Ralf Rangnick Kantoikan Pembantu Ole Makan Gaji Buta

Pengurus Ole Gunnar Solskjaer telah dipecat oleh pembesar kelab, dan diikuti oleh pengurus sementara Michael Carrick yang sempat mengendalikan tiga perlawanan.

Walaubagaimanapun, jurulatih yang lain seperti Mike Phelan dan Kieran McKenna masih lagi mengambil gaji daripada kelab Manchester United. Dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Norwich City, pengurus interim Ralf Rangnick telah mengkantoikan bahawa Phelan sebenarnya tidak pernah menyertai latihan di atas padang.

Rangnick baru-baru ini telah membawa masuk seorang pembantu jurulatih yang baru, Chris Armas, yang pernah berkhidmat bersama kelab New York Red Bulls dan Toronto FC di Major League Soccer, Amerika Syarikat, bagi menolongnya mengendalikan sesi latihan bersama McKenna.

Phelan, penolong pengurus, menerima tekanan yang hebat untuk meninggalkan United selepas dia kembali bersama Ole ke Old Trafford tiga tahun lalu. Jurulatih yang berusia 59 tahun itu dilihat tidak lagi berada di bangku simpanan sejak Ole dipecat dan dia dilihat tidak duduk bersama staff kejurulatihan yang lain juga.

Rangnick berkata tentang Phelan, yang sesi latihannya pernah menjadi kesukaan para pemain ketika era Sir Alex Ferguson suatu ketika dahulu, langsung tidak terlibat dengan latihan ketika pasukan diuruskan oleh Ole.

“Memandangkan Michael Carrick dah atak ada di kelab, kami memerlukan seseorang untuk menggantikannya,” ujar Rangnick.

“Jadi Chris Armas adalah salah seorang daripada dua pembantu jurulatih bersama-sama dengan Kieran.

“Jadi aku ada dua orang untuk menyediakan sesi latihan, untuk berbincang klip video bersama-sama dengan Paul Brand  (penganalisa video).

“Mike Phelan tidak sertai sesi latihan – masa Ole ada dulu pun dia tak sertai latihan – tapi dia adalah sebahagian daripada staff kejurulatihan.

“Tapi dia tak pernah ada di padang ketika kami berlatih. Dia tak ada pun di luar sana dan dia tak ada juga masa Ole ada di sini dulu, macam yang aku cakap tadi.

“Jadi Chris bukan akan menggantikan Mike, tapi ganti Michael Carrick.”

Patutlah Sancho buat muka tak reti je bila Phelan cakap dengan dia. Gambar : Manchester Evening News

Phelan sebelum ini telah diberikan kontrak baru selama tiga tahun tapi kini pengaruhnya kelihatan semakin lemah di kelab tersebut. Pada bulan Oktober lalu, Ole dilihat mengelak daripada menjawab soalan daripada wartwan yang bertanyakan pengelibatan Phelan dalam sesi latihan.

Selain daripada Chris Armas, Rangnick juga telah membawa masuk seorang lagi jurulatih yang mempunyai kepakaran dalam bidang psikologi, Sascha Lense.

Sascha sebelum ini pernah bekerja bersama Rangnick di RB Leipzig dan menerusi pelantikannya, Rangnink berkata adalah penting untuk mempunyai pakar di bahagian otak di dalam pasukannya, dengan fokus utama untuk membantu ‘melatih otak’ para pemain Manchester United.

“Aku tak pasti keadaan kat sini macam mana dan juga di kelab lain, tapi di Jerman kebanyakan kelab mempunyai pakar psikologi sukan atau jurulatih mental – atau apa sahaja yang korang panggil,” ujar Rangnick seperti yang diterbitkan di laman ESPN.com.

“Bagi aku, ini adalah persoalan yang logik. Kalau kau ada jurulatih yang khusus untuk penjaga gol, pendidikan jasmani, malah untuk penyerang, kecergasan, apa sahaja, kau patut ada pakar yang mahir dalam bab otak.

“Dia sebenarnya bukanlah suruh pemain duduk atas sofa merah dan berpegangan tangan sesama pemain sebab sebahagian besarnya memang tak akan buat macam tu.

“Bagi aku, ini adalah tentang membantu menyedarkan pemain bahawa otak patut membantu badan, bukan buat yang sebaliknya. Para pemain dan kesemua pihak dalam pasukan kami perlu fikir dengan cara yang betul.

“Aku rasa sangat gembira dapat bawa Sascha Lense ke sini. Dia bukan jenis yang teori sangat, malah lebih kepada hands on.

“Memandangkan dah pernah kerja bersama di Leipzig, aku yakin yang kami akan dapat banyak manfaat.”

Dalam perlawanan di bawah kendalian Rangnick setakat ini, United telah merekodkan dua kemenangan di dalam liga ke atas Crystal Palace dan Nowrich serta satu keputusan seri dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA menentang Young Boys.

Meskipun sekadar menang tipis dan seri dalam ketiga-tiga perlawanan tersebut, kualiti permainan United boleh dikatakan sudah semakin meningkat naik berbanding dengan ketika era Ole Gunnar Solskjaer.

Menjelang jendela perpindahan pada bulan Januari nanti, United dikhabarkan akan melepaskan beberapa pemain yang tidak berfungsi seperti Anthony Martial, Paul Pogba dan juga Phil Jones.

Sumber berita : Manchester Evening News

BACA:  Ralf Rangnick Dedah 3 Pemain Yang Beliau Rasa Tak Layak Berada Di Old Trafford