Ramai Percaya Mourinho Sudah Sedia Bawa Roma Jadi Pasukan Elite Eropah

Ramai peminat bola sepak tidak sabar dan percaya Jose Mourinho sudah bersedia untuk membawa Roma menjadi kelab elite Eropah berdasarkan barisan pemainnya yang agak menggiurkan.

Sentuhan magis Jose Mourinho sebelum ini agak dipersoalkan dan ada menyatakan bahawa cara pengurusan Mourinho tidak lagi relevan dengan perubahan bola sepak kini.

Jose Mourinho pada awalnya dianggap tidak berjaya di Old Trafford walaupun membawa pasukan itu memenangi Europa League dan Piala Liga serta Community Shield sebelum dipecat.

Namun pendedahan cerita sebenar disebalik cerita dalam kain Setan Merah telah menukar tanggapan itu dan kerana itulah Mourinho menganggap membawa Setan Merah muncul naib juara Premier League adalah satu kejayaan besar bagi dirinya.

Pengurus Portugal itu gagal mendatangkan sebarang kejuaraan ketika bersama Spurs yang ketika itu pasukan yang bergelut dengan pelbagai masalah.

Selepas meninggalkan Spurs, Roma menjadi destinasi seterusnya Mourinho selepas tertarik dengan visi dan misi pemilik kelab untuk projek masa panjang.

Sentuhan Mourinho seperti sudah kembali dengan mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membawa Roma muncul juara Europa Conference League bagi edisi pertama.

Kejuaraan ini menobatkan Mourinho sebagai pengurus pertama meraih gelaran juara tiga trofi utama Eropah dengan empat kelab berbeza.

Pengurus dari Portugal ini sebelum ini sudah pun memenangi Champions League bersama Porto (2004) dan Inter Milan (2010) serta Europa League bersama Manchester United (2017) dan Porto (2003, ketika itu dikenali sebagai UEFA Cup).

Selepas berjaya membawa Roma merasai trofi utama Eropah pertama dalam sejarah kelab, Mourinho tidak mahu lagi menamatkan saingan liga tanpa slot Champions League dan memperkuatkan pasukan.

Jose Mourinho kini sedang menambah kualiti pasukan dengan pemain baharu dan mungkin ramai lagi yang akan menyusul.

Penjaga gol veteran Rui Patricio berkemungkinan mengekalkan tempatnya, tetapi ketibaan Mile Svilar secara percuma boleh menawarkan saingan yang sengit.

Ramai menjangkakan Roma akan bermain dengan tiga bek sekali lagi dan ini bermakna Gianluca Mancini, Chris Smalling dan Roger Ibanez terus ditagih khidmat mereka.

Mourinho sedang mencari pemain untuk menambah skuad depth bagi membolehkan pasukan menjadi pencabar kejuaraan dan kerjasama semula dengan pemain pertahanan Manchester United Eric Bailly, yang ditandatanganinya semasa di Old Trafford, bukan lagi mustahil.

Tidak asing untuk menandatangani bekas pemain beliau, Mourinho telah pun memikat Nemanja Matic ke Rom selepas kontraknya bersama Manchester United tamat.

Matic dijangka bergandingan dengan Georginio Wijnaldum di bahagian tengah, dengan pemain antarabangsa Belanda itu hampir meninggalkan Paris Saint-Germain secara pinjaman.

Wijnaldum dinamakan sebagai pemain paling teruk di Ligue 1 musim lalu sudah pasti mahu menaikkan semula kariernya menjelang Piala Dunia musim sejuk di Qatar.

Wingback berkemungkinan menjadi milik Rick Karsdorp dan Leonardo Spinazzola, tetapi Zeki Celik akan mencabar Karsdorp di sebelah kanan.

Jentera serangan adalah perkara yang paling menarik untuk diperkatakan.

Kapten Lorenzo Pellegrini dan Paulo Dybala dijangka menyokong penyerang Tammy Abraham, yang menjaringkan 27 gol dalam semua pertandingan selepas menandatangani kontrak dari Chelsea musim panas lalu.

Dybala ialah pemenang Serie A lima kali bersama Juventus dan dilihat sebagai penandatangan yang besar untuk Giallorossi dengan penjualan baju sudah pun meningkat.

Abraham tidak sabar untuk bekerja bersama Dybala dan memberitahu Gazzetta dello Sport:

“Saya fikir ia adalah satu keistimewaan untuk mempunyai pemain yang begitu kuat menjadi sebahagian daripada pasukan kami.”

“Ia amat bermakna untuk peminat, yang memberi sambutan yang hebat. Mesej itu kelihatan jelas kepada saya: kelab sedang membangunkan projek teknikal yang hebat dan hasilnya ada untuk dilihat oleh semua orang.”

Masih jauh langkah Roma untuk menjadi kelab elite Eropah namun mereka sudah bermula dengan langkah pertama dan sedang menuju ke sana.

Dan ini barisan kesebelasan utama kemungkinan Roma untuk musim baharu.

Agak menggiurkan bukan?

Mourinho Pacu Roma Rasai Trofi Utama Eropah Pertama

Jose Mourinho telah menempa sejarah apabila telah membawa AS Roma menjulang kejuaraan Europa Conference League (ECL) edisi pertama selepas menewaskan Feyenoord dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Tirana dengan jaringan tipis, 1-0.

The special one semakin mengukuhkan gelaran kepada dirinya sendiri apabila menjadi pengurus pertama meraih gelaran juara tiga trofi utama Eropah dengan empat kelab berbeza.

Pengurus dari Portugal ini sebelum ini sudah pun memenangi Champions League bersama Porto (2004) dan Inter Milan (2010) serta Europa League bersama Manchester United (2017) dan Porto (2003, ketika itu dikenali sebagai UEFA Cup).

Kemenangan Europa Conference League ini juga mengekalkan rekod tanpa kalah Jose Mourinho di perlawanan akhir kejohanan Eropah. Lima final lima kali bergelar juara.

Kedua-dua finalis, Roma dan Feyenoord bergelut untuk mencipta peluang yang jelas di separuh masa pertama dalam perlawanan yang berlangsung di Albania, dengan pasukan Belanda itu menikmati penguasaan bola yang lebih besar.

Namun AS Roma berjaya mendahului sejurus selepas setengah jam perlawanan melalui Nicolo Zaniolo yang menjadi gol tunggal perlawanan.

Zaniolo telah mengawal kemas hantaran lintang Gianluca Mancini dengan dadanya sebelum melakukan penyudahan bijak ke atas penjaga gol Feyenoord, Justin Bijlow untuk memberikan Roma gol pendahuluan dan itu merupakan percubaan tepat Roma dalam perlawanan ini.

Feyenoord telah mempamerkan aksi mengecewakan pada separuh masa pertama tetapi kelihatan lebih mengancam selepas rehat dan hampir mendapat gol penyamaan apabila Mancini hampir menjaringkan gol sendiri namun diselamatkan tiang.

Penjaga gol Roma, Rui Patricio melakukan penyelamatan yang baik daripada susulan dari bola muntah terkena tiang dan beberapa minit kemudian tangkas membuat penyelamat padu dengan menafikan rembatan thunderbolt Tyrell Malacia.

Jaringan tunggal Nicolo Zaniolo kekal hingga tamat permainan untuk membolehkan AS Roma menjulang trofi Eropah major pertama dalam sejarah kelab.

Nicolo Zaniolo menjadi pemain Itali pertama menjaringkan gol diperlawanan akhir kejohanan Eropah selepas Filippo Inzaghi melakukannya ketika menentang Liverpool di perlawanan akhir Champions League 2007.

Sebelum ini trofi Eropah yang pernah dijulang Roma adalah Inter-Cities Fairs Cup yang dimenangi pada musim 1960/61.

Inter-Cities Fairs Cup kadang-kadang disebut sebagai European Fairs Cup, Fairs Cities Cup atau ringkasnya sebagai Fairs Cup ialah pertandingan bola sepak Eropah yang dimainkan antara 1955 dan 1971.

Kejohanan ini dianggap sebagai asal usul Piala UEFA. Pertandingan ini dianjurkan oleh Fairs Cup Committee yang diketuai oleh beberapa eksekutif FIFA sehingga 1971, apabila dimansuhkan, kejohanan ini digantikan dengan Piala UEFA.

Jose Mourinho telah menumpahkan air mata pada perlawanan separuh akhir selepas Roma berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan kelihatan sangat menikmati kemenangan di perlawanan akhir.

Satu rakaman keraian Jose Mourinho bergelar juara Europa Conference League telah tular dan menjadi bualan media apabila telah membuat satu isyarat tanda yang mempunyai makna mendalam.

Jose Mourinho mengangkat lima jari ke udara dalam apa yang membawa maksud dan isyarat kepada dunia bola sepak bahawa sudah meraih lima trofi Eropah.

Kejayaan Roma ini juga telah menamatkan kemarau kejuaraan selama 14 tahun mereka dalam semua kejohanan samada domestik atau Eropah.

“Menang adalah sangat sukar. Anda memerlukan banyak ramuan,” kata Mourinho dalam sidang media selepas perlawanan.

“Pasukan kami telah bermain 55 perlawanan. Kami ke perlawanan akhir dalam keadaan letih, tetapi kami berusaha untuk melakukannya, menyembunyikannya.

“Ini adalah kumpulan pemain yang hebat, yang membuatkan saya terharu. Kami bergelut pada separuh masa kedua, lawan kami bermain dengan baik dan mereka memaksa kami melakukan perubahan di bahagian pertahanan. Tahniah kepada Feyenoord.”

BACA:  Mourinho Tawar Greenwood Peluang Hidupkan Karier Dengan Sertai AS Roma