Real Madrid Bangkit di Etihad: Kebangkitan Dramatik di UCL

Real Madrid Bangkit di Saat Akhir, Tewaskan Manchester City di Etihad

Real Madrid menjaringkan 2 gol dalam tempoh 10 minit terakhir untuk menumbangkan Manchester City di Etihad. Keputusan itu memberikan Madrid kelebihan sebelum aksi timbal balik di Sepanyol dalam play-off Liga Juara-Juara.

Pasukan Pep Guardiola melepaskan pendahuluan 2-1 ketika hanya 4 minit waktu permainan biasa berbaki. Bekas pemain City, Brahim Diaz, yang masuk sebagai pemain gantian, serta Jude Bellingham mencipta kebangkitan luar biasa untuk Madrid.

City mendahului 2 kali dalam perlawanan ini, kedua-duanya hasil jaringan Erling Haaland. Penyerang Norway itu meletakkan City di depan pada minit ke-19 melalui satu penyudah kemas. Gol itu memerlukan 4 minit sebelum disahkan oleh VAR.

Kylian Mbappe menyamakan kedudukan untuk Madrid dengan satu voli pada minit ke-60 tetapi Haaland sekali lagi menjaringkan gol untuk City melalui sepakan penalti selepas Phil Foden dijatuhkan oleh Dani Ceballos.

Namun, drama berlaku di saat akhir apabila Diaz dan Bellingham menjaringkan gol untuk memberikan kelebihan kepada pasukan bimbingan Carlo Ancelotti dalam perlawanan timbal balik ini. Pemenang play-off akan mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Bagaimana City Gagal Mengekalkan Kelebihan?

Guardiola pernah berkata bahawa perlawanan menentang Real Madrid adalah sesuatu yang Manchester City “layak” hadapi selepas mereka sekadar berjaya ke play-off Liga Juara-Juara dengan hanya 3 kemenangan dalam 8 perlawanan. Namun, apabila perlawanan ini berakhir dia mungkin akan berfikir bahawa pasukannya sekali lagi mendapat apa yang mereka “layak” selepas melepaskan 2 gol lewat permainan, meninggalkan mereka satu tugas berat pada perlawanan kedua.

Pada minit ke-80, City masih mendahului 2-1, dengan Haaland menjaringkan gol ke-2 melalui sepakan penalti. Pada ketika itu, kisah perlawanan ini adalah tentang ketahanan dan semangat City menentang pasukan Madrid yang kelihatan lebih tersusun dan berbahaya sepanjang permainan.

Namun, City merosakkan peluang mereka sendiri. Dalam saingan Liga Juara-Juara, tiada pasukan yang lebih bijak mengambil kesempatan terhadap kesilapan lawan selain Madrid. Bermula dengan kesilapan penjaga gol Ederson yang melakukan hantaran lemah, ia akhirnya membawa kepada gol penyamaan dari Brahim Diaz pada minit ke-86. Kemudian dalam masa tambahan, satu hantaran lemah daripada Mateo Kovacic membolehkan Vinicius Junior merampas bola dan mengatasinya Rico Lewis sebelum Bellingham menjaringkan gol kemenangan untuk Madrid.

Dengan keputusan ini, Madrid menjadi pasukan pilihan menjelang perlawanan timbal balik di Bernabeu pada minggu depan. City pula bergelut dengan prestasi tidak konsisten sepanjang musim dan mereka memerlukan persembahan luar biasa untuk mengelak daripada tersingkir di peringkat 16 terbaik buat pertama kali sejak musim 2012-13.

Keputusan VAR: Seberapa Hampir Haaland dengan Offside?

Stadium Etihad bergema dengan sorakan apabila Haaland meletakkan pasukan tuan rumah di depan melalui rembatan kaki kiri dari jarak dekat selepas menerima hantaran dada daripada Josko Gvardiol. Hampir 4 minit kemudian, sorakan sekali lagi bergema apabila teknologi offside separa automatik dalam Liga Juara-Juara mengesahkan jaringan itu sah.

Gvardiol jelas berada dalam posisi onside ketika hantaran awal dibuat kepadanya. Namun apabila dia menyentuh bola, dia dan Haaland sudah berada di hadapan pertahanan Madrid. Haaland hanya dianggap onside jika dia sejajar atau berada di belakang Gvardiol ketika bola dihantar kepadanya. Disebabkan semakan yang mengambil masa agak lama, jelas bahawa keputusan ini sangat ketat.

Teknologi ini diperkenalkan dalam Liga Juara-Juara pada musim 2022-23 dan turut digunakan dalam Piala Dunia 2022. Liga Perdana Inggeris juga merancang untuk menggunakannya pada musim ini, dengan jangkaan masa yang diambil untuk semakan offside akan dikurangkan sebanyak 31 saat.

Namun dalam kes ini, semakan memakan masa begitu lama sehingga Alan Shearer, ketika memberikan ulasan untuk Amazon Prime menyatakan bahawa kelewatan mungkin turut mempengaruhi kecederaan Jack Grealish yang terpaksa dikeluarkan 10 minit kemudian.

“Ia tidak membantu apabila pemain perlu berdiri hampir 4 minit tanpa bergerak,” kata Shearer. “Ia tidak baik untuk mereka secara fizikal. Pemain tidak sepatutnya menunggu selama itu.”

Walaupun semakan mengambil masa yang lama, sekurang-kurangnya keputusan yang dibuat adalah betul.

Pertahanan Madrid Rapuh Lagi

Real Madrid memulakan perlawanan dengan baik, mencipta 3 serangan berbahaya dalam tempoh 15 minit pertama dan cuba mengeksploitasi kelemahan di barisan pertahanan City.

Namun masalah sebenar berada di bahagian pertahanan mereka sendiri. Haaland hampir tidak mendapat sentuhan bola pada awal perlawanan tetapi apabila peluang tiba, dia memanfaatkannya untuk menjaringkan gol pertama City.

Ketika pemain bek-kanan sementara, Federico Valverde berada di bahagian serangan, 2 pertahanan tengah Madrid (Aurelien Tchouameni yang sebenarnya seorang pemain-tengah dan Raul Asencio, pemain muda akademi berusia 21 tahun) ditarik dengan pergerakan Haaland.

Rchouamenu dan Asencio gagal menghalang penyerang berbisa itu. Haaland dengan mudah menghantar bola kepada Jack Grealish, berlari ke dalam kotak penalti dan menyudahkan bola hantaran dada dari Gvardiol dengan kemas.

Gol itu berpunca daripada kelemahan pertahanan Madrid yang tidak tersusun. Barisan pertahanan Madrid agak kucar-kacir.

Pada minggu lalu Ancelotti mengakui pasukannya berada dalam “situasi kecemasan” di bahagian pertahanan. Ketiadaan pemain seperti Dani Carvajal, Eder Militao, Antonio Rudiger, David Alaba dan Lucas Vazquez kerana kecederaan menyukarkan lagi keadaan.

Masalah ini sudah jelas sejak awal musim, jadi keputusan kelab untuk tidak menandatangani pemain pertahanan baharu pada jendela perpindahan Januari amat sukar difahami. Tetapi kelemahan itu tidak menghalang mereka daripada mencuri kemenangan melalui jaringan lewat Jude Bellingham.

Tuah Mbappe Berterusan

Separuh pertama musim Kylian Mbappe di Real Madrid penuh dengan cabaran. Walaupun dia menjaringkan beberapa gol menarik, terdpaat banyak perlawanan yang mengecewakan serta peluang keemasan disia-siakannya.

Dalam babak pertama perlawanan ini, corak yang sama hampir berulang. Mbappe mensia-siakan peluang awal apabila rembatannya terus ke arah Ederson. Kemudian, sebelum separuh masa tamat dia melepaskan 1 lagi peluang besar apabila percubaannya dari jarak 12 ela tersasar.

Namun pada babak kedua, Mbappe membuktikan dia mampu menghasilkan detik-detik penting. Golnya pada malam ini merupakan jaringan penyamaan keduanya dalam tempoh 4 hari, menunjukkan bahawa dia semakin serasi dengan sistem permainan Madrid.

Pada Sabtu lalu di Bernabeu, dia menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Atletico Madrid. Ketika itu dia pantas bertindak selepas rembatan Jude Bellingham ditepis dan walaupun voli yang dilakukannya mengenai tanah terlebih dahulu, bola tetap melantun masuk ke gawang untuk menewaskan Jan Oblak.

Pada malam tadi, tuah sekali lagi berpihak kepadanya. Posisi dan larian Mbappe ke ruang kosong dalam kotak penalti City untuk menyambut hantaran cantik Dani Ceballos sangat baik. Rembatannya sebenarnya terkena bahagian tulang kering menyebabkan bola melantun dengan arah yang tidak dijangka dan menewaskan Ederson.

Tetapi dalam bola sepak, semua gol dikira tidak kira bagaimana ia dijaringkan. Selepas 6 bulan pertama yang agak sukar di Madrid, Mbappe kini mula menyerlah dalam perlawanan besar. Kali ini sumbangannya membantu Madrid meraih kemenangan penting.

Haaland Memecah Rekod Lawan Madrid, Tetapi Masih Tidak Cukup

Erling Haaland sebelum ini mengalami kesukaran setiap kali berdepan Real Madrid. Pada musim lalu ketika City memenangi treble, dia gagal memberikan impak dalam pertemuan di Bernabeu. Malah ketika itu, bapanya, Alf-Inge Haaland terpaksa diusir keluar dari kotak VIP kerana didakwa melempar kacang ke arah penyokong Madrid.

Biasanya, Antonio Rudiger dan pertahanan Madrid berjaya mengawal Haaland dengan baik tetapi kali ini dia lebih sukar dibendung, mungkin kerana kelemahan pertahanan Madrid yang dilanda kecederaan.

Dari awal permainan, Haaland jelas bersemangat tinggi. Dia bukan sahaja membantu pasukan dalam serangan tetapi juga bekerja keras di bahagian bertahan termasuk menanduk keluar sepakan sudut Madrid di near post serta memberi tekanan kepada penjaga gol Thibaut Courtois.

Dia akhirnya menjaringkan gol pertamanya menentang Madrid selepas 5 pertemuan, hasil satu penyudah kemas yang memperdayakan Courtois. Kemudian, dia dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti walaupun perlu menunggu lama sebelum mengambilnya.

Dalam pasukan City yang kelihatan tidak bermaya musim ini, Haaland jelas merupakan ancaman utama mereka di hadapan gol. Tanpa dia, City mungkin tidak banyak peluang. Malangnya 2 golnya malam tadi masih belum cukup untuk menghalang kejatuhan City di saat akhir.

Apa Kata Pep Guardiola?

“Perkara ini sudah berlaku banyak kali musim ini,” kata Guardiola kepada Amazon Prime. “Saya tahu kualiti Real Madrid. Kami menguasai permainan pada separuh masa kedua, tetapi terlalu terburu-buru untuk menyerang.

“Ia terjadi kerana mereka (Madrid) adalah pasukan yang luar biasa. Banyak kali musim ini, kami melakukan keputusan buruk. Saya terima hakikat itu. Ini bukan salah sesiapa secara individu tetapi melibatkan seluruh pasukan.”

Apa Kata Carlo Ancelotti?

“Saya sudah menjangka perlawanan seperti ini dan ia adalah persembahan pasukan yang lengkap,” kata Ancelotti dalam sidang media selepas perlawanan.

“Sejak sekian lama, terapat keraguan sama ada kami boleh mengekalkan keseimbangan dengan pasukan ini. Tetapi hari ini, mereka membuktikan bahawa jika semua pemain sanggup berkorban, keseimbangan itu boleh dicapai.

“Semua pemain bekerja keras dan kemudian kualiti mereka yang luar biasa untuk membuat perbezaan. Saya tidak fikir perlawanan ini boleh diputuskan di sini. Kami hanya mendapat sedikit kelebihan, dan ia adalah perlawanan yang baik buat kami.

“City bermain dengan baik terutama dalam serangan dan mereka memberikan masalah kepada kami. Kami perlu membuat persiapan rapi untuk aksi timbal balik. Tetapi selepas perlawanan seperti ini, pasukan kami menjadi lebih kuat.”

BACA:  Carragher: Tiada Tekanan Buat Liverpool Untuk Menjuarai Liga Perdana Inggeris