Rasuk

“Braa!”

Ramli kucar-kacir bangun. Pagi minggunya terganggu. Dilihat jam sudah pukul lapan pagi. Rupanya cuma suara TV yang lupa dimatikannya. Malam tadi dia menonton TV sehingga lewat. Lebih tepat lagi menonton perlawanan bola. Sehingga dia terbaring tidur di ruang tamu. Cepat-cepat dia mencari telefon pintarnya untuk menyemak keputusan perlawanan semalam. Kain pelekatnya entah kemana. Seingatnya malam tadi elok dia kemaskan ikatan kain pelekat sebelum duduk menyandar di sofa. Sedar-sedar pagi ni dia dah terbaring di lantai bagaikan bayi yang baru lahir.

Diselak selimut dan kain baju yang berselerakan di ruang tamu, tidak juga ketemu telefon pintarnya itu. Puas dia memikir dimanakah kali terakhir dia letak telefon itu. Dihentak-hentak kepalanya ke dinding bagi mendapatkan jawapan. Ramli buntu, dinding retak. Sesaat kemudian dia tersedar. Lain benar keadaan rumah dia pagi ini. Kain baju berselerak berterabur atas lantai. Bingkai gambar dan lukisan yang tergantung di dinding juga jatuh dan pecah menyelerakkan kaca ke merata tempat. Permaidani parsi-nya terselak separuh. Sofa L dah jadi M.

Bahana apa yang telah melanda rumahnya malam tadi?

“Pling!”

Ramli mendapat ilham. Dibukanya TV untuk mendapatkan klu tentang apa yang terjadi. Sebelum ini, Ramli dikenali sebagai seorang yang kemas dan pembersih. Jangankan tikus, semut nak lalu dalam rumah dia pun habis diamuk satu kampung. Justeru dia merasa hairan dengan situasi yang menimpa rumahnya pagi itu. Ditekan remote ke saluran berita.

“Sementara itu calon juara EPL, Liverpool diaibkan 5-0 ketika bertandang ke Manches…”

“PRANGGG!!!”

TV LED Samsung yang dibeli secara ansuran bulanan diterajangnya sampai terperusuk masuk ke dalam dinding batu lalu berkecai.

“Pantek, patutlah jahanam rumah.”

Ramli mencarut sendirian.

Baru teringat rupanya malam tadi dia menonton bola semalaman. Bermula dari seawal maghrib hinggalah ke sepertiga malam. Pasukannya Liverpool dibelasah oleh Manchester City 5-0. Pasal itulah barang dalam rumahnya berterabur. Segala benda menjadi mangsa kemarahannya. Lagi-lagi kalah dengan Manchester. Benci betul dia dengan nama tu. Walaupun yang mengalahkan Liverpool semalam sekadar pasukan kedua dari Manchester, tetapi dia tetap baran. Prinsipnya mudah, kalah dengan Watford takpe, tapi tidak dengan Manchester. Itu pantang.

Imbas kembali kejadian semalam, selesai tahyat akhir dan beri salam, Ramli lekas-lekas bangun. Sejadahnya ditinggal tak berlipat dan tidak sempat berdoa. Liverpool dijadualkan bermain seawal maghrib, jadi beliau terpaksa miss scene-scene awal perlawanan. Dibukanya TV kelihatan Liverpool sedang tertekan diasak Manchester City. Perlahan dibawa matanya memerhati ke sudut kanan atas TV untuk melihat keputusan semasa. 1-0. Liverpool sedang ketinggalan.

Tetapi Ramli optimis, dia yakin Liverpool mampu bangkit lalu mengalahkan Manchester City. Mana mungkin tidak, Liverpool bermain dengan kekuatan full blast. Pemain kesayangannya Sadio Mane diturunkan bergandingan dengan Mohammed Salah dan Firmino. Trio yang dianggap oleh seluruh penyokong Liverpool sebagai kembar kepada Messi-Suarez-Neymar sebelum ini di Barcelona. Buktinya dua minggu lepas trio ini bermaharajalela menjahanamkan Arsenal 4-0.

Ketika itu Ramli dan penyokong Liverpool lain yakin, musim inilah masanya! Musim yang akan menamatkan kemarau kejuaraan liga kepada kelab kesayangan mereka. Laungan kegembiraan mereka bergempita dari Anfield membawa ke Kampung Padang Jawa. Seluruh peminat mereka bangkit mendabik dada umpama sudah memenangi liga. Penyokong Arsenal pula lantang menyuarakan semula slogan keramat Wenger out Wenger out.
Tiba-tiba dengan tidak semena-mena, Sadio Mane, pemain kesukaan Ramli memberikan satu flying kick tepat ke muka penjaga gol Manchester City dalam satu perebutan bola. Ramli terlompat, kepalanya mencecah siling kerana terkejut dengan keadaan itu. Sebelum mendarat sempat dia tersenyum berharap pengadil akan memberi penalti kepada pasukannya. Ramli tidak peduli tentang apa yang jadi. Baginya setiap foul adalah untuk pasukannya. Ini peluang untuk Liverpool menyamakan kedudukan.

Pengadil kemudian memanggil Mane ke tepi, sebelum menyeluk tangannya ke dalam poket lalu mengeluarkan kad merah yang dijulang tinggi ke hadapan muka Mane. Mane terperanjat! Ramli juga! Tindakan pengadil itu cuba diprotes oleh Mane.

“Uvuvwevwevwe Onyatanyevwe Ogwemubwem Ossas!”

Kata Mane, tapi pengadil tak layan lalu menggelengkan kepalanya sebelum mengarahkan Mane keluar padang. Penjaga gol masih terbaring K.O.

Di rumah, Ramli pula cuba membantah keputusan pengadil dengan caranya sendiri. Bezanya, jika Mane membantah dengan mulut, Ramli pula membantah dengan kaki. Diterajangnya habis seisi rumah apa yang ada. Almari baju, rak buku, meja makan, katil bujang, dapur gas, minyak lintah habis semuanya menjadi mangsa Ramli. Aksinya persis Mane sebentar tadi. Flying kick diikuti dengan jeritan BABI BABI BABI BABI BABI, sebanyak lima kali.

Ramli tidak dapat menerima pemain kesayangannya dibuang padang. Baginya pengadil sentiasa curang terhadap Liverpool dan menyebelahi Manchester. Sebab itulah pasukan Manchester menang banyak kejuaraan. Pasukan Liverpool tidak mendapat pembelaan sewajarnya dari pengadil. Aksi mereka cukup sempurna tanpa ada cacat cela, justeru kegagalan memenangi liga adalah berpunca dari pengadil!

Setelah selesai, Ramli menarik nafas panjang cuba menenangkan dirinya. Dipejamkan mata seketika. Ramli cuba membayangkan yang indah-indah sahaja. Perlahan memori kebangkitan di Istanbul berputar di kepalanya. Perkara itu sudah cukup untuk membuatkanmya terpancut dan mampu untuk duduk bertenang. Ramli kembali duduk di sofa.

Permainan di TV bersambung semula setelah terhenti seketika. Liverpool nampak garang walaupun bermain 10 orang. Serangan demi serangan dilancarkan ke kubu Manchester City. Perkara ini membuatkan Ramli teruja. Kelajuan Salah diadun dengan skill samba Firmino mencipta kekalutan kepada benteng pertahanan Manchester City. Liverpool terus menyerang mencari gol penyamaan. Tiba-tiba entah macam mana pada satu serangan balas Manchester City berjaya mendapat gol kedua melalui Gabriel Jesus.

Ramli terkedu. Melongo dia memerhatikan pemain Manchester City yang meraikan gol kedua mereka. Darah dalam badannya mula naik, namun pantas ditegah Ramli. Ya, Ramli mampu memerintah darah sendiri. Ramli memejamkan matanya semula dan membayangkan Istanbul. Dia tersenyum. Perlawanan seterusnya disambung semula dengan Liverpool sekali lagi garang menyerang menekan Manchester City. Pemain Manchester City kelihatan begitu budak-budak diperlakukan Liverpool. Mujurlah pengadil meniup wisel menamatkan separuh masa pertama. Kalau tidak nyaris mereka dibelasah Liverpool dengan puluhan gol.

Ramli mengambil kesempatan waktu rehat itu dengan meminum air yassin. Air itu diberikan oleh imam kampungnya untuk mengawal panas baran Ramli. Ramli meneguk air itu bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu mencetuskan kerosakan yang lebih besar. Cukuplah dengan apa yang dah terjadi. Untuk pengetahuan, Ramli sudah lama tidak mencarut. Hendak berkata babi di facebook pun ditulisnya secara sensor b**i. Imam kampung la yang telah banyak membantunya. Dia juga menghadiri kelas mengurus kemarahan. Sebab itulah dia dibekalkan air yassin dan belajar teknik meredakan kemarahan dengan mengingati peristiwa Istanbul.

Babak kedua bersambung. Pasukan Liverpool menyerang dari mula. Salah dikeluarkan untuk memberi muka kepada Manchester City. Benar mereka mahukan kemenangan, tapi cukup sekadar kemenangan sahaja. Bukan menang besar. Dengan adanya Salah Liverpool akan menang besar dengan mudah. Ini tidak diasukai oleh Klopp yang terkenal dengan sifat merendah diri. Sebab itu dia dipuja oleh seluruh penyokong Liverpool. Chamberlain yang insaf dicabul Liverpool dua minggu lepas kini menyertai Liverpool pula. Dia dimasukkan untuk memberi peluang kepadanya membersihkan maruah diri.

Liverpool menyerang lagi. Kali ini lebih dahsyat. Pemain Manchester City berkampung di kawasan sendiri untuk mempertahankan kelebihan gol. Mereka cukup takut dengan Liverpool. Tap tap tap Liverpool main. Mudah falsafah yang diterapkan oleh Klopp. Ini menimbulkan kegerunan kepada penyokong Manchestee City. Segelintir mereka kelihatan berdoa kepada tuhan untuk keselamatan pasukan mereka. Bimbang peristiwa Arsenal beralih kepada mereka.

Tapi entahlah dimana silapnya, pada satu serangan balas kemudian pemain Manchester City berjaya mendapatkan gol ketiga. Ini mungkin balasan tuhan kepada Ramli yang sombong tidak mahu berdoa selepas solat. Ramli mengetapkan bibirnya. Airmata mula bergenang. Bergetar bibirnya menahan marah dan sedih. Segalanya cukup sempurna buat Liverpool. Kekemasan hantaran, kelajuan serangan, bek yang berdisiplin, penjaga gol bertaraf dunia, lengkap! Tetapi masoh lagi Liverpool dibolosi. Agaknya ini memang takdir tuhan untuk mereka yang sombong selepas diberi sedikit kejayaan.

Ramli mula insaf. Dia tertunduk lesu. Perlawanan seterusnya diperhatikan dengan perasaan kosong sahaja. Liverpool bolos lagi gol keempat dan kelima. Ramli faham. Tuhan memberinya teguran dengan cara ini. Dia akur dengan kehendakNya. Tiada apa lagi yang dapat dilakukannya. Hendak diterajang apa lagi pun dah tak tahu kerana semuanya sudah hancur di dalam rumah itu. Ramli redha. Cuma lepas ini dia berharap pasukan besar lain akan tewas!

Setelah menyaksikan kekalahan tidak adil Liverpool, Ramli kemudian menonton pula perlawanan lain. Tidak adil kerana Liverpool main power, tapi tewas juga. Entahlah. Dia menonton Chelsea, Chelsea menang. Tengok Arsenal, Arsenal menang. Buka Spurs pun Spurs menang. Aduhhh! Apakah ini bala? Ramli mula memikirkan bukan-bukan. Harapannya kini hanya satu. Stoke City!

Dia berharap sangat Stoke dapat menewaskan pasukan yang paling dibencinya iaitu Manchester United. Menjelang tengah malam Ramli menonton pula perlawanan itu. Permulaannya baik dengan Manchester United kelihatan tidak bermain permainan mereka apabila sukar menembusi pertahanan Stoke. Sehingga hampir tamat babak pertama Stoke berjaya menjaringkan gol pendahuluan.

Ramli gembira. Dia melompat tinggi menembusi bumbung rumahnya ke angkasa raya. Disapanya burung-burung yang berterbangan sebelum melaju turun dan mendarat kemas ke sofanya.

“Padan muka kau Manchester, padan muka! HAHAHAHAHAHA”

Tawanya tidak dapat disembunyikan lagi.

Bagaimanapun kegembiraan ini tidak lama apabila Manchester United berjaya menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

“ARGHHH!!! BABI BABI BABI BABI BABI!!!”

Ramli menjerit kegeraman. Beliau kemudian berlari keluar merempuh pintu rumah sehingga roboh lalu memecut laju ke Lebuhraya Persekutuan sebelum mengambil exit ke Brickfields.

“Babi betul Manchester ni. Gol kenapa babi! Kalah la babi! Nak menang je babi apa kau ni?”
Ramli mengomel sendirian.

Dia kemudian berlari pecut semula ke rumahnya di Padang Jawa.

Sesampainya di rumah Manchester United sedang mendahului pula 1-2 hasil jaringan dari Lukaku.

Ramli tak boleh tahan. Kali ini barannya begitu tinggi api kemarahannya menyala-nyala. Dihentak-hentak kakinya ke tanah. Niatnya ingin menguburkan semua orang kampung malam ini. Pergi mampus apa nak jadi pun jadilah. Yang penting dia puas. Ramli kemudian mengaum kuat bagaikan seekor harimau yang benar-benar kerasukan. Pak Imam yang sedang tidur terkejut dirumahnya. Bergegas dia berlari ke rumah Ramli. Ramli sakit semula! Dia perlu pantas bertindak. Amukan Ramli perlu diseka. Bahananya boleh menyebabkan bencana ke seluruh penduduk kampung.

Pak Imam kemudian mencapai jus delima yang telah dijampi lalu meluru laju ke rumah Ramli.
Sesampainya disana kelihatan Ramli sudah kerasukan. Matanya merah menyala. Terserlah aura kehitaman menyelubungi Ramli. Pak Imam pantas merenjis jus delima yang telah dijampi.

Ramli menjerit histeria terkena jus itu kerana penyokong Liverpool sememangnya panas dengan deLIMA. Jeritannya menyeluruh ke serata pelusuk Shah Alam serentak dengan jeritan penyokong pasukan lain yang meraikan gol penyamaan Stoke City.
Ramli pengsan, dan terbaring…

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Sharell Eizwan.

Baca Juga

Baca Juga