Ramos Kantoi Racun Rakan Sepasukan Jangan Terima Cadangan Pemotongan Gaji

Selepas melalui musim yang suram tanpa mencatatkan sebarang kejayaan, Real Madrid jelas perlu dirombak dan dibina semula.

Dan ia seolah sedang berlaku ketika ini dengan pelbagai spekulasi berkait bintang Los Blancos serta penukaran pengurus baharu.

Zinedine Zidane telah meninggal kelab pada penghujung musim baru-baru ini dan ia memberi tamparan buat Presiden kelab, Florentino Perez.

Tidak lama selepas kehilangan Zidane, Real Madrid segera mendapatkan pengganti dengan melantik Carlo Ancelloti sebagai pengurus baharu kelab.

Selesai masalah pengurus, Real Madrid ketika ini sedang dalam usaha mereka untuk melakukan rombakan besar-besaran sebagai persiapan menghadapi musim baru nanti.

Segelintir bintang veteran dijangka akan dilepaskan dengan ketua pasukan, Sergio Ramos yang paling hangat dikaitkan bakal meninggalkan Santiago Bernaneu pada musim panas ini.

Pemain centre-back Sepanyol itu tidak menandatangani perjanjian baru bersama kelab dan beliau akan meninggalkan Madrid sebagai pemain berstatus free ejen.

Namun begitu, sama seperti Zinedine Zidane, Ramos akan pergi meninggalkan kelab dengan cara yang agak memalukan.

Ia kerana, terdapat laporan dari Jose Ramon de la Morena, salah seorang pengarah dan penyampai program radio El Transistor, Ramos telah meracun kesemua rakan sepasukannya untuk menolak cadangan pemotongan gaji.

Ramos mendesak semua pemain untuk tidak menerima cadangan pemotongan gaji dengan menyatakan kesemua duit itu hanya akan digunakan untuk menandatangani Kylian Mbappe.

De la Morena mendedahkan bahawa ada salah seorang pemain yang identitinya dirahsiakan telah menyampaikan hal tersebut kepada pimpinan kelab.

Kaki ampu lah tu, jenis tikam kawan sendiri untuk dapatkan perhatian.

Real Madrid sebelum ini telah meminta para pemain mereka supaya menerima pemotongan gaji dengan alasan untuk menstabilkan ekonomi kelab yang terjejas kerana pandemik.

Kedudukan ekonomi Real Madrid pada ketika ini sangat teruk dengan bebanan hutang dan kerana itulah pihak kelab meminta jasa baik para pemain menerima cadangan pemotongan gaji.

Ramos jelas individu paling lantang menolak cadangan tersebut dan beliau merasakan kesemua rakan sepasukannya yang lain juga perlu melakukan hal yang sama.

Apa lagi beliau menganggap kesemua duit tersebut hanya akan digunakan untuk menandatangani Kylian Mbappe dengan yuran perpindahan yang tinggi.

Real Madrid sememangnya sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Kylian Mbappe dengan mereka juga calon kegemaran untuk menandatangani bintang PSG itu.

Dalam masa sama, Karim Benzema ketika ini sedang memainkan peranan penting dalam memujuk bintang berusia 22 tahun itu untuk menyertai Los Blancos.

Kedua-dua Benzema dan Mbappe bakal memimpin Perancis untuk aksi saingan Euro pada musim panas ini.

Hubungan kedua-dua mereka juga dilihat sangat baik ketika ini dengan Mbappe jelas mengagumi kebolehan dan kemampuan yang dimiliki oleh penyerang utama Real Madrid itu.

Telah tular satu rakaman di media sosial yang memperlihatkan Mbappe teruja melihat skill dan ketajaman penyudah Benzema ketika mereka bersama-sama dalam sesi latihan.

Mungkinkah selepas selesai Euro mereka berdua bakal menjadi rakan sepasukan di kelab yang sama?

BACA:  Ramos: Real Madrid Tidak Akan Lakukan 'Guard of Honour' Untuk Barcelona