Rashford dan Asensio Bersinar, Kebangkitan Aston Villa di Bawah Unai Emery

Aston Villa akhirnya berjaya keluar daripada tempoh yang sukar dengan kemenangan penting ke atas Chelsea. Selepas hanya mencatat 1 kemenangan daripada 5 perlawanan terakhir liga, Villa sangat memerlukan 3 mata untuk menghidupkan semula peluang mereka ke pertandingan Eropah. Namun kemenangan ini bukan datang dengan mudah. Mereka terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih kemenangan 2-1 menerusi 2 gol Marco Asensio hasil bantuan Marcus Rashford.

Permulaan Perlahan & Kebangkitan Aston Villa

Villa memulakan perlawanan dengan perlahan, satu corak permainan yang sudah menjadi kebiasaan bagi mereka sepanjang musim ini. Chelsea mengambil kesempatan apabila Pedro Neto mempamerkan aksi cemerlang dengan memperdayakan Ian Maatsen sebelum menghantar bola kepada Enzo Fernandez yang mudah menyudahkannya ke dalam gawang. Gol ini menyebabkan Villa ketinggalan seawal babak pertama dan kelemahan pertahanan mereka sekali lagi terdedah.

Namun, Unai Emery bukanlah jurulatih yang mudah panik. Dengan reputasinya sebagai pengurus taktikal yang bijak, beliau segera mengubah strategi pada separuh masa kedua. Rashford dibawa masuk untuk menggantikan pemain yang kurang efektif di bahagian serangan. Donyell Malen dan Leon Bailey yang diperkenalkan kemudian menambahkan ancaman ofensif Villa.

Rashford & Asensio: Pemangkin Kebangkitan

Kemasukan Rashford mengubah struktur serangan Villa. Beliau kerap berada di bahagian sayap kiri dan memberi tekanan kepada pertahanan Chelsea, khususnya Malo Gusto. Ia membolehkan Asensio bergerak lebih bebas di antara barisan tengah dan serangan, mencari ruang untuk membuat larian dan hantaran berbahaya.

Kerjasama Rashford dan Asensio mula membuahkan hasil pada minit ke-65. Rashford menerima hantaran daripada Matty Cash sebelum menghantar bola ke dalam kotak penalti untuk disudahkan oleh Asensio. Gol ini memberikan nafas baru kepada Aston Villa dan momentum mereka semakin meningkat. Villa terus menekan Chelsea melalui serangan bertali arus dan akhirnya, pada minit ke-89 Rashford sekali lagi menjadi arkitek utama apabila hantarannya disambut oleh Asensio yang melepaskan voli kencang ke gawang. Kesilapan penjaga gol Filip Jorgensen menambah drama apabila bola bergolek masuk untuk memastikan kemenangan dramatik buat Villa.

Peranan Emery & Masa Depan Villa

Unai Emery jelas memainkan peranan penting dalam kebangkitan Villa. Beliau bukan sahaja memberi kepercayaan kepada Asensio dan Rashford tetapi juga memastikan mereka bermain di posisi terbaiknya. Asensio diletakkan sebagai pemain NO10, posisi kegemarannya yang jarang diberi peluang di Real Madrid sebelum ini. Sementara itu, Rashford diberikan kebebasan untuk bergerak di bahagian sayap, seperti mana beliau sering bermain ketika di Manchester United.

Keputusan Emery membuktikan bahawa beliau tahu bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripada pemainnya. Sokongan daripada pemilik kelab, termasuk Nassef Sawiris yang hadir di stadium dan memberikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum perlawanan juga menunjukkan bahawa Villa serius dalam usaha mereka untuk mencapai sasaran musim ini.

Villa Perlu Konsisten

Walaupun kemenangan ini sangat penting, Villa masih perlu membuktikan konsistensi mereka jika mahu bersaing untuk tempat di Eropah. Masalah pertahanan mereka belum diselesaikan dan kelemahan di awal perlawanan boleh menyebabkan mereka dihukum oleh pasukan yang lebih kuat. Namun, dengan Rashford dan Asensio yang sudah menemui rentak, Villa mempunyai keupayaan untuk mencabar mana-mana pasukan dalam liga.

Kejayaan ini juga membuktikan bahawa pembelian pemain berprofil tinggi dalam jendela perpindahan adalah berisiko tetapi berbaloi jika digunakan dengan betul. Rashford dan Asensio diambil untuk menjadi pemangkin kejayaan Villa dan perlawanan ini menjadi bukti bahawa mereka mampu menggalas tanggungjawab itu.

Kini, cabaran seterusnya bagi Villa adalah untuk mengekalkan momentum ini dan memastikan mereka terus meraih kemenangan. Jika mereka dapat mengekalkan prestasi seperti yang dipamerkan dalam separuh masa kedua menentang Chelsea, tidak mustahil Villa akan menjadi salah satu pasukan yang paling sukar ditewaskan musim ini.

BACA:  Harapan Arsenal Kian Pudar Selepas Kekalahan Kepada West Ham