Raheem Sterling Tolak Tawaran Lanjutan Kontrak Dari Manchester City

Pemain sayap England, Raheem Sterling gagal mempersetujui tawaran kontrak jangka panjang untuk kekal bersama Manchester City berikutan permintaan gaji yang tidak dipenuhi.

Menurut sumber Sky Sports News, kedua-dua pihak masih lagi jauh untuk mencapai persefahaman berkenaan gaji mingguan pemain tersebut dan buat masa sekarang, tiada sebarang rundingan akan diadakan bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Sterling tolak tawaran terbaru City kerana mahu gaji mingguan yang lebih tinggi

Sterling berpindah ke Manchester City dari Liverpool pada tahun 2015 dengan yuran perpindahan yang mampu mencecah £50 juta. Beliau merupakan salah seorang watak utama yang membantu The Citizens memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala Carabao musim lepas.

Sterling berjaya menjaringkan  23 gol dari 46 penampilan dalam seluruh pertandingan dan ia merupakan catatan gol terbanyak beliau dalam satu musim sepanjang kariernya.

Prestasi cemerlang Sterling menyaksikan namanya berada dalam senarai akhir skuad England yang kini berada di Russia bagi menghadapi Piala Dunia yang akan bermula beberapa hari lagi.

Melihat kepada perkara tersebut, Manchester City mahu mengikat Sterling dengan kontrak yang lebih lama dimana kontrak asalnya kini hanya berbaki 2 tahun sahaja lagi. Guardiola berharap Sterling akan bersetuju untuk melanjutkan kontraknya sehingga 2022 sebelum saingan Piala Dunia bermula.

Sterling berjaya menjaringkan 23 gol musim lepas, pencapaian terbaik beliau setakat ini

Walau bagaimanapun, dua rombongan meminang dari Manchester City yang dihantar untuk berjumpa wakil Sterling gagal menemui kata sepakat berkenaan kontrak baru pemain tersebut. Masalah utama yang timbul adalah permintaan gaji mingguan Sterling yang terlampau tinggi dan tidak dapat dipenuhi Manchester City.

Sebelum ini, beberapa pemain utama City seperti Kevin De Bruyne, Fernandinho, David Silva dan Nicolas Otamendi telah menandatangani kontrak baru untuk terus kekal di Etihad Stadium.

De Bruyne baru sahaja menandatangani kontrak baru selama 6 tahun dengan gaji mingguan beliau naik sehingga £350,000. Sterling dilaporkan tergugat dengan situasi tersebut memandangkan gaji mingguan beliau kini adalah  £175,000, separuh dari gaji yang diterima De Bruyne.

Walaupun berdepan isu ini, Manchester City masih lagi yakin kedua-dua pihak akan menemui jalan penyelesaian tidak lama lagi dan tidak terburu-buru untuk melakukan perbincangan seterusnya dengan wakil Sterling.

Sterling menyerlah ketika bermain di bawah Brendan Rodgers

Pihak yang mewaikili Sterling percaya pemain tersebut berhak menerima gaji yang sama dengan apa yang diterima De Bruyne berdasarkan sumbangan beliau kepada pasukan sejak menyertai kelab tersebut 3 tahun yang lalu.

Selepas mengharungi musim 2016/2017 yang mengecewakan, Sterling berjaya bangkit musim lalu untuk menjadi watak penting dalam skuad Pep Guardiola. Sterling menyerlah apabila diberikan peranan bebas di bahagian serangan dan menamatkan musim di kedudukan ke-5 penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris. Beliau hanya ketinggalan 3 gol di belakang penjaring terbanyak City iaitu Sergio Aguero.

BACA:  RASMI: Erling Haaland Milik Manchester City