

Bercakap tentang kemenangan 4-2 Indonesia menewaskan Singapura malam semalam, Coach Justin menjelaskan bahawa:

“Gua bilang, very very ugly win, dramatis, semua bumbu-bumbu dalam sepak bola ada, ini pun murni karna ngak ada VAR, ini kembali lagi gua katakan karna tidak ada VAR.”

“Kalau ada VAR ngak akan kayak gini, golnya siapa errrrrrrrrrrrrr Arhan itu yang 2-2, itu gol offside, seandainya itu ngak diberikan, selesai kita tapi ya sudah.”

********

“Boleh saya katakan, kemenangan yang sangat, sangat teruk. Dramatik, semua rencah dalam bola sepak itu ada, ini jelas sekali nasib kerana tiada VAR, sekali lagi saya katakan, ia kerana tiada VAR.”

“Kalau VAR ada, keputusan tidak akan begini, gol yang dijaringkan oleh Arhan ketika kedudukan 2-2, itu adalah gol offside, seandainya gol itu tidak dibenarkan, kita sudah selesai.”

Coach Justin walau bagaimanapun menegaskan yang beliau tetap gembira dengan skuad Indonesia namun tidak gembira melihat cara skuad Garuda bermain untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan ini.

Sebenarnya beliau teruk juga dihentam oleh netizen yang menganggap beliau sebenarnya sekadar dengki, namun Coach Justin menegaskan beliau hanya mahukan keadilan.

Kerana itulah beliau menyokong penuh supaya ada VAR agar hal dan insiden seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

Ketika rata-rata peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara sedang teruk memaki hamun pengadil yang mengadili aksi Indonesia bertemu Singapura, Shin Tae-yong tampil pujian menggunung kepada pengadil dari Oman itu.

Shin Tae-yong puji mutu pengadilan pengadil perlawanan

Kassem Matar Elhatmy merupakan pengadil yang mengadili aksi Indonesia bertemu Singapura dalam aksi peringkat separuh akhir kedua malam semalam.

Pengurus skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong meluahkan rasa bangga dan gembiranya beliau dengan mutu pengadilan yang ditunjukkan oleh pengadil dari Oman itu.

Beliau merasakan yang pengadil perlawanan dan pembantunya telah menjalankan tugas mereka dengan sangat baik dalam mengadili perlawanan malam semalam.

“Saya melihat hari ini wasit melakukan hal yang benar, termasuk memberikan kad kuning dan merah kepada lawan. Itu menguntungkan bagi kami,”

Jelas Shin Tae-yong ketika sesi sidang media selepas tamat perlawanan.

Pengurus skuad kebangsaan Indonesia itu juga bahkan turut menganggap yang Kassem sebenarnya jauh lebih bagus berbanding pengadil yang mengadili aksi leg pertama sebelum ini.

Beliau merasakan kualiti yang ditunjukkan oleh Kassim lebih baik berbanding kualiti pengadilan ketika aksi terikat 1-1 Indonesia dan Singapura pada aksi leg pertama separuh akhir saingan AFF Suzuki Cup minggu lalu.

Shin Tae-yong awalnya merasakan pengadil leg pertama menjalankan tugasnya dengan baik, namun selepas beliau menonton ulang tayang perlawanan itu, beliau merasakan banyak yang tak kena.

Pengadil yang mengadili aksi leg pertama adalah Kim Hee Gon dari Korea Selatan dan Shin Tae-yong menganggap rakan senegaranya itu tersilap hadiahkan sepakan percuma kepada Indonesia dalam perlawanan itu.

Beliau merasakan yang insiden tersebut berlaku di dalam kotak dan Indonesia sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti dan bukanlah sepakan percuma sahaja.

Beliau turut menyuarakan pendapat yang menggesa AFF supaya memperkenalkan sistem VAR di kejohanan akan datang untuk memantapkan lagi mutu pengadilan dalam kejohanan ini.

“Saya baru menonton ulang tayang aksi leg pertama itu ketika tiba di hotel. Dan, menurut saya, ia memang seharusnya penalti,”

Jelas pengurus yang kini berusia 51 tahun itu.

Mutu pengadilan pengadil perlawanan dipertikaikan

Skuad Garuda berjaya melayakan diri ke aksi perlawanan akhir saingan AFF Suzuki Cup tahun ini selepas menewaskan Singapura 4-2 pada aksi leg kedua peringkat separuh akhir malam semalam.

Safuwan Baharudin, Irfan Fandi dan penjaga gol, Hassan Sunny merupakan tiga pemain Singapura yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan ini.

Apa yang menariknya, mengikut statistik, ada 42 kekasaran yang berlaku sepanjang perlawanan ini, yang mana 27 daripadanya dilakukan oleh pemain Indonesia.

Walau pemain Indonesia yang lebih banyak melakukan kekasaran, namun Singapura yang menerima tiga kad merah dan ia jelas sekali sesuatu yang aneh.

Walau Shin Tae-yong memuji aksi dan mutu pengadilan dalam perlawanan ini, namun sebenarnya ramai di luar sana yang tidak sependapat dengan beliau.

Ramai yang merasakan bahawa pengadil perlawanan kerap melakukan kesilapan dalam perlawanan ini dan terlalu berat ke Indonesia.

Jika bukan kerana keputusan-keputusan dungu dari pengadil perlawanan, mungkin aksi pada malam ini tidak akan dilanjutkan sehingga ke tambahan masa dan keputusannya juga mungkin bukan 4-2.

Walau bagaimanapun, nasi sudah menjadi bubur, semoga sahaja pihak penganjur mengambil iktibar dari apa yang berlaku.

Kurang-kurangkan lah mengambil dan memberi kepercayaan kepada pengadil-pengadil dari Timur Tengah yang sentiasa mencetuskan kontroversi ketika mengadili perlawanan di rantau Asia Tenggara ini.

Bukan satu dua kali, bahkan sudah terlalu kerap hal seperti ini berlaku dalam perlawanan penting di rantau Asia Tenggara ini.

Seandainya pihak penganjur memperkenalkan VAR, namun masih memberi kepercayaan kepada pengadil-pengadil seperti ini, rasanya usaha mereka hanya sia-sia.

Ini merupakan perlawanan akhir keenam Indonesia dalam sejarah saingan AFF bermula pada 2000, 2002, 2004, 2010, 2016 dan pada edisi kali ini 2020.

Dari lima aksi perlawanan akhir sebelum ini, skuad Garuda masih belum pernah muncul sebagai Juara dan kerana itulah mereka digelar Raja Naib Juara dalam kejohanan ini.

Lawan yang bakal mereka hadapi dalam perlawanan akhir kali ini adalah antara Thailand atau Vietnam yang akan turun bertemu pada malam ini.

Thailand sebelum ini berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 menewaskan Vietnam dalam aksi peringkat separuh akhir pertama.

Pada malam ini, kedua-dua pasukan akan sekali lagi dipertemukan, dan tentu saja Vietnam akan melakukan apa saja untuk catat kemenangan dan mara ke aksi perlawanan akhir.

Sumber: Twitter

BACA:  Bekas Bintang Indonesia Tunjuk 'Burung' di Padang Ketika Siaran Langsung