Rangkuman Aksi Saka Menghantui Pertahanan Republic Czech Mencuri Tumpuan Peminat

Rangkuman aksi menakjubkan Bukayo Saka ketika bertemu Republic Czech awal pagi tadi telah tular di media sosial ketika ini, dan ia sangat berbaloi untuk ditonton.

Beliau jelas menghantui barisan pertahanan Czech dengan larian serta gerakan merbahayanya dan jentera serangan England turut seperti dirasuk saka dengan kehadiran Saka di atas padang.

England berjaya menewaskan Republic Czech 1-0 di Wembley awal pagi tadi, seterusnya mara ke pusingan kalah mati sebagai Juara kumpulan D.

Gareth Southgate membuat kejutan dengan menurunkan pemain berusia 19 tahun itu dan selepas Phil Foden tak boleh diturunkan kerana ada kad kuning.

Saka memanfaatkan kesempatan yang diberikan padanya dengan mempamerkan rentak permainan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan ini.

Beliau merupakan kunci utama dalam melakukan gerakan ketika Raheem Sterling meledak gol kemenangan England.

Beliau beraksi sungguh cemerlang dan turut melengkapkan lima gelecekan dalam perlawanan ini, yang mana ia merupakan statistik terbanyak yang berjaya dilakukan oleh pemain England dalam satu perlawanan di kejohanan Euro 2020 ini.

Jadon Sancho dan Marcus Rashford dimasukkan sebagai pemain gantian sahaja dalam perlawanan ini, dengan keputusan Southgate itu menimbulkan persoalan di kalangan peminat.

Walau bagaimanapun, Saka berjaya menutup mulut peminat yang meragui mengapa dirinya berada dalam senarai kesebelasan utama dengan mempamerkan rentak permainan yang sungguh menakjubkan.

Aksi hebatnya menyebabkan para peminat mendesak Southgate untuk menurunkan Saka sebagai kesebelasan utama ketika aksi di pusingan 16 terbaik nanti.

Peminat memberikan pujian yang menggunung atas persembahan Saka dalam perlawanan ini, dan sangat kagum dengan keberanian beliau untuk naik ke atas.

“Saka sangat berani, walau masih muda tapi dia seolah sudah banyak pengalaman dalam kejohanan besar. Southgate harus beri dia peluang lagi.”

“England mempunyai ramai pemain berbakat, tapi tak semua pemain mampu menyerlah di peringkat tertinggi seperti ini.”

“Rasanya England patut terus gunakan gandingan Saka dan Grealish. Mereka nampak serasi dan permainan mereka juga menarik.”

Foden dalam dua perlawanan awal telah diturunkan sebagai kesebelasan utama dan diletakkan di posisi sayap kanan, namun beliau telah diketepikan dari aksi perlawanan bertemu Czech.

Gary Neville ketika tamat perlawanan tersebut, beliau telah memberi amaran kepada Phil Foden supaya berhati-hati dengan kemampuan Saka, kerana tempatnya mungkin akan diambil oleh bintang Arsenal itu.

“Malam ini kita lihat Saka, Sterling dan Jack Grealish.”

Jelas Neville.

“Ketiga-tiga pemain ini telah meletakkan tekanan yang sangat tinggi kepada pemain seperti Foden dan Rashford.”

“Ia tidak akan mengejutkan saya jika Gareth Southgate mengekalkan gandingan tiga pemain ini. Saya rasa Foden akan kembali diturunkan, tapi sebenarnya sukar untuk mengetepikan salah seorang dari tiga pemain ini.”

“Saya berharap Phil Foden melihat semua ini, dia diketepikan kerana ada kad kuning, saya harap dia lihat aksi Saka.”

“Dia membawa bola dengan tenang sepanjang permainan, dia berani berdepan dengan pemain lawan. Itu adalah apa yang kita harapkan dari Foden dalam dua perlawanan awal ini.”

“Kita tak dapat lihat semua itu, kita tahu bagaimana hebatnya dia. Saya rasa Saka dalam perlawanan ini mampu beri inspirasi kepada rakan sepasukannya.”

England selepas ini akan berdepan dengan wakil dari kumpulan F, antara Perancis, Jerman, Portugal atau Hungary.

Skuad The Three Lions akan tahu siapa lawan mereka di pusingan 16 terbaik selepas berakhirnya aksi peringkat kumpulan Euro 2020 awal pagi nanti.

BACA:  Sukar Menang Bersama Arsenal, Keane Harap Saka Gembira England Menang