Christian Pulisic Sertai Chelsea Dalam Perjanjian Bernilai £57.6 Juta

Pemain tengah berbakat, Christian Pulisic sah menyertai Chelsea dari Borussia Dortmund dalam perjanjian yang dianggarkan berjumlah £57.6 juta, sekaligus menjadikan beliau pemain termahal dalam sejarah yang pernah dilahirkan Amerika Syarikat.

Namun begitu, peminat The Blues mungkin perlu menunggu lebih lama untuk melihat Pulisic menyarung jersi biru kelab tersebut kerana beliau akan dipinjamkan ke Dortmund untuk baki saingan musim 2018/2019.

Tawaran lumayan Chelsea terhadap pemain yang enggan menandatangani kontrak baru tidak mampu ditolak Dortmund

Dengan pengesahan perpindahan ini, Pulisic menjadi pemain kedua termahal dalam sejarah Chelsea, di belakang Alvaro Morata. Menerusi akaun Twitter rasminya, Pulisic mengesahkan beliau akan berpindah ke Chelsea dan mengucapkan terima kasih kepada Dortmund kerana mencorak kariernya sehingga ke tahap sekarang.

“Dengan hati yang berat, saya akan memasuki bulan-bulan terakhir kontrak saya bersama kelab terkenal di dunia ini.”

“Pada musim panas 2019, saya akan berpindah ke Chelsea untuk bermain dalam pertandingan yang baru, iaitu Liga Perdana Inggeris.”

“Saya cukup bertuah kerana dapat beraksi dengan kelab legenda seperti Chelsea dan saya melihat ke hadapan untuk bekerja keras seterusnya memberikan sesuatu kepada pasukan tersebut yang dipenuhi pemain-pemain berkelas dunia.”

“Saya melihat ke hadapan untuk bermain di bawah Maurizio Sarri dan pasukan teknikalnya. Tetapi untuk 6 bulan yang akan datang, Borussia Dortmund adalah segalanya.”

“Jangan sekali-kali mempertikaikan minat dan komitmen saya terhadap pasukan ini sehingga sepakan bola terakhir musim ini.”

Direktor Sukan Dortmund, Michael Zorc berkata beliau cuba memujuk Pulisic untuk menandatangani kontrak baru bersama kelab tersebut yang mana kontraknya akan tamat pada musim panas 2020.

“Impian besar Pulisic adalah untuk bermain dalam Liga Perdana Inggeris. Ia berkait rapat dengan latar belakang beliau sebagai seorang warganegara Amerika Syarikat dan disebabkan perkara itu, kami gagal memujuknya untuk menandatangani kontrak baru.”

“Memandangkan kontraknya akan tamat tidak lama lagi, kami mengambil keputusan untuk menerima tawaran yang sangat lumayan daripada Chelsea.”

“Christian Pulisic adalah pemain yang mempunyai karakter yang tiada cacat cela. Saya yakin beliau akan memberikan segala-galanya untuk beberapa bulan yang akan datang dalam usaha untuk membantu Dortmund mencapai sasaran bersama rakan sepasukan yang lain.”

Walaupun baru berusia 20 tahun, Pulicis sudah mengumpul 23 penampilan bersama USA

Selain Chelsea, kelab besar Liga Perdana Inggeris lain seperti Liverpool dan Arsenal juga menaruh minat terhadap Pulisic berikutan peningkatan yang dipamerkannya bersama Dortmund sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Namun begitu, musim ini menyaksikan peluang Pulisic untuk berada dalam kesebelasan utama menjadi sukar berikutan kemunculan pemain muda England, Jadon Sancho yang beraksi cemerlang di posisi beliau.

Pulisic bakal menjadi pemain ke-4 yang dibawa masuk Sarri sejak mengambil alih tampuk pengurusan pasukan dari Antonio Conte musim panas lalu selepas Kepa Arrizabalaga, Jorginho dan Mateo Kovacic.

BACA:  Courtois: Real Madrid Kelab Terbaik Dunia