Razman Roslan Kongsi Pengalaman Bantu Mangsa Banjir

Sudah lebih satu minggu negara kita dilanda musibah banjir yang sangat teruk dan mengakibatkan pelbagai kemusnahan di merata tempat.

Selepas keadaan di Kuala Lumpur dan Selangor semakin baik, kini keadaan di Pahang pula sepertinya semakin teruk dan membimbangkan.

Ketika musibah ini melanda, rakyat Malaysia dilihat sangat bersatu padu membantu antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa ataupun warna kulit.

Bantuan dihantar dari pelbagai sudut termasuk tenaga, kewangan, keperluan, khidmat nasihat, khidmat kesihatan dan bermacam lagi jenis bantuan yang disalurkan kepada mereka-mereka yang terlibat dengan bencana ini.

Dengan air yang naik terlalu cepat, jelas sekali masyarakat tidak sempat membuat apa-apa persiapan dan kerana itu jugalah terlalu banyak kerosakkan dan kemusnahan yang berlaku.

Pemain pertahanan Melaka United, Razman Roslan antara individu yang turun padang untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Shah Alam.

Razman bersama kumpulan perubatan dari Megaklinik Zahran turun sendiri menghulurkan bantuan, dan turut sama membersihkan kawasan-kawasan yang terlibat.

Beliau turut berkesempatan membantu membersihkan rumah bekas pemain bola sepak, Azlan Zainal yang turut terkesan dengan musibah banjir ini.

Menurut Razman, beliau bersama kumpulan perubatan Megaklinik Zahran memberi bantuan dengan memberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma, memberikan bekalan ubat-ubatan dan keperluan harian untuk mangsa-mangsa banjir.

“Yelah kalau kita tengok ujian dalam banjir ni memang pelbagai lah, ada yang kita tengok rumah sampai tinggal bumbung, ada yang sampai tinggal tangga pun ada.”

“Jadi, dengan anak-anak yang masih kecil, yang masih tak tahu apa-apa. Kalau kita tengok ye lah, dengan orang tua-tua, dengan keadaan yang tidak sihat, menggigil, memang sangat sedih lah, dan saya bersyukur juga dengan sokongan daripada mega klinik zahran, memberikan rawatan klinik percuma, dengan ubat-ubatan yang percuma.”

“Dan insyaallah, kita akan teruskan lagi misi kami untuk membantu rakyat Malaysia.”

Razman Roslan bersama kumpulan perubatan Megaklinik Zahran kini akan pergi ke Pahang pula untuk memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sana.

Semoga saja semua yang terlibat dengan bencana banjir ini akan dipermudahkan segala urusan mereka dan diharapkan mereka tabah melalui ujian ini.

Sebut tentang memberi bantuan kepada mangsa banjir, ketika negara dilanda musibah seperti ini, muncul seorang wira baru dari Melaka, Azwan Omar.

Abang Viva patut dapat gelaran Datuk

Tiada kena mengena dengan sukan, tetapi alang-alang bercerita tentang bantuan kepada mangsa banjir, tak lengkap rasanya kalau tak cerita tentang Abang Viva yang sedang tular di media sosial pada ketika ini.

Azman Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva merupakan seorang pemuda dari Melaka yang kini berusia 29 tahun.

Beliau sanggup meredah dari Melaka ke Shah Alam menaikki Perodua Viva dan turut membawa bot miliknya dengan bermodalkan RM50 semata-mata untuk membantu mereka yang terkesan dengan banjir.

Beliau dianggap sebagai wira banjir atas semangat dan kemuliaan hatinya yang ikhlas membantu mereka yang dalam kesusahan.

Antara yang paling dikenang, beliau dikatakan telah menyelamatkan sepasang warga emas termasuk suami yang lumpuh dan seorang ibu bersama bayi yang baru dilahirkan.

Bahkan ada juga laporan yang mendakwa nama Abang Viva disebut oleh Khatib Masjid Negara ketika Khutbah Jumaat semalam.

Abang Viva pada ketika ini difahamkan sedang dalam usaha beliau membantu mangsa banjir di Pahang dan semoga sahaja semua urusan mereka yang terlibat akan dipermudahkan.

Siapa tahu Abang Viva akan jumpa Abang Razman dekat sana nanti kan?

Baca Juga

Baca Juga