Ramos Dedah Ugutan Bunuh Terhadap Keluarganya Disebabkan Insiden Salah

Kapten Sepanyol, Sergio Ramos mendedahkan beliau dan keluarga menerima beberapa ugutan bunuh selepas terlibat dalam insiden pelanggaran yang menyebabkan Mohamed Salah terpaksa diusung keluar ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Pemain Real Madrid ini membuat pendedahan itu sebagai reaksi selepas menerima ejekan dari peminat England dalam perlawanan UEFA Nations League yang berlangsung di Stadium Wembely kelmarin. Sepanyol menang perlawanan tersebut dengan jaringan 2-1 dengan gol perlawanan dijaringkan oleh Saul Niguez dan Rodrigo manakala gol dijaringkan oleh Marcus Rashford.

Ramos mendedahkan cerita sedih di sebalik kisah beliau dan Salah

Walaupun menerima layanan buruk, Ramos berkata beliau langsung tidak hiraukan tindakan segelintir besar peminat England yang mengejeknya sepanjang perlawanan. Ini kerana beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk mencederakan Salah pada waktu itu dan tidak akan berasa bersalah atas perbuatannya.

“Saya mungkin lebih suka menerima layanan lain dari apa yang saya terima tadi. Mereka [peminat England] hanya ingat perlawanan akhir itu sahaja, tetapi tiada siapa yang ingat mengenai ugutan bunuh terhadap keluarga dan anak-anak saya.”

“Ini merupakan isu yang sensitif dan ada sesetengah pihak menjadikan isu ini sebagai satu jenaka. Sebab itulah mereka mengejek saya ketika beraksi di dalam stadium yang hebat ini tadi. Niat saya agak jelas. Saya sudah menjelaskan perkara ini [insiden Salah] dengan panjang lebar sebelum ini, dan saya tidak perlu menjelaskannya sekali lagi.”

Ramos tiada niat untuk mencederakan Salah. Itu semua kerja netizen2 yang suka membawang

“Saya tidak jangka akan menerima layanan seperti ini. Selalunya peminat England dikenali sebagai penyokong yang bagus dan mereka sering memberi layanan yang baik kepada pemain yang hebat.”

“Walau bagaimanapun, ia tidak berlaku dalam perlawanan tadi. Tetapi saya masih lagi tenang kerana niat saya amat jelas dalam insiden tersebut.”

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, saya tidak pernah berniat untuk mencederakan pemain lain. Ada pihak yang telah menyalah ertikan situasi itu, tetapi ia merupakan perkara biasa dalam bola sepak. Insiden ini tidak akan mengubah saya atau permainan saya.”

Ramos juga turut memberikan komen mengenai persembahan David De Gea dalam perlawanan tersebut berikutan kritikan yang diterima penjaga gol Manchester United itu dalam Piala Dunia 2018 yang lalu.

“David De Gea merupakan penjaga gol yang hebat. Perlawanan besar mampu menjadikan seseorang pemain itu hebat. Selepas melalui kempen Piala Dunia yang agak goyah, De Gea berhak menerima penghargaan dari persembahan beliau tadi.”

De Gea hampir melakukan ‘Kelakarius’ ketika waktu kecederaan, tetapi mujurlah pengadil menjadi penyelamat.

“Beliau merupakan penjaga gol hebat dan hari ini beliau melalui perlawanan yang amat bagus sekali. Beliau berjaya melakukan aksi menyelamat yang telah mengubah keputusan perlawanan tadi.”

“Saya berharap ini hanya permulaan dan akan memberi beliau lebih banyak keyakinan kerana De Gea merupakan pemain penting bagi skuad ini.”

BACA:  Klopp: Salah Dalam Landasan Yang Tepat Untuk Berada Di Tahap Messi