Ralf Rangnick Berasa ‘Annoying’ Dengan Persembahan Pemain Manchester United

Manchester United yang turun dengan barisan simpanan mereka sekadar merekodkan keputusan seri 1-1, menentang Young Boys di laman sendiri malam tadi.

United mendahului lawan pada minit kesembilan menerusi sepakan akrobatik daripada Mason Greenwood yang menerima umpanan Luke Shaw dari sebelah kiri padang.

Barisan Anak Muda dari Switzerland ini walaubagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42 selepas kesilapan daripada Donny van De Beek dan Aaron Wan Bissaka.

Sejurus selepas perlawanan, pengurus Ralf Rangnick memberikan jawapan yang sangat jujur tentang prestasi anak buahnya, dan dia mengatakan bahawa dia berasa agak annoying (menjengkelkan) dengan persembahan daripada para pemain.

“Aku sedar, sebelum perlawanan, yang pemain-pemain ini tidak pernah bermain bersama bukan sahaja tentang formasi tetapi juga dari segi satu pasukan,” ujar Ralf, menjawab soalan wartawan BT Sport.

“Setengah jam pertama aku rasa kita main okay je, kita ada lakukan beberapa kesilapan yang tak sepatutnya walaupun dalam 30 minit yang pertama tapi sekurang-kurangnya kita kuasai permainan.

“Kita sepatutnya, minimum, mendahului dengan 2-0 kalau tak 3-0, kita ada dua peluang besar – satu daripada Amad, dan satu lagi menerusi Juan Mata. Tapi kita tak jaringkan gol dan kita agak barai dalam situasi tu.

“Kita juga dapat peluang yang ketiga menerusi Anthony Elanga, boleh jaringkan tiga atau empat gol, tapi nampak sangat lah lepas kita bolos, kita tidak bertahan di kawasan yang cukup tinggi, tidak cukup proaktif.

“Malah kita boleh bolos dua atau tiga gol lagi, dan keputusan boleh jadi 3-3 atau kita menang 4-3.

“Tapi yang baiknya, ada beberapa debut – untuk Tom Heaton, debut untuk beberapa pemain muda, minit permainan untuk pemain-pemain yang terdesak memerlukan minit permainan.

“Secara keseluruhannya, aku tak kata aku gembira tapi aku rasa okay.”

Ketika ditanya tentang ketersediaan pemain, Rangnick menjawab;

“Saya gembira dapat tengok Luke Shaw kembali, dia boleh menjadi calon untuk skuad untuk perlawanan menentang Norwich.

“Aaron (Wan Bissaka) ada dua tempat cedera, satu di pergelangan tangan dan satu lagi di lutut, jadi kita kena tengok perkembangannya menjelang Sabtu nanti.

“Perlawanan ni bukanlah satu medan eksperimen. Memang aku rancang semua ni.

“Aku nak rehatkan pemain, simpan tenaga untuk perlawanan hari Sabtu menentang Norwich.

Rangnick kemudiannya memberikan jawapan yang sangat jujur ketika ditanya tentang pemainnya yang sering kehilangan bola.

“Aku rasa agak annoying bila hilang bola dan berikan gol kepada pihak lawan, sebab kita terlalu banyak bermain di barisan pertama pressing diorang.

“Inilah puncanya juga gol yang kita bolos tu. Kita sepatutnya boleh buang bola dengan mudah, dan bila mana kita mainkan bola di barisan kedua dan ketiga, kita akan jadi sangat berbahaya.

“Aku dah cakap dah kat diorang sebelum perlawanan, tapi diorang masih lagi main macam tu jugak.

“Buat umpanan 5 meter, tapi diorang tunggu je bola – memang menjemput pressing lawan la.”

Ulasan Rangnick ini membuatkan sebahagian penyokong Manchester United berasa teruja dan mengatakan bahawa buat kali pertama mereka mempunyai jurulatih yang faham tentang bola sepak.

Dalam perlawanan tersebut, selain aksi yang biasa dipamerkan kedua-dua pasukan, muncul Eric Bailly memberikan sedikit hiburan buat tatapan semua.

Bailly telah beberapa kali melakukan aksi yang membuatkan para peminat di atas talian pecah perut sehingga ada yang mengatakan Bailly sebenarnya merupakan seorang Spiderman.

Pada awalnya, seperti biasa Bailly akan meluru laju melakukan tackle untuk memenangi bola di sebelah kiri padang dan mematahkan serangan pasukan Young Boys.

Selepas berjaya menolak bola keluar untuk lontaran ke dalam, Bailly secara tiba-tiba melakukan gaya Spinaroonie seperti yang selalu dilakukan oleh penggusti WWE, Booker T, sebelum kembali bangun berdiri.

Dengan tamatnya perlawanan peringkat kumpulan, Manchester United mengesahkan kedudukan mereka selaku juara kumpulan dan bakal berada dalam balang pasukan pilihan menjelang undian peringkat kalah mati pada hari Isnin nanti.

Menariknya pada tahun ini, hampir kesemua pasukan Liga Perdana Inggeris berjaya menamatkan saingan peringkat awal selaku juara kumpulan, dengan hanya Chelsea sahaja yang berada di tangga kedua selepas terikat 3-3 dalam perlawanan terakhir menentang Zenit St Petersburg di tempat lawan.

Perlawanan tersebut juga menyaksikan Chelsea gagal menang dalam tiga perlawanan berturut-turut dalam kesemua pertandingan, bermula dengan seri 1-1 dengan Manchester United, sebelum tewas 2-3 kepada West Ham sehingga menyebabkan mereka turun ke tangga ketiga di liga domestik.

Sumber : SB

Baca Juga

Baca Juga