Real Madrid Diaibkan Oleh Pendatang Baru Dalam Saingan Champions League

Real Madrid dikejutkan dengan kekalahan memalukan di tangan pendatang baru dalam saingan Champions League, Sheriff Tiraspol.

Pertandingan peringkat kelab terbesar di benua Eropah ini sememangnya senantiasa memberi kejutan kepada para peminat dengan keputusan perlawanan yang tidak dijangka.

Siapa sangka pasukan yang dianggap gergasi benua Eropah seperti Real Madrid boleh diaibkan oleh pasukan kerdil seperti Sheriff Tiraspol.

Wakil dari Moldova itu pertama kali membuat penampilan dalam pertandingan ini dan mereka setakat ini sudah mencatatkan dua kemenangan secara berturut-turut dalam saingan Champions League.

Sheriff Tiraspol berjaya membuktikan mereka merupakan pasukan underdogs yang perlu diberi perhatian pada musim ini selepas kejayaan mereka menundukkan pasukan sehebat Real Madrid.

Mereka beraksi dengan sangat tenang dan seolah-olah sudah beraksi dalam saingan Champions League setiap musim sejak dari awal pertandingan ini dipertandingkan.

Walaupun turun sebagai pasukan yang dijangka akan dibelasah, Sheriff berjaya merobek gawang pemenang 13 kali gelaran Champions League itu terlebih dahulu.

Jasurbek Yakhshiboev berjaya merobek gawang gol Los Blancos pada minit ke-25 permainan selepas menerima umpanan cantik dari Cristiano.

Real Madrid kemudiannya berjaya memadam gol pendahuluan tersebut menerusi Karim Benzema pada aksi babak kedua permainan menerusi sepakan penalti.

Para penyokong Real Madrid menarik nafas lega selepas melihat pasukan kesayangan mereka berjaya untuk menjaringkan gol penyamaan dengan mereka yakin Los Blancos akan melakukan comeback.

Walau bagaimanapun, pada minit-minit akhir permainan, Sebastien Till berjaya menjaringkan gol yang super padu selepas menyempurnakan hantaran dari Adama Traore untuk gol kedua Sheriff.

Perlawanan tamat dengan Real Madrid dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di tangan pendatang baru saingan Champions League, Sheriff Tiraspol.

Lebih teruk lagi, Madrid tewas di halaman mereka sendiri dengan disaksikan oleh 24,522 orang penyokong mereka yang hadir ke stadium.

Ia jelas kekalahan yang tidak boleh diterima oleh para peminat dengan mereka yakin bakal melihat pasukan kesayangan mereka kenduri gol bertemu Sheriff.

Namun dengan tidak diduga, pasukan pelawat yang berpesta secara halal di atas padang di Santiago Bernabeu selepas kejayaan mereka menewaskan gergasi Eropah itu.

Ia tentunya menjadi malam paling indah untuk seluruh kem Sheriff Tiraspol, bahkan ia juga akan tercatat dalam lipatan sejarah Moldova bagaimana kelab mereka berjaya menewaskan pasukan seperti Real Madrid.

Selepas mencatatkan dua kemenangan dari dua perlawanan awal saingan Champions League musim ini, Sheriff Tiraspol kini berada di kedudukan pertama dan mereka sedang berada di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati.

Penampilan pertama yang sungguh luar biasa menakjubkan untuk Sheriff Tiraspol dalam saingan Champions League, sementara Real Madrid pula, mereka tentu mahu segera melupakan insiden memalukan ini.

Ia jelas sememangnya kekalahan yang sangat memalukan dengan Real Madrid sebenarnya sudah menurunkan kesebelasan terbaik yang mereka miliki dalam aksi bertemu Sheriff Tiraspol ini.

Gabungan bintang-bintang handalan dunia pun tidak mampu untuk menewaskan pasukan yang boleh dikatakan tiada bintang ternama yang beraksi dalam pasukan mereka.

Semua mata selepas ini tentunya akan tertumpu pada Sheriff Tiraspol, terutama sekali selepas kejayaan mereka merekodkan dua kemenangan dari dua perlawanan awal dalam penampilan pertama mereka di kejohanan ini.

20 Oktober nanti, Real Madrid bakal turun beraksi bertemu Shakhtar Donetsk dalam aksi perlawanan ketiga saingan peringkat kumpulan D.

Sheriff Tiraspol pula selepas ini bakal beraksi bertemu Inter Milan dengan mereka tentunya mahu mencatatkan kemenangan ketiga, seterusnya mara ke pusingan kalah mati.

Sumber: GMS

BACA:  Bagaimana Karier Eden Hazard Dimusnahkan Oleh Rakan Senegaranya Sehingga Bersara