Rakaman Yang Menunjukkan Lingard Punca Terhasilnya Gol Kemenangan United

Manchester United berdepan dengan kesukaran ketika aksi bertemu Villarreal dalam saingan Champions League di Old Trafford awal pagi tadi.

Setan merah hampir saja untuk sekali lagi keciciran mata dengan Villarreal dilihat agak dominan dan sukar untuk ditembusi oleh jentera serangan United.

Setan merah perlu mencatatkan kemenangan selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada Young Boys ketika aksi perlawanan pembukaan saingan peringkat kumpulan.

Walau bagaimanapun, United sebenarnya hampir saja untuk mencatatkan kekalahan kedua mereka selepas Paco Alcacer meledak gol pembukaan untuk pasukan pelawat pada minit ke-53 permainan.

United kembali memberi saingan dan mereka akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-60 permainan menerusi Alex Telles.

Gergasi Premier League itu kemudiannya terus menerus memburu gol kemenangan, dengan Ole Gunnar Solskjaer melakukan dua pertukaran untuk mempertajamkan jentera serangannya.

Beliau memasukkan Jesse Lingard dan Fred untuk menambah kekuatan barisan tengah, seterusnya memantapkan lagi jentera serangan United.

Bintang berusia 28 tahun itu berjaya membuktikan yang keputusan membawa beliau masuk ada benar dengan beliau memainkan peranan penting dalam menghasilkan gol kemenangan United pada minit ke-95 permainan.

Lingard sempat menolak bola di dalam kotak penalti mencari Cristiano Ronaldo, yang kemudiannya melepaskan rembatan padu untuk gol kemenangan pasukan tuan rumah.

Pemain kebangsaan Portugal itu tentunya akan mendapat pujian menggunung atas gol kemenangan yang beliau jaringkan.

Walau bagaimanapun, tanpa Lingard, gol itu tidak mungkin akan mampu untuk dihasilkan dan bintang England itu jelas memain peranan penting dalam build up gol tersebut.

Rakaman dari jarak dekat menunjukkan bagaimana hebatnya Lingard mencuri bola dan menolak bola tersebut ke arah Cristiano Ronaldo sebelum beliau baring sambil mengelak dari terkena bola rembatan dari bekas bintang Real Madrid itu.

Lingard berjaya melakukan sentuhan penting itu walau beliau sedang diasak oleh dua pemain pertahanan Villarreal yang berusaha mengalangnya untuk masuk ke kawasan enam ela.

Beliau juga sebenarnya boleh menolak masuk bola itu sendiri, namun kerana sedar ia tugas yang sukar, Lingard memilih untuk membuka ruang kepada Cristiano Ronaldo.

Pemain kebangsaan England itu melakukan sentuhan yang cukup sempurna dan beliau juga mempunyai refleks yang hebat dengan mampu mengelak serta membuka ruang agar Ronaldo boleh melepaskan rembatan padu ke arah gawang gol.

Lingard berhak untuk mendapatkan penghormatan yang sama seperti yang diterima oleh Cristiano Ronaldo untuk gol kemenangan itu.

Ia jelas tindakan yang bijak, dan membuktikan kemasukkan beliau memberi kesan positif selepas beliau melalui detik menggerunkan ketika kekalahan United di tangan Young Boys sebelum ini.

Solskjaer ketika itu memasukkan Lingard pada minit akhir permainan, dengan harapan agar bintang England itu boleh membantu United memburu gol kemenangan.

Walau bagaimanapun, Lingard telah melakukan kesilapan dungu dengan beliau menjadi tukang assists untuk gol kemenangan Young Boys pada minit akhir dalam perlawanan yang dilangsungkan di Switzerland itu.

United ketika ini berada di kedudukan ketiga dalam saingan kumpulan F, dengan mereka selepas ini bakal turun beraksi bertemu Atalanta di Old Trafford pada 20 Oktober nanti.

Hanya kemenangan yang akan membantu mengukuhkan laluan untuk mereka mara ke peringkat kalah mati, dan Ole Gunnar Solskjaer juga turut sedar akan hal tersebut.

Sumber: GMS

BACA:  Arsenal Kini Meletakkan Bintang United Sebagai Sasaran Utama Mereka