Ramsey Mahu Arsenal Juarai Europa League Sebagai Hadiah Perpisahan Untuk Wenger

Pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey nekad untuk membantu Arsenal menjuarai Europa League musim ini sebagai hadiah perpisahan terbaik untuk Arsene Wenger yang bakal meninggalkan pasukan tersebut hujung musim ini.

Pada Jumaat minggu lepas, pengurus berusia 68 tahun itu menggemparkan dunia bolasepak apabila mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan pada hujung musim ini dan mengakhiri pertalian 22 tahun bersama The Gunners.

Ramsey nekad jadikan Europa League sebagai trofi terakhir Arsene Wenger sebagai pengurus Arsenal

Perletakan jawatan Wenger turut didorong oleh kritikan dan bantahan berterusan daripada segelintir peminat Arsenal yang mahu beliau berundur kerana pencapaian pasukan yang mengecewakan beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam beberapa perlawanan terakhir di tempat sendiri, bilangan penyokong yang hadir untuk menyaksikan perlawanan merudum dengan teruk dipercayai sebagai tanda protes terhadap prestasi pasukan yang mengecewakan.

Arsenal sedang bersiap sedia untuk menerima kunjungan Atletico Madrid awal pagi Jumaat dalam perlawanan pertama pusingan separuh akhir Europa League.

Sama seperti pemain lain, Ramsey juga terkejut dengan berita pengunduran Wenger

Sekiranya Arsenal berjaya melepasi halangan sukar anak buah Diego Simeone dalam pusingan ini, perlawanan akhir Europa League di Lyon bulan hadapan bakal menjadi perlawanan terakhir Arsene Wenger sebagai pengurus Arsenal selepas 22 tahun memegang jawatan tersebut.

Untuk rekod, Wenger tidak pernah memenangi sebarang trofi di peringkat Eropah sepanjang bergelar pengurus Arsenal. Percubaan paling hampir adalah ketika mereka tewas di tangan Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada musim 2005/2006.

Ramsey yang dibawa masuk oleh Wenger pada tahun 2008 mengakui rasa terkejutnya selepas mendengar pengumuman tersebut dari mulut Wenger sendiri. Ramsey juga berazam untuk memberikan hadiah perpisahan bermakna kepada Wenger dengan menjulang trofi Europa League musim ini.

“Pengunduran Wenger merupakan satu motivasi yang besar untuk kami menjuarai Europa League. Kami harus meletakkan perasaan dan emosi ke tepi dan menggunakan ia sebagai tonik untuk menjuarai pertandingan ini.”

“Sudah tentu musim hadapan akan menjadi sedikit janggal tanpa Wenger di sisi pasukan tetapi buat masa sekarang beliau masih lagi berada di Arsenal, dan kami perlu menamatkan musim dengan sehabis baik.”

“Anda boleh lihat jumlah penyokong yang hadir minggu lalu dan bunyi bising yang dihasilkan mereka untuk memberikan sokongan kepada pasukan. Saya berharap peminat akan memberikan ucapan selamat tinggal yang terbaik kepada Wenger kerana beliau berhak mendapatnya.”

“Kami sebenarnya sudah tahu suatu hari nanti beliau akan mengundur diri dari jawatannya dan hari tersebut telah tiba. Seluruh pasukan benar-benar terkejut dengan berita tersebut.”

Selepas Wenger mengumumkan musim ini bakal menjadi musim terakhirnya, beberapa nama pengurus terkenal telah dikaitkan untuk menggantikan tempat Wenger.

Masih terlalu awal untuk Arteta menguruskan Arsenal, ujar Ramsey

Tetapi ramai yang terkejut apabila bekas kapten Arsenal yang baru bersara, Mikel Arteta hangat diperkatakan untuk mengisi jawatan tersebut walaupun masih setahun jagung dalam bidang pengurusan.

“Mikel  merupakan pemain yang hebat untuk Arsenal dan juga kapten yang bagus. Beliau bekerja di bawah Pep Guardiola sekarang. Beliau telah menunjukkan minatnya untuk menjadi pengurus sejak bergelar pemain lagi.”

“Saya sangat yakin beliau banyak mempelajari benda di bawah Guardiola terutamanya mengenai corak permainan Manchester City ketika ini.”

“Saya yakin apabila tiba waktu yang tepat, Mikel akan menjadi pengurus yang hebat. Buat masa sekarang, beliau masih lagi baru dalam bidang pengurusan.”

BACA:  Jurgen Klopp Dan Mikel Arteta Hampir Bertumbuk