Reaksi Conor McGregor Melihat Solskjaer Dipecat

Conor McGregor memberikan ucapan selamat tinggal yang cukup bermotivasi kepada Ole Gunnar Solskjaer, selepas pengurus dari Norway itu dipecat oleh pihak kelab baru-baru ini.

Bukan satu, tapi dua ucapan dalam tempoh beberapa jam dimuat naik oleh Conor McGregor bagi menghargai sumbangan Ole Gunnar Solskjaer dan mengucapkan selamat tinggal kepada legenda Manchester United itu.

Beliau menganggap Ole Gunnar Solskjaer sebagai legenda sepanjang zaman dan turut berkongsi gambar pengurus dari Norway itu menjulang Piala kejuaraan Champions League yang beliau menangi ketika kariernya.

McGregor memuat naik ucapan tersebut selepas Manchester United mengesahkan berita tentang pemecatan Ole Gunnar Solskjaer di laman rasmi milik kelab.

Selepas mengharungi musim yang suram pada musim ini, dengan Solskjaer tiap hari dikecam dan dimaki oleh penyokong, pihak kelab akhirnya melepaskan juga beliau dari jawatannya.

Solskjaer bersama anak-anak buahnya berdepan kekalahan yang cukup memalukan bertemu Watford pada hujung minggu lalu, sehari sebelum beliau disahkan dipecat.

Kekalahan 4-1 bertemu pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran jelas dianggap dosa yang sukar untuk diampunkan dan kerana itulah Solskjaer hilang pekerjaan.

Kekalahan 4-1 itu juga datang selepas United sebelum ini berdepan dua lagi kekalahan besar bertemu Liverpool dan Leicester City dalam saingan Premier League.

McGregor yang juga merupakan peminat setia Manchester United mahu para peminat sedar dan terus menghargai Solskjaer sebagai legenda kelab.

Beliau merasakan Solskjaer berhak untuk mendapat layanan tersebut atas sumbangan beliau ketika kariernya sebagai seorang pemain.

Walaupun beliau merupakan anak jati kelahiran Dublin, namun McGregor sebenarnya sudah menjadi peminat sejati Manchester United sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Beliau turut mempunyai hubungan yang sangat baik dengan para pemain, serta legenda Manchester United, termasuk Cristiano Ronaldo.

Muat naik McGregor jelas menunjukkan yang beliau sangat-sangat menghormati Ole Gunnar Solskjaer dan pada masa sama turut mahukan yang terbaik untuk kelab.

Sama seperti legenda kelab, Gary Neville dan Rio Ferdinand, kedua-dua mereka juga mahu melihat yang terbaik untuk masa depan Ole Gunnar Solskjaer.

Sebelum ini, ketika para peminat mula menyebarkan dakyah #OleOut, McGregor turut tampil memuat naik status, dan memaki hamun kesemua golongan tersebut.

McGregor menyokong penuh dakyah #OleIn

Conor McGregor memberi sokongan penuh kepada pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer untuk terus mengendalikan kelab, walau ramai yang meminta pengurus dari Norway itu untuk dipecat.

Beliau tampil di media sosial untuk menyatakan sokongannya kepada Solskjaer dan turut mempertahankan pengurus United itu sebagai individu paling layak untuk terus mengendalikan kelab.

Bintang UFC yang juga merupakan penyokong tegar pasukan bola sepak Manchester United itu memuat naik status di laman twitter untuk mempertahankan Ole Gunnar Solskjaer.

Beliau turut memberikan pandangan peribadinya berkait masalah dan situasi yang sedang berlaku di Old Trafford pada ketika ini.

McGregor menulis di laman twitter dengan menyatakan:

“Isu yang berlaku di United sekarang hanyalah tentang sekumpulan anak muda yang bercakap sesama mereka (membawang).”

“Kamu perlu seseorang dari kumpulan itu untuk mengetuai mereka. Ole berada di tempat duduk pemain simpanan ketika Ronaldo bermain. Pemain muda, tak cukup. Sangat sayang dan menghormati Ole di tahap tertinggi, tapi peranan dia perlu diubah, itu pandangan saya.”

Petarung dari Ireland itu kemudiannya memuat naik satu lagi status di laman twitter dengan beliau meluahkan rasa kecewanya melihat ada penyokong yang menggesa untuk Ole dipecat.

Beliau memaki hamun penyokong yang meminta Ole Gunnar Solskjaer untuk dipecat dengan menggunakan kata-kata yang tak boleh di tulis di sini.

Walaupun beliau menyokong penuh dakyah #OleIn, McGregor sebenarnya turut memberi pandangan dan cadangan yang menunjukkan beliau juga mahu melihat United dikendalikan oleh pengurus baru.

Beliau mahu melihat pengurus yang lebih berpengalaman untuk mengurus United, dan pada masa sama beliau meminta agar Solskjaer hanya diubah peranan sahaja.

Beliau tidak menyokong Ole dipecat, sebaliknya beliau mahu pengurus United itu dilantik menjadi salah seorang jurulatih seandainya setan merah mendapat pengurus baharu.

Sumber: GMS

BACA:  McGregor Menubuhkan Kelab Bola Sepak Selepas Bersara Dari UFC