Reaksi Datuk K.Rajagobal Melihat Amri Yahyah Catat Hat-trick Di Usia 41 Tahun

Legenda bola sepak negara, Datuk K. Rajagobal telah menghamburkan pujian menggunung kepada Amri Yahyah kerana berjaya mencipta sejarah baru bersama skuad Sabah kemarin.

Di usia 41 tahun, Amri Yahyah jelas sekali merupakan antara pemain paling berpengalaman yang masih lagi aktif bermain dalam perlawanan kompetetif.

Apa yang lebih menarik lagi, walau sudah dianggap sebagai pemain veteran, Amri Yahyah masih tetap cemerlang menunjukkan kualiti yang beliau miliki dengan mencatatkan hat-trick ketika beraksi bertemu Kedah kemarin.

Jaringan hat-trick beliau berjaya membantu Sabah FC membelasah Kedah Darul Aman 4-0 dalam aksi saingan Liga Super Malaysia.

Satu hal yang pasti, jaringan hat-trick Amri di Stadium Likas itu akan terus dikenang dan akan kekal dalam lipatan sejarah bola sepak negara kerana beliau antara pemain paling tua yang berjaya catat hat-trick dalam saingan tertinggi bola sepak negara.

Tiada siapa yang mampu menafikan yang Amri sememangnya pemain penyerang berkualiti tinggi dan walau sudah lebih dua dekad beraksi dalam saingan Liga Malaysia, kualiti beliau langsung tidak berkurang.

Amri cemerlang menjaringkan gol pada minit ke-51, 61 dan 72 dalam perlawanan tersebut sebelum pemain import Sabah, Park Tae-su menjaringkan satu lagi gol untuk membenam Kedah 4-0.

“Dia (Amri) mempunyai karakter yang tersendiri. Perkara bijak yang dibawa di atas padang kadang kala menjadi satu fenomena. Amri Yahyah terus mencipta situasi yang hebat seperti ini. Gol menentang Manchester United merupakan satu hadiah dari Amri kepada saya sebagai satu kenangan terindah ketika karier saya bersama skuad kebangsaan.”

Tulis Datuk K. Rajagobal di laman twitter miliknya.

Kehebatan Amri Yahyah juga mendapat perhatian dari bekas rakan sepasukannya yang juga kini merupakan Pembantu Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil.

Nidzam Jamil memuat naik status di laman twitter miliknya untuk memberikan penghormatan kepada Amri Yahyah atas kejayaan beliau mencatatkan hat-trick dalam perlawanan tersebut.

Nidzam sebelum ini sempat beraksi bersama Amri Yahyah dalam skuad Selangor dengan beliau turut berkongsi kisah bagaimana pertemuan pertama mereka pada tahun 2001 yang lalu.

“Pre season [latihan pra musim] Selangor tahun 2001, Coach Haji Rahman (Abdul Rahman Ibrahim) memanggil seorang budak ala-ala ‘Mat Motor’ dari team belia join [menyertai] team training.

“Gua [saya] tackle, dia bangun. Gua langgar, dia datang lagi. Jenis hati kering.

“Semalam budak ‘Mat Motor’ tu score [jaringkan] hatrik di usia 41 tahun. My huge respect to Amri Yahyah,”

Tulis Nidzam di Twitter peribadi beliau.

Pengurus skuad Sabah, Datuk Ong Kim Swee sendiri turut menghamburkan pujian bertubi-tubi kepada Amri Yahyah yang membantu skuadnya mengutip tiga mata penuh.

Sabah jelas sekali terdesak mahu mendapatkan tiga mata penuh dari perlawanan ini selepas mereka sebelum ini tewas di tangan KL City FC.

Kim Swee merasakan yang aksi Amri Yahyah dalam perlawanan tersebut membuktikan yang usia sekadar angka dan tak akan ada mana-mana pemain mampu melakukan hal yang sama dalam tempoh beberapa tahun mendatang ini.

Bukan hanya hat-trick bahkan Amri Yahyah turut menyumbang dengan aksi persembahan yang sungguh luar biasa dasyat sepanjang perlawanan ini.

Bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu turut menegaskan yang para pemain muda terutama dari skuad Sabah seharusnya mencontohi apa saja yang dilakukan oleh Amri Yahyah pada ketika ini.

Di usia sekarang, Amri Yahyah konsisten pamer aksi terbaik dan sepertinya Kim Swee benar yang pemain-pemain muda seharusnya mencontohi apa saja yang beliau lakukan agar negara akan mampu lahirkan seorang lagi Amri Yahyah di masa hadapan.

“Amri kita tahu pemain yang cukup berpengalaman dan bermain agak baik walaupun telah berusia 41 tahun.

“Saya percaya rekod jaringan hatrik beliau sebagai pemain paling berusia dalam saingan Liga Malaysia akan bertahan lama dan tidak akan ada mana-mana pemain mampu lakukan seperti Amri.

“Ini membuktikan kemampuan Amri serta beri keyakinan untuk dirinya malah beliau harus menjadi contoh pemain-pemain muda Sabah untuk bermain sepertinya,”

Jelasnya menurut Arena Metro.

Sumber: Datuk K.Rajagobal

BACA:  Akal Genius Amri Yahyah Gagalkan Sepakan Penalti Bergson