Raphael Varane mengaku dia terkejut apabila Erik ten Hag kekal menjadi pengurus Manchester United selepas musim 2023-24 berakhir. Menurutnya, hubungan antara pengurus itu dan para pemain sudah tidak wujud lagi.
Sebelum perlawanan akhir Piala FA yang menyaksikan United menang 2-1 ke atas Manchester City pada Mei lalu, masa depan Ten Hag menjadi tanda tanya. Selepas perlawanan, pengurus itu sendiri berkata dia “tidak tahu” sama ada itu adalah perlawanan terakhirnya bersama United.
Dalam satu temu bual khas bersama, Varane yang kini berusia 31 tahun dan telah meninggalkan United selepas 3 tahun di kelab itu, berkata:
“Saya terkejut dia masih kekal. Hubungannya dengan pasukan sudah tiada.”
Namun, selepas penilaian semula dilakukan oleh pemilik bersama United, Sir Jim Ratcliffe dan pengarah sukan INEOS, Sir Dave Brailsford, kelab memutuskan untuk mengekalkan Ten Hag. Kontraknya juga dilanjutkan setahun sehingga 2026.
Hubungan Yang Sukar Dengan Ten Hag
Varane yang kini menjadi ahli lembaga kelab Serie A, Como selepas bersara akibat kecederaan lutut pada September, menggambarkan hubungannya dengan Ten Hag sebagai “rumit.”
“Susah nak cari perkataan yang sesuai,” katanya. “Kadang-kadang hubungan kami sangat tegang. Ada masa dia cuba dengar pendapat pemain tapi ada juga masa dia buat keputusan tanpa ambil kira perasaan kami. Jadi, ada naik dan turun dalam hubungan kami. Kadang-kadang memang rumit.”
Pada musim 2022-23, Varane merupakan pilihan utama Ten Hag di bahagian pertahanan tengah bersama Lisandro Martínez. Tetapi pada musim berikutnya, mulai Oktober hingga pertengahan Disember, dia jarang diturunkan walaupun cergas.
Ten Hag, yang kini berusia 55 tahun memberitahu media bahawa keputusan itu dibuat atas sebab “taktikal.” Ada yang percaya bahawa Varane tidak sesuai dengan corak permainan Ten Hag yang menekankan barisan pertahanan tinggi. Namun menurut Varane sendiri, pengurus itu tidak pernah memberikan penjelasan yang jelas kepadanya selain menyatakan bahawa ia adalah untuk kebaikan pasukan.
“Kami pernah berbincang secara serius,” kata Varane. “Kami berterus terang antara satu sama lain. Tapi selepas itu, saya hampir 2 bulan tak bermain. Saya beritahu dia yang saya tak setuju dengan cara dia menguruskan hubungan antara dirinya dan pasukan. Ramai pemain tidak berpuas hati dan saya rasa itu tidak baik untuk pasukan.”
Cara Ten Hag Mengurus Pemain
Walaupun Varane mempunyai pendapatnya sendiri, ada juga pemain seperti Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo yang berkembang dengan baik di bawah kendalian Ten Hag. Casemiro pula pernah berkata kepada media Sepanyol bahawa musim pertamanya di United (2022-23) adalah musim terbaik dalam kariernya.
Menurut Varane, dia tidak merasakan Ten Hag sengaja mahu menghukumnya. Tetapi dia percaya pengurus itu mempunyai cara tersendiri untuk mengawal pasukan dengan menunjukkan contoh melalui pemain tertentu.
“Dia mahu dihormati melalui rasa takut, mungkin,” kata Varane. “Dia selalu perlukan seorang pemain untuk dijadikan contoh. Di Manchester, dia lakukan itu kepada sekurang-kurangnya seorang pemain penting dalam pasukan. Dia juga sering bermasalah dengan beberapa pemain senior. Itu adalah cara dia mengurus pasukan.”
Varane memberi contoh Cristiano Ronaldo dan Jadon Sancho yang turut mengalami situasi serupa di bawah Ten Hag.
Namun begitu, Varane mengakui bahawa Ten Hag menguruskan kepulangannya ke dalam pasukan dengan baik sebelum perlawanan akhir Piala FA.
“Kami ada naik dan turun. Saya tak boleh kata semuanya buruk. Ada juga saat-saat yang baik.”
Perbezaan Besar Antara United dan Real Madrid
Varane, yang pernah memenangi 4 kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Real Madrid dan Piala Dunia 2018 bersama Perancis merasakan cara United diurus sangat berbeza daripada Madrid.
“Sebagai pemain, saya dapat rasakan tiada struktur yang jelas tentang bagaimana kelab ini harus berfungsi,” katanya. “Di Madrid, semuanya ada sistem dan cara yang jelas, dari peringkat tertinggi hingga ke akademi. Tapi di United, banyak benda tidak jelas—bagaimana untuk merekrut pemain, bagaimana untuk bermain, bagaimana untuk berkomunikasi.
“Terlalu ramai orang terlibat dalam proses membuat keputusan, sampai kami sendiri tak tahu siapa yang benar-benar bertanggungjawab. Saya pun tak pasti siapa yang bertanggungjawab. Rasanya semua orang terlibat tapi dalam masa yang sama, tiada sesiapa yang benar-benar buat keputusan.”
Varane Masih Sayang United
Walaupun ada banyak kritikan, Varane tetap menghargai masanya di Manchester United dan menyayangi para peminat.
“Saya sangat hormat dan sayang kelab ini, jadi saya hanya mahu bersikap positif,” katanya. “Bila saya bercakap tentang perkara yang kurang baik, itu bukan untuk menyalahkan sesiapa. Saya cuma mahu lihat kelab ini berjaya.”