Rangnick Bakal Tandatangani Bekas Anak Buahnya Dari Leipzig Dengan Nilai £32 Juta

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick berkemungkinan akan bekerjasama semula dengan bekas anak buahnya dari RB Leipzig pada jendela perpindahan Januari ini.

Ralf Rangnick telah dilantik sebagai pengurus interim kelab sehingga akhir musim ini, selepas Manchester United memecat legenda kelab Ole Gunnar Solskjaer.

Pengurus dari Jerman yang kini berusia 63 tahun itu bakal menyambung tugas sebagai penasihat kelab selepas tamat tugasnya sebagai pengurus interim pada penghujung musim nanti.

Sama seperti Ole Gunnar Solskjaer dan Michael Carrick, Ralf Rangnick turut sering menggunakan khidmat Fred dan Scott McTominay sebagai pemain midfield utamanya.

Beliau menggunakan gandingan kedua-dua pemain itu ketika aksi kemenangan bertemu Crystal Palace dan Norwich City baru-baru ini.

Bekas pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini teruk dihentam kerana terlalu bergantung kepada McTominay dan Fred di posisi midfield.

Hal ini kerana United terlalu mudah untuk didominasi kerana bahagian tengah mereka langsung tidak berfungsi, dan gandingan McFred dianggap punca utama kegagalan itu.

Walau bagaimanapun, setan merah seperti mendapat tenaga tambahan baru sebaik dikendalikan oleh Ralf Rangnick, dengan gandingan McFred kini dilihat sangat berprestasi.

Apa yang lebih menarik lagi, Ralf Rangnick kini turut sedang dalam usaha beliau untuk melengkapkan penandatanganan pemain terbaru pada jendela perpindahan Januari ini nanti.

Menurut sumber laporan dari Manchester Evening News, setan merah pada ketika ini sedang dalam persiapan akhir untuk membawa Amadou Haidara dari Leipzig ke bumi Old Trafford.

Haidara telah ditandatangani oleh RB Leipzig pada tahun 2018 yang lalu, dengan mereka ketika itu masih berada di bawah kendalian Ralf Rangnick.

Ralf Rangnick sendiri bahkan turut menganggap yang Haidara merupakan pemain terbaik dan paling berbakat yang pernah beliau kendalikan.

Bintang berusia 23 tahun yang juga merupakan pemain kebangsaan Mali itu memulakan kariernya bersama Red Bull Salzburg dan kini mempunyai kontrak bersama RB Leipzig hingga 2025.

Walau bagaimanapun, setan merah mungkin boleh menandatangani Haidara dari Leipzig dengan nilai £32 juta sahaja seandainya mereka mengaktifkan klausa perlepasan yang ada dalam kontraknya.

Haidara sudah berjaya menjaringkan tiga gol dari 18 penampilan beliau sepanjang musim ini, dan turut menegaskan yang beliau gembira bersama RB Leipzig.

Satu hal yang mungkin akan menggembirakan penyokong setan merah adalah fakta bahawa Haidara sebenarnya membesar sebagai penyokong tegar Manchester United.

Man Utd juga berkemungkinan akan kehilangan Paul Pogba pada musim panas akan datang dan Haidara jelas sekali merupakan individu paling tepat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bintang Perancis itu.

Pogba pada jendela perpindahan Januari ini beliau sudah boleh memulakan rundingan dengan kelab di luar England, dan turut boleh menandatangani pra kontrak terlebih dahulu.

Beliau pada ketika ini hangat dikaitkan dengan bakal menyertai Real Madrid, Paris Saint Germain dan turut dikatakan bakal membuat kepulangan semula menyertai Juventus.

Bekas bintang Arsenal dan Everton, Kevin Campbell turut memberi pandangan beliau berkait berita United sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Haidara.

Beliau menegaskan yang ia sebenarnya satu keputusan yang bijak memandangkan Haidara sudah sangat faham dengan corak permainan serta sistem kendalian Ralf Rangnick.

“Mana-mana pemain yang Manchester United tandatangani pada jendela perpindahan Januari ini, mereka perlu praktikal dan masuk akal.”

Jelas Campbell kepada Football Insider.

“Sesiapa saja yang datang dia perlu mampu untuk lakukan tugas khas yang diarahkan oleh Ralf Rangnick dalam sistemnya.”

“Haidara tahu bagaimana untuk bermain dengan corak permainan seperti itu dan dia tahu secara terperinci apa yang ralf Rangnick mahu dia lakukan.”

“Di situlah kawasan yang mana Man Utd berdepan masalah, dan bagi saya dia merupakan penandatanganan terbaik dan akan sangat berbaloi untuk setan merah.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kisah Bagaimana Bola Sepak Jerman Menukar Kiblat ke Arah Rangnick