Rangkuman Aksi Villa Membuktikan Beliau Antara Penyerang Terhebat Pernah Sepanyol Miliki

Rangkuman aksi persembahan David Villa ketika kemuncaknya membuatkan para peminat merasakan beliau sememangnya antara pemain terhebat dalam generasinya.

Telah tular satu video yang menunjukkan bagaimana kemampuan dan kebolehan penyerang kebangsaan Sepanyol itu ketika kemuncak kariernya.

Menerusi video tersebut, jelas menunjukkan yang Villa memang seorang pemain yang sangat hebat dan berkualiti.

Penyerang berusia 39 tahun itu sangat menyerlah ketika beliau beraksi bersama pasukan kebangsaan Sepanyol terutama ketika era mereka mendominasi pentas bola sepak antarabangsa.

Villa bersara dari dunia bola sepak pada tahun 2019 dan beliau merupakan watak penting ketika membantu Sepanyol memenangi Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.

Bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu beraksi dengan sangat cemerlang ketika lima tahun kariernya bersama Valencia.

Pada tahun 2010, beliau melengkapkan perpindahannya ke Barcelona dan di situlah terserlahnya kemampuan dan bakat luar biasa yang dimiliki olehnya.

Villa berjaya membentuk gandingan yang luar biasa hebat bersama Lionel Messi dan Pedro dengan skuad kendalian Pep Guardiola ketika itu mendominasi pentas saingan La Liga dan Eropah.

Bekas pemain handalan Barca itu berjaya menjulang dua kali gelaran La Liga, gelaran liga Juara-juara, dua kali Spanish Super Cup dan Copa del Rey sepanjang kariernya di Nou Camp.

Salah seorang peminat memuat naik video kompilasi aksi Villa ketika kemuncak kariernya bersama skuad kebangsaan Sepanyol dan Barcelona.

Melihat kepada kompilasi tersebut, ramai yang yakin bahawasanya Villa merupakan pemain paling underrated sepanjang zaman.

“Villa tidak mendapat penghargaan yang sepatutnya beliau dapat, beliau merupakan penyerang paling sempurna yang pernah menghiasi dunia bola sepak.”

“Saya berani katakan, dia pemain paling underrated di era dia, bakat yang dia ada sungguh luar biasa menakjubkan, tetapi tak ramai yang kenang dia.”

“Bagi saya, dia merupakan salah seorang pemain paling berbisa sepanjang zaman.”

“Memang mustahil untuk tahu kekuatan sebenar beliau berada di kaki kiri atau kanannya, ia kerana dia hebat dengan kedua-dua belah kakinya. Dia pemain yang sangat berkualiti.”

Begitulah antara komen-komen dari para peminat yang sungguh teruja dan kagum dengan kemampuan penyerang legenda Sepanyol itu.

Villa meninggalkan Barcelona pada tahun 2013 dan kemudian menyertai Atletico Madrid, New York City, Melbourne City (pinjaman) dan Vissel Kobe.

Pemenang Piala Dunia bersama Sepanyol itu kemudiannya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau meninggalkan Barca bukan kerana ada masalah dengan Lionel Messi.

“Tiada apa berlaku dengan Messi.”

Jelas Villa.

“Ketika itu memang banyak yang bercakap soal ini, tapi hakikatnya kalau saya terus menjadi pemula, saya akan kekal bersama Barcelona.”

“Kenyataan sebenarnya adalah saya sudah mula kehilangan perhatian. Saya selalu diletakkan dibangku simpanan dan selepas saya fikirkan semuanya, saya beritahu jurulatih bahawa saya mahu pergi.

Baca Juga

Baca Juga