Reaksi Kante Ketika Dirinya Dianggap Manusia Paling Mulia

Bintang Chelsea, N’Golo Kante merasakan peminat terlalu memandang tinggi terhadapnya, sedangkan beliau hanya manusia biasa sama seperti pemain lain.

Pemain kebangsaan Perancis itu telah dinobatkan sebagai pemain terbaik ketika aksi kemenangan 1-0 Chelsea menewaskan Manchester City dalam perlawanan akhir saingan Liga Juara-Juara bulan lalu.

Beliau sememangnya merupakan pemain paling disayangi peminat dan turut dianggap pemain paling merendah diri dalam dunia bola sepak.

Kante telah menjadi salah seorang pemain yang pasukan seteru sendiri tidak mampu untuk membencinya.

Beliau bahkan disayangi dan dihormati oleh peminat bola sepak seluruh dunia kerana kemuliaan dan kesucian hatinya.

Tidak dilupakan juga aksi dan kehebatan beliau di atas padang turut dikagumi oleh para peminat seluruh dunia.

Dari kisah memandu Mini Cooper untuk ke padang latihan, menerima undangan dari peminat untuk makan malam dan menonton TV bersama, bekas bintang Leicester City itu senantiasa melakukan hal-hal yang membuatkan peminat semakin sayang dan kagum dengannya.

Namun apa yang menariknya, Kante berjaya untuk menunjukkan sikap merendah diri dengan menganggap beliau hanya manusia biasa dan sama saja seperti pemain lain.

“Ia sangat benar yang mana ada ketika, imej ini dianggap terlalu mulia dan terlalu indah.”

Jelas beliau dalam satu sidang media di Clairefontaine, menurut Get Football News France.

“Tapi pada akhirnya, saya hanya seorang pemain yang biasa sahaja. Pemain yang sama seperti pemain lain.”

“Tak perlu pun untuk kata yang saya paling baik, atau mulia. Saya hanya pemain yang sama seperti pemain lain. Saya rasa kadang kala ia agak berlebihan. Ia tak perlu untuk dianggap begitu.”

“Ia sangat benar yang saya mahu ada hubungan yang baik dengan rakan sepasukan saya, untuk ada hubungan yang baik dengan orang yang saya temui di jalanan dan dalam dunia bola sepak.”

“Tapi selain dari itu, masih ramai pemain macam itu dalam dunia bola sepak. Kita tak perlu untuk bangkitkan semua cerita ini dan ada juga yang suka menokok tambah.”

Tapi sebenarnya peminat bukan berlebih-lebihan atau mahu memperbesarkan hal yang kecil, namun Kante sememangnya seorang pemain yang berbeza dari pemain lain.

Beliau comel, pemalu, baik, mulia dan tak sampai hati untuk peminat mengkritik mahupun mengabaikan kebaikan yang beliau lakukan.

Sikap malunya mula dikesan ketika beliau terlalu malu untuk menjulang Piala Dunia yang dimenangi oleh Perancis pada tahun 2018.

Terbaru ketika para pemain Chelsea mencium Piala kejuaraan Champions League, Kante hanya sekadar menyentuh sahaja Piala tersebut dengan kedua-dua belah tangannya dan berlalu pergi.

Rakan sepasukannya baik di Perancis mahupun Chelsea sentiasa akan menolak Kante ke depan supaya beliau berani untuk memegang Piala atau meraikan kejayaannya.

Antara kisah paling menarik yang baru diceritakan oleh bekas rakan sepasukannya dari Caen ketika beliau beraksi dalam saingan Ligue 2, Kante dikatakan terlalu malu untuk hadiri satu majlis hari lahir sahabatnya dan turut membuat orang lain di sana beremosi.

Beliau tiba dan terus meminta maaf kerana tidak tahu apa yang perlu di bawa kerana beliau tidak pernah diundang ke majlis hari jadi sebelum itu.

“Saya hubungi N’Golo Kante untuk ulang tahun kelahiran saya, ia hanya acara kecil-kecilan sahaja.”

Jelas Felipe Saad kepada media Brazil, Uol Sport.

“Tiba- tiba dia sampai di restaurant dengan membawa sekotak coklat, dia malu-malu.”

“Dia mintak maaf untuk hadiah yang dia bawa dan dia kata dia tak tahu nak bawa apa sebab dia tak pernah di undang ke acara hari jadi sebelum itu.”

Walaupun Kante menafikan yang beliau pemain yang baik dan menganggap dirinya sama sahaja seperti pemain lain, namun tidak untuk Saad.

Felipe Saad mengatakan yang pemain seperti Kante sukar untuk ditemui dalam dunia bola sepak ketika ini, dan bintang Chelsea itu juga sebenarnya sama saja walau di mana dia berada.

“N’Golo Kante merupakan pemain paling mulia yang pernah saya kenal, dia mempunyai keperibadian yang tak wujud lagi dalam dunia bola sepak.”

“Sebab itulah dia disayanginya oleh semua pemain.. dalam bilik persalinan, dia sama saja seperti apa yang kamu lihat di kaca television.”

Aksi mantap dan persembahan yang menakjubkan Kante sepanjang musim ini meletakkan dirinya sebagai calon untuk memenangi anugerah Ballon D’or tahun ini.

Beliau terlalu baik hingga dengan mudah dapat kemaafan walau datang lambat ke padang latihan, atau menipu ketika bermain UNO card seperti yang didakwa oleh Paul Pogba.

BACA:  Kante Berjaya Menjadi Pemain Keempat Dalam Sejarah Yang Pernah Julang EPL, UCL, CWC Dan Piala Dunia