Rangkuman Aksi Alexander Isak Ketika Bertemu Sepanyol Memukau Peminat Seluruh Dunia

Alexander Isak telah mempamerkan rentak permainan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika aksi pertemuan antara Sweden bertemu Sepanyol dalam saingan Euro awal pagi tadi.

Para peminat memberikan pujian yang menggunung padanya dengan menganggap beliau merupakan ‘Next Zlatan Ibrahimovic’.

Isak merupakan penggerak utama untuk jentera serangan Sweden dan telah mempamerkan aksi permainan yang sungguh mengujakan.

Para peminat jelas terpegun dengan kehebatan dan kematangan yang beliau tunjukkan dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan itu.

Pemain berusia 21 tahun itu telah menunjukkan kemahiran kakinya yang menakjubkan dengan mencipta peluang berbahaya untuk pasukannya.

Beliau hampir saja membantu Sweden untuk mendahului permainan, namun hantaran bijaknya dipersia-siakan oleh Marcus Berg.

Bintang handalan Real Sociedad itu memainkan peranan penting dalam melancarkan serangan ke kubu Sepanyol.

Aymeric Laporte dilihat berdepan dengan kesukaran untuk mengawal setiap pergerakan beliau ketika melancarkan serangan.

Salah seorang peminat telah merangkumkan aksi persembahan beliau sepanjang perlawanan itu, dan ramai yang memujinya sebagai calon bintang terhebat dunia.

Akaun twitter @1of1rj telah berkongsi video rangkuman aksi persembahan Alexander Isak sepanjang perlawanan tersebut dan ia sangat berbaloi untuk ditonton.

Tidak mengejutkan untuk melihat mengapa beliau menerima pujian yang begitu tinggi dari para peminat, selepas melihat kematangan aksinya sepanjang perlawanan tersebut.

Terdapat juga segelintir peminat yang menyamakan beliau dengan Kylian Mbappe dan Erling Haaland sebagai pemain muda terbaik dunia ketika ini.

“Sungguh luar biasa mengagumkan. Jika ini merupakan aksi yang biasa dia pamerkan, dia tentu ada masa depan yang sangat cerah dalam dunia bola sepak.”

“Jika Isak ada fizikal yang lebih baik, dia senang-senang saja boleh tewaskan semua pemain pertahanan.”

“Seorang central forward yang sungguh hebat, dia tak dipandang kerana bintang muda seperti Erling Haaland dan Kylian Mbappe bermain bersama pasukan besar dan mendapat perhatian yang lebih.”

Rio Ferdinand turut memberikan pujian yang menggunung atas persembahan Isak yang menakjubkan itu.

“Budak ini, Isak, dia merupakan masalah besar kepada pemain pertahanan skuad Sepanyol dalam perlawanan ini.”

Jelas legenda Manchester United itu.

“Dia sentiasa memberi ancaman pada pasukan lawan. Dia membuktikan hari ini mengapa dirinya diangkat sebagai Young Player Of The Year dalam saingan La Liga.”

“Kita semua sangat terkejut, betul-betul terkejut ketika melihat dia dikeluarkan. Pengurus mungkin berfikir untuk perlawanan akan datang atau sesuatu seperti itu.”

Sweden akan meneruskan kempen saingan Euro mereka selepas ini bertemu Slovakia sebelum bertemu Poland minggu hadapan.

BACA:  Kenali Alexander Isak, Pemain Muda Paling Menyerlah Dalam Saingan Euro 2020