Reaksi Jerman Selepas Mengetahui Mereka Mungkin Bertemu England Di Pusingan 16 Terbaik

Kejayaan England mara ke pusingan kalah mati sebagai Juara kumpulan, telah menyebabkan mereka akan berdepan dengan laluan yang agak sukar.

Jerman merupakan calon yang bakal bertemu dengan England di peringkat 16 terbaik nanti kerana mereka mungkin bakal mengakhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua.

Namun, selain England yang mungkin berdebar untuk berdepan dengan skuad kendalian Joachim Low itu, Jerman sendiri turut merasakan hal yang sama.

The Three Lions mengesahkan tempat untuk mereka di pusingan 16 terbaik sebagai Juara kumpulan, selepas kejayaan menewaskan Czech Republic dalam aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan awal pagi tadi.

Ramai yang tidak menjangkakan England bakal menang dalam perlawanan tersebut, memandangkan sejarah membuktikan yang mereka sering memilih jalan selamat di peringkat seterusnya.

Kejayaan itu menjadikan mereka sebagai Juara dan lawan mereka di pusingan 16 terbaik adalah naib juara dari kumpulan F.

Mengikut logiknya, Jerman berkemungkinan akan mara sebagai naib juara, andai mereka berjaya menewaskan Hungary awal pagi esok.

Namun, tidak dinafikan ruang dan peluang dalam kumpulan F masih terbuka, dengan Hungary, Portugal dan Perancis juga mungkin bakal mengakhiri saingan di kedudukan kedua, bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Jerman mengakui mereka menganggap siapa saja lawan mereka selepas adalah lawan yang sukar, namun mereka yakin yang mereka bakal berdepan dengan England di pusingan 16 terbaik nanti.

Menurut wartawan Bundesliga, Archie Rhind-Tutt, yang melaporkan bahawa Jerman positif mereka akan berdepan dengan England selepas ini.

Skuad kendalian Joachim Low itu gagal memenangi perlawanan pembukaan Euro 2020 mereka bertemu Perancis sebelum ini.

Namun mereka berjaya bangkit dengan menewaskan Portugal 4-2 dalam aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan minggu lalu.

Jerman akan mengakhiri aksi peringkat kumpulan F dengan bertemu Hungary di Munich awal pagi nanti, dan keputusan sama ada mereka bakal bertemu England atau tidak di pusingan kalah mati, akan ditentukan selepas tamat perlawanan tersebut.

Namun ia tetap perlu bergantung kepada keputusan perlawanan antara Portugal dan Perancis juga, kerana Jerman mungkin akan mengakhiri aksi peringkat kumpulan sebagai Juara, seandainya Portugal berjaya menewaskan Perancis.

Bercakap selepas tamat aksi kemenangan 1-0 England menewaskan Czech Republic, awal pagi tadi, Southgate telah mendedahkan pendapat beliau tentang lawannya di pusingan kalah mati.

“Ia akan jadi perlawanan yang berbeza.”

Jelas Southgate.

“Juara dunia, Juara Eropah, Jerman yang sudah mendapatkan rentak persembahan terbaik mereka.”

“Siapa saja lawan kami selepas ini bakal jadi laluan yang sukar, tapi kami sudah ikuti jalan ini selama 18 bulan. Tapi apa yang bagusnya adalah kami terus perbaiki kekurangan dan kami akan tunjukkan yang lebih baik selepas ini.”

“Kami cakap kepada pemain sebelum perlawanan, yang kita tak ada tekanan, kita sudah layak, tapi masih ada sesuatu kita perlu capai, iaitu menjuarai kumpulan ini, yang mana ia sentiasa jadi sasaran kami.”

“Pertama atau kedua, tidak ada cara lain yang lebih baik untuk mengakhiri peringkat kumpulan dan tidak perlu kami fikirkan siapa akan kami temui selepas ini, kamu harus beri tumpuan pada sesuatu yang kamu mahu capai dan kami mahu kekal di Wembley.”

“Wembley boleh jadi satu hal yang penting untuk kami, jika kami boleh ada lebih ramai penyokong di sini, ia akan benar-benar membantu kami.”

Walau ramai yang beranggapan Jerman akan bergembira seandainya bertemu England di pusingan 16 terbaik nanti, sebenarnya Joachim Low sendiri tidak begitu yakin untuk berdepan dengan The Three Lions.

Sama seperti England, mereka turut bimbang dengan siapa saja lawan mereka di pusingan kalah mati ini nanti.

BACA:  Kerana Terlalu Fokus Kepada Lilitan Pelangi Punca Jerman Dilibas Pedang Samurai Biru?